Juruwang stesen minyak mati ditetak perompak
Juruwang stesen minyak mati ditetak perompakOleh ABDUL RAZAK DIN
IPOH 11 Nov. – Pembantu Pegawai Istinbat, Jabatan Mufti Perak yang bekerja sebagai juruwang sambilan di sebuah stesen minyak di Jalan Kuala Kangsar di sini, mati ditetak oleh perompak dalam kejadian samun pada pagi ini.
Kejadian berlaku pukul 6.50 pagi, ketika mangsa, Mohd. Khairuddin Mohamed Isa, 42, atau mesra dipanggil “Ustaz” oleh rakan setugasnya di Jabatan Agama Islam Perak sedang bersiap mahu meninggalkan stesen minyak tersebut selepas hampir tamat waktu bekerja pada pukul 7 pagi.
Ketua Polis Daerah Ipoh, Asisten Komisioner Azisman Alias berkata, perompak bertindak menetak
mangsa yang enggan menyerahkan wang kutipan di stesen minyak tersebut.
‘‘Dalam serangan itu, mangsa mati di tempat kejadian akibat kecederaan parah di bahagian tengkuk dan tangan kanan selepas ditetak oleh salah seorang perompak.
‘‘Sebelum itu, empat penjenayah yang tidak memakai sebarang penutup muka terus meluru ke kaunter juruwang meminta mangsa menyerahkan wang dalam mesin juruwang di situ.
‘‘Salah seorang perompak bagaimanapun berang lalu bertindak menetak mangsa apabila dia enggan bekerjasama,” katanya ketika ditemui di tempat kejadian di sini hari ini.
Beliau berkata, keempat-empat perompak kemudian melarikan diri menaiki sebuah kereta membawa bersama wang RM1,000 yang diambil dari kaunter juruwang.
Semasa kejadian, katanya, terdapat dua pekerja termasuk Mohd. Khairuddin di dalam premis tersebut manakala dua lagi pekerja berada di luar menjaga pam minyak.
Tambah Azisman, seorang pekerja wanita yang baru masuk untuk memulakan syif pagi bagaimanapun sempat menyelamatkan diri dengan berlari keluar dari premis tersebut.
Katanya, mayat mangsa dibawa ke Hospital Raja Permaisuri Bainun di sini untuk dibedah siasat dan dituntut keluarganya untuk dikebumikan pada petang ini.
Orang ramai yang menyaksikan kejadian itu diminta menghubungi Ibu Pejabat Polis Daerah Ipoh melalui talian 05-2451500 untuk membantu siasatan.
Sementara itu, seorang rakan sekerja mangsa ketika ditemui memberitahu, Mohd. Khairuddin sangat rajin dan jujur selain sentiasa memastikan amanah yang diberikan kepadanya selaku juruwang dilaksanakan sebaik mungkin.
‘‘Beliau sangat alim dan warak lebih-lebih lagi dia merupakan pengerusi surau di kawasan perumahannya. Saya terkejut dengan kejadian ini dan masih tidak dapat menerima yang ustaz telah tiada,” katanya yang enggan namanya disiarkan. - utusan
0 comments: