7/17/2007 11:46:00 pm 0 Comments

OSA, Abdullah lebih teruk dari Mahathir - Ezam








Wan Nordin Wan Yaacob
Mon | Feb 05, 07 | 06:18:31 AM

KUALA LUMPUR, 5 Feb (Hrkh) - Penggunaan Akta Rahsia Rasmi (OSA) di zaman pemerintahan Perdana Menteri, Dato' Seri Abdullah Ahmad Badawi dilihat lebih teruk berbanding pemimpin sebelumnya, Tun Dr Mahathir Mohamad, kata Pengerusi Gerakan Demokrasi dan Anti Korupsi (Gerak), Ezam Mohd Noor.


"Ini terbukti kerana pada zaman Tun Mahathir, hanya beliau seorang sahaja yang di tahan OSA ketika itu.Tetapi hari ini empat orang aktivis bakal berhadapan dengan OSA ini.Pemerintahan Abdullah tidak ada beza denganTun malah lebih teruk lagi," kata Ezam semasa mengulas isu empat aktivis Protes yang dipanggil ke Bukit Aman hari ini untuk memberi kererangan berhubung isu pendedahan Konsesi Tol.


Beliau berkata demikian di hadapan Ibu Pejabat Polis Bukit Aman ketika mengiringi empat aktivis Protes yang juga pemimpin pembangkang antaranya, Bendahari PAS, Dr Hatta Ramli; Bendahari KeADILan, Tan Sri Khalid Ibrahim; Ketua Penerangan KeADILan, Tian Chua dan Ketua Penerangan DAP, Ronnie Liu.


Turut serta ialah, Ketua Pemuda PAS, Salahuddin Ayob; Pemangku Ketua AMK, Shamsul Iskandar Mat Akin dan aktivis reformasi.


Menurut Ezam, beliau mengecam tindakan pihak kerajaan dan polis yang memanggil empat aktivis tersebut yang antara lain baginya adalah amalan yang menutup ruang demokrasi di negara ini.


Lebih parah lagi katanya, empat aktivis tersebut sebenarnya mendedahkan perkara yang seharusnya tidak menjadi bahan rahsia terutamanya membabitkan kepentingan rakyat.


Dalam masa yang sama katanya Abdullah cuba mempamerkan imej bersihnya melawan korupsi dan kronisme tetapi bertindak sebaliknya dengan menutup segala keburukan dan penyelewengan yang berlaku, katanya lagi.


"Malaysia sebenarnya mempunyai masalah besar dalam kebebasan maklumat, itu yang menyempitkan lagi amalan demokrasi di negara ini," katanya lagi.


Sementara itu terdahulu Ketua Pemuda PAS telah melancarkan buku bertajuk "Freedom of Information in Malaysia" hasil tulisan Ezam dan seorang peguam muda, Fadha Nur Ahmad Kamar d hadapan Bukit Aman.


Pelancaran buku yang mengupas soal betapa sempitnya ruang kebebasan maklumat di Malaysia itu katanya sinonim dengan tindakan pihak berkuasa memanggil empat aktivis Protes ke Bukit Aman hari ini untuk memberi keterangan berhubung pendedahan Konsesi Tol.


Salahuddin dalam ucapan pelancarannya menyokong penuh hasrata Ezam mengeluarkan buku tersebut untuk diagihkan kepada masyarakat umum dan antarabangsa.


Baginya Ezam cukup layak untuk menulis buku tersebut memandangkan bekas Ketua AMK itu adalah orang yang pernah ditahan di bawah OSA ketika mendedahkan isu korupsi Menteri Perdagangan Antarabangsa dan Industri (MITI) Dato' Seri Rafidsah Azizi dan bekas Ketua Menteri Melaka, Tan Sri Abdul Rahim Tamby Chik.


"Apa yang dialami dan ditulis Ezam ialah denyut nadi rakyat yang mahu kebebasan bersuara di negara ini.Tak ada masalah untuk semua rakyat yang berbilang agama untuk bersama-sama mendukung penulisan ini dan falsafahnya untuk menggerakkan keadilan dalam negara kita," katanya lagi.


Sementara itu mengulas mengenai tindakan polis memanggil empat aktivis Protes itu ke Bukit Aman beliau menyatakan bahawa tindakan itu adalah bukti betapa kerajaan menyempitkan lagi ruang demokrasi."


"Yang ditahan dan disoal bukanlah yang bersalah tetapi orang yang mendedahkan kepincangan, Kita dah banyak buat laporan polis tetapi tidak disiasat, tetapi bilamana kita mendedahkan penyelewengan, kita pula yang akan dikