7/19/2007 08:25:00 pm 0 Comments


1.
husammusa.com
My Statement : Nuri, Nahas dan Jet Eksekutif PM Nuri dan Jet Eksekutif terbaru PM.

Dua perbezaan ketara. Nuri yang dimamah zaman dan jet terbaru PM. Untuk PM, pesawat terbaru yang selesa, mewah dan serba canggih. Untuk para wira menjalankan tugas ibu pertiwi, pesawat usang yang meragut nyawa.

Ketika usaha masih diteruskan mengesan pesawat tua yang langsung tidak mempunyai beacon automatik bagi membolehkan lokasinya dikesan sebagai bukti bagaimana ketinggalan zamannya pesawat ini, PM pula berlepas dengan pesawat baru ke Australia, untuk sekali lagi bercuti. Kali ini, selama sepuluh hari.

Kontras.

Nuri (Sikorsky S61) mula digunakan sejak 1968, ketika negara membeli sebanyak 31 buah pesawat dari AS. Bermula 25 April 1969 sehinggalah 29 Mei 2004, sebanyak 17 insiden nahas telah berlaku. Ia menjadi 18 jika dicampur kejadian terbaru.

Bermakna lebih separuh pesawat Nuri telah musnah - 15 termasuk yang terbaru - terhempas. Dua mendarat cemas. Satu ditembak oleh pengganas komunis di Gubir Kedah pada 26 April 1976.

Jumlah korban yang melibatkan anggota tentera, pasukan polis hutan dan orang awam adalah 82 orang termasuk pegawai tinggi ATM Allahyarham Maj. Jen. Datuk Mustaffa Awang Pegawai Pemerintah Markaz Divisyen Kedua dan Allahyarham Brig.Jen. Datuk Hasbullah Yusof Pemerintah Briged Ketiga Infantri. Sementara jumlah yang hilang adalah tiga orang.

Jumlah yang terselamat pula disepanjang peristiwa berkenaan termasuk mereka yang tercedera ialah 40 orang.
Sekiranya bentuk insiden diambil kira, kita akan menyaksikan hampir kesemuanya jatuh terhempas kecuali yang ditembak oleh pengganas komunis di Gubir, selainnya adalah berpunca dari masalah teknikal.

Dalam nahas terbaru, wira muda kita menjadi mangsa. Usia juruterbangnya, kapten dan pembantu juruterbang baru 27 dan 24 tahun, berbanding usia Nuri yang menjangkau empat dekad.

Usia pesawat hampir dua kali lebih tua berbanding juruterbangnya! !

Kalau benar ada kickback RM 400 juta dari pembelian kapal selam, wang sebanyak itu sudah tentu boleh digunakan untuk membeli beberapa pesawat baru menggantikan Nuri.

Kedua, bagaimana pesawat yang diselenggara oleh AIROD ini sentiasa mengalami masalah teknikal?

Perlukah pihak ketiga memeriksa perkara ini sebelum lebih banyak nyawa terkorban?

Jangan tunggu lebih lama. Nuri harus direhatkan seperti mana rakan pesawat sezamannya Skyhawk dan Caribou.

Kalau TUDM boleh diberi helicopter canggih dan moden seperti Sikorsky S-70 dan AS -61N untuk pengangkutan Perdana Menteri dan VIP kenapa tidak helicopter canggih untuk keperluan pengangkutan dan lojistik Angkatan Tentera Malaysia?

Hj Husam, Kg Kota
18/07/2007 - 5.52AM
cetusan-hati. blogspot. com


2.

harakahdaily. net

Pesawat demi pesawat terhempas, Najib mesti letak jawatan!

Azamin Amin & Intan Abdullah. Foto Nasir Sudin
Wed | Jul 18, 07 | 10:40:38 AM

KUALA LUMPUR, 18 Julai (Hrkh) - Kekerapan pesawat TUDM termasuk Helikopter Nuri terhempas hampir setiap tahun sehingga mengakibatkan juruterbangnya terkorban dilihat sebagai suatu kegagalan Kementerian Pertahanan khususnya Menteri Pertahanan, Dato' Seri Najib Tun Razak dalam menangani masalah tersebut.


Sila layari www.englishsection. com untuk Laman Utama English Section atau www.harakahdaily. net/wap/ untuk melayari HarakahDaily. Net menggunakan telefon bimbit GPRS (General Packet Radio Service) anda.


Sebelum ini dilaporkan sebuah helikopter Nuri yang hilang sejak Jumaat lalu, telah ditemui terhempas di hutan tebal Gunung Bunga Buah tidak jauh dari terowong Genting Sempah.


Mengulas hal berkaitan Bendahari PAS Pusat, Dr Hatta Ramli berkata Najib perlu dipertanggunjawabka n atas kemalangan yang berlaku memandangkan setiap kali Nuri terhempas, keputusan untuk meneruskan operasi penerbangannya adalah bidang kuasa Menteri Pertahanan.


"Sudah 14 buah Nuri terhempas tetapi Najib masih belum mahu menghentikan operasinya dan kejadian terkini Najib bertanggungjawab sepenuhnya," katanya ketika dihubungi Harakahdaily sebentar tadi.


"Atas apa yang berlaku dan jika beliau pemimpin bertanggunjawab, kita menggesa Najib meletakkan jawatan Menteri Pertahanan dengan segera," katanya.


Katanya, dalam masa sama operasi Nuri mestilah ditamatkan serta-merta supaya peristiwa buruk tidak berlaku lagi malah mencegah daripada lebih ramai anggota tentera khususnya juruterbang terkorban dalam nahas udara.


Satu penubuhan suruhanjaya siasatan bebas dicadangkan supaya ianya tidak sekadar dilakukan oleh penyiasat dalaman TUDM sahaja malah wajar dihebahkan untuk pengetahuan umum punca nahas yang berlaku, katanya.


Dalam masa yang sama, beliau bagi pihak PAS merakamkan ucapan takziah kepada kaum keluarga mangsa nahas Nuri dan berharap mereka bersabar menghadapi ujian dan ketentuan Allah SWT.


"Kita mendokan semoga roh wira-wira kita ditempatkan oleh Allah di kalangan orang yang soleh dan terkorban mereka adalah sebagai pejuang negara," katanya.


Kerajaan Kelantan ucap takziah

Sementara itu, Kerajaan Kelantan turut mengucapkan takziah kepada kesemua keluarga mangsa nahas helicopter Nuri yang terkorban.


Rakaman ucap takziah itu dinyatakan oleh Timbalan Menteri Besar, Dato' Ahmad Yaacob, selepas mesyuarat Exco, di Kota Darulnaim, di Kota Bharu hari ini.


Beliau yang mewakili kerajaan Kelantan berharap kemalangan yang begitu menyentuh perasaan itu dapat diterima oleh kesemua keluarga mangsa dengan penuh sabar dan keimanan.


"Kita berharap masa akan datang pihak yang tanggungjawab memberi perhatian yang lebih terhadap pesawat yang berisiko tinggi itu,"ujarnya.


Ahmad turut mencadangkan supaya Kerajaan Pusat tidak lagi menggunakan pesawat berkenaan kerana ianya mudah terdedah dengan kemalangan demi kemalangan.


"Sepatutnya kerajaan telah menukar yang baru demi untuk keselamatan tentera yang terlibat."


"Ini kerana modal insan yang telah kita bina ini begitu mahal dari segi nilainya bukan boleh dinilai dengan wang,"ujarnya.


Untuk itu, tambahnya apa salahnya Kerajaan Pusat mengeluarkan peruntukan untuk membeli yang baru.


Ahmad berkata, ianya amat penting demi untuk keselamatan mereka.


Akibat insiden Nuri imej negara terjejas, membimbangkan rakyat

Najib dalam sidang akhbarnya di ibu negara berkata, nahas itu dipercayai berpunca daripada faktor cuaca buruk.


“Laporan awal menunjukkan cuaca buruk adalah faktor terbesar yang menyebabkan nahas helikopter itu,†katanya yang juga Menteri Pertahanan dan turut merakamkan takziah kepada keluarga mangsa.


Helikopter Nuri telah berkhidmat dalam TUDM sejak tahun 1968 dan pada masa ini sebanyak 20 pesawat itu masih lagi beroperasi walaupun telah digunakan hampir 40 tahun.


Sebelum ini dalam isu berkaitan, Setiausaha Agung PAS, Dato' Kamaruddin Jaaffar pernah mengulas dan melahirkan rasa kecewa dengan insiden pesawat TUDM terhempas berkata siasatan menyeluruh mestilah dijalankan di samping mendedahkan secara terperinci kepada umum kerana ianya membimbangkan rakyat, menjejaskan imej negara dan mengambil kira wang rakyat yang telah banyak dibelanjakan untuk pembelian pesawat-pesawat terbabit.


"Mesti ada satu mekanisme dan tindakan drastik dilakukan oleh kementerian dan Najib nampaknya sudah tidak berupaya menangani masalah tersebut," katanya dalam laporan Harakah keluaran terdahulu.


"Tidak berguna dan semakin membazir wang rakyat jika kita membeli senjata canggih, kapal selam termoden dan pesawat terbaru seperti Sukhoi jika kemalangan sentiasa berlaku akibat daripada kecuaian ataupun kelemahan selenggaraan yang tidak diatasi dengan berkesan," katanya lagi.


Najib wajar contohi Tengku Mahkota Pahang

Sementara itu, Dewan Pemuda PAS hari ini turut mendesak supaya Najib supaya meletakkan jawatan sebagai tanggungjawab atas tragedi yang berlaku itu.


Timbalan Ketua DPPP, Ustaz Nasarudin Hassan Tantawi berkata Najib sewajarnya mencontohi sikap Tengku Mahkota Pahang, Tengku Abdullah Ibni Sultan Ahmad Shah yang mengambil tanggungjawab meletakkan jawatan selaku Timbalan Presiden Persatuan Bola Sepak Malaysia (FAM) apabila pasukan negara kalah dengan bolos 10 gol di pentas Piala Asia baru-baru ini.


Tambahnya, pesawat Nuri yang terhempas Jumaat lalu adalah tragedi ke-18 menimpa Najib di mana pesawat usang tersebut telah mengorbankan sekian ramai anggota tentera.


"Dunia kini sedang mentertawakan Malaysia, di saat negara sedang membuat persiapan menyambut ulangtahun ke-50 kemerdekaan bersama Nurinya yang hampir sebaya usianya dengan usia kemerdekaan negara," jelasnya ketika menghubungi Harakah pagi ini.


DPPP katanya, tidak mahu lagi Kementerian Pertahanan terus membunuh anggota tentera sebelum mereka mendarat dan bertempur dengan musuh kerana memaksa mereka menerbangkan 'besi buruk'.


Tambahnya, Menteri Pertahanan mesti ambil tanggungjawab untuk turun takhta atau rakyat sahaja menurunkan menteri seperti ini dalam pilihan raya umum akan datang.


Sementara itu, menurutnya sekiranya di Jepun, sudah cukup dengan sebuah keretapi tergelincir dan mengorbankan nyawa, Menteri Pengangkutannya akan mengambil tanggungjawab dan meletakkan jawatan.


Kronologi pesawat TUDM terhempas

Perkara ini mesti dipandang serius oleh Kerajaan jika tidak mahu kejadian terhempas berulang lagi sehingga menyebabkan lebih ramai juruterbang terbunuh disamping menghalang berlakunya kerugian jutaan ringgit wang negara.


"Justeru,menteri mestilah digantikan dan Perdana Menteri mestilah memastikan bahawa menteri baru lebih bertanggunjawab termasuk mempunyai jalan penyelesaian terbaik mengatasi masalah tersebut," katanya lagi.


Sebelum ini kejadian sebuah pesawat Hawk 208 Tentera Udara Diraja Malaysia terhempas di Pangkalan Udara Kuantan 4 Mei lalu.


Sebagai rekod pada Mei 2006, Pesawat Hawk 208 terhempas di Pantai Lanjut, Rompin Pahang mengorbankan juruterbang Mejar Muhammad Rohaizan.


Manakala dalam bulan sama pesawat Pilatus PC7 MK 11 terhempas di sawah padi Kampung Hujung, Kedah, tiada sebarang kematian berlaku.


Pada 27 Mei 2005, seorang juruterbang pelatih terbunuh apabila pesawat Pilatus terhempas di Sanggang Kedah.


Sebuah pesawat MIG-29N turut terhempas di ladang Ketengah Perwira, Kemaman pada 8 November tahun yang sama.


Dua buah pesawat Pilatus PC7 MK 11 berlanggar di ruang udara Trengganu pada 2004 namun tiada kematian berlaku.


Pada 18 Disember 2003 sebuah pesawat Hawk 100 terhempas dekat Pantai Sepat, Pahang mengorban dua juruterbang berpangkat kapten dan 4 September 2002 sebuah pesawat Hawk 208 terhempas di laut berhampiran Pulau Tioman, Pahang.


Tahun lalu Najib dalam ucapan penggulungan Rang Undang-Undang Pembekalan Tambahan (2003) 2004 peringkat jawatankuasa Kementerian Pertahanan berkata," Peratus kemalangan pesawat pejuang dan helikopter TUDM tidaklah lebih buruk dari angkatan tentera lain dan perkara sama juga berlaku di negara lain."


Ahli Parlimen Pendang, Dr Mohd Hayati Othman dalam keluaran Harakah tahun lepas pernah mengulas isu yang sama turut menyatakan, "Menteri Pertahanan mesti bertanggungjawab dan kalau berlaku di negara luar, menterinya telah pun meletakkan jawatan."


Akibat daripada kejadian Nuri terhempas baru-baru ini telah mengorbankan kesemua enam krew yang terdiri daripada juruterbang Kapten Nor Azlan Termuzi, 29, pembantu juruterbang Kapten Nor Intan Asykeen Mohd. Arof, 27; Flait Sarjan Khusnizaim Ariffin (kuarter master udara), 34; Flait Sarjan Mohd. Azmie Md. Yassin, 35; Laskar Udara Kanan Saifulizam Alias, 28, dan Laskar Muhammad Ridzuan Ahmad, 27.


Kronologi Nuri terhempas


Berikut adalah antara kronologi nahas membabitkan helikopter Nuri sejak 38 tahun lalu:

1. 15 Ogos 2004 – Sebuah helikopter Nuri dipercayai membawa 10 orang penumpang termasuk juruterbang dilaporkan hilang di kawasan Long Seridan tidak jauh dari Miri ke Ba’Kelalan, Sarawak.

2. 30 Mac 2004 – Tiga termasuk juruterbang terselamat apabila helikopter Nuri mendarat cemas di Bukit Kalam, kira-kira tujuh kilometer dari pusat Bandar Labuan, selepas mengalami masalah teknikal pada enjin sebaik berlepas dari Pangkalan TUDM Labuan.

3. 5 Mac 2004 – Dua anggota TUDN maut selepas helikopter Nuri terhempas di Taman Udara, Butterworth.

4. 19 Mac 1997 – Seramai 11 anggota TUDM terbunuh apabila dua helikopter Nuri jenis Sikorsky S-61 terhempas berhampiran Gunung Lumaku, Sipitang Sabah.

5. 16 Oktober 1996 – Dua orang terbunuh, tiga hilang manakala dua lagi selamat selepas helikopter Nuri terhempas di perairan Muka Head, Pulau Pinang.

6. 11 Julai 1991 – Tujuh orang maut apabila helikopter Nuri terhempas ketika cuba mendarat di Banding, Perak.

7. 10 Jun 1991 – Enam anggota tentera terbunuh apabila helikopter Nuri terhempas dan meletup di kawasan operasi tentera di Banding, Perak kira-kira jam 5.20 petang.

8. 16 Januari 1991 – Helikopter Nuri dalam perjalanan dari Stesen TUDM Sungai Besi ke Kulang Johor terhempas ketika membuat pendaratan kecemaran di sebuah estet di Kampung Parit Zin dekat Muar, Johor.

9. 28 Ogos 1990 – Helikopter Nuri yang membawa sembilan orang dalam latihan pertunjukan udara semperna perayaan Hari Merdeka terpaksa membuat pendaratan cemas di padang sebuah sekolah berhampiran Rawang, Selangor.

10. 18 Disember 1989 – sebuah helikopter Nuri terhempas berhampiran Sungai Lundu, Sarawak, mengorbankan 16 anggota Tentara Darat dan TUDM termasuk Pegawai Pemerintah Markas Divisyen Kedua, Mej Jen Dato' Mustaffa Awang dan Pemerintah Briged Ketiga Infantri, Brig Jen Dato' Hasbullah Yussoff.

11. November 1989 – Nahas terbesar membabitkan Nuri, apabila 21 orang termasuk 15 anggota Pasukan Polis Hutan terbunuh selepas pesawat Nuri terhempas di antara Gunung Gerah dan Gunung Bilah di sempadan Kelantan-Perak

12. 11 Julai 1981 – Sebuah helikopter Nuri terhempas di Batu Melintang, Perak tetapi semua 11 penumpang dan krew terselamat.

13. 25 April 1981 – Dua anggota TUDM terbunuh dan 13 lagi cedera dalam nahas helikopter Nuri ketika ribut di 30 batu nautika dari Lapangan Terbang Kuching, Sarawak. - mks.



3.
MPPAS

Takziah daripada Ahli Parlimen PAS kepada 6 keluarga Mangsa Helikopter Nuri

Jul 18th, 2007 by editor

Ketua Whip PAS di Parlimen, Salahuddin Haji Ayub bagi pihak seluruh Ahli Dewan Rakyat dan Dewan Negara dari PAS mengucapkan takziah kepada semua keluarga mangsa enam anggota Tentera Udara Diraja Malaysia (TUDM) yang terkorban dalam nahas helikopter Nuri yang terdiri daripada juruterbang Kapt Nor Azlan Termuzi, pembantu juruterbang Kapt Nor Intan Asykeen Mohd Arof, Sjn Khusnizam Ariffin (kuartermaster udara), Sjn Mohd Azmie Md Yassin, Laskar Udara Kanan Saifulizam Alias dan Laskar Muhammad Ridzuan Ahmad.


Sesungguhnya rakyat Malaysia turut berduka dan bersedih di atas kehilangan mereka sebagai negarawan. Pemergian mereka hari ini seperti kehilangan enam butir bintang yang cukup berjasa terhadap negara.


Dalam keadaan negara yang akan menyambut ulang tahun kemerdekaan ke 50 tahun, kita dikejutkan dengan berita sedih seumpama ini yang melibatkan pengawal negera.


Pahitnya ujian Allah di dunia ini bertukar menjadi manis di akhirat kiranya kita bersabar dan redha dengan ketentuan Ilahi.


Diberitakan Nabi Muhammad s.a.w memberitahu; “Sesiapa yang ditimpa musibah lalu kemudiannya teringat kembali peristiwa itu sesudah lama berlaku dan mengucapkan istirja’ setiap kali ia teringatkan peristiwa itu, Allah menuliskannya pahala sebagaimana pahala hari pertama ia ditimpa musibah (dan mengucapkan ucapan istirja’ iaitu ‘Dari Allah kita datang dan kepada Allah jua kita kembali’).


Kami mendoakan mudah-mudahan Allah mencucuri roh ke atas enam wira negara yang mencurah jasa dan berkorban untuk Negara ini. Kami juga mendoakan supaya seluruh kaum keluarga yang terlibat agar tabah dan sabar menghadapi ujian yang melanda ini. Kami juga mendoakan agar roh ke atas enam wira Negara ini ditempatkan bersama-sama roh orang-orang yang soleh jua. Amin.


“Daripada Allah kita datang, kepada Allah kita Kembaliâ€

Daripada,
YB SALAHUDDIN AYUB
YB Dato’ Kamarudin Jaffar
YB Dato’ Abdul Halim Abdul Rahman
YB Haji Abdul Fatah Haron
YB Ustaz Ismail bin Noh
YB Dr. Mohd Hayati bin Othman
YB Senator Wan Ubaidah binti Omar
YB Senator Mumtaz binti Md Nawi


0 comments: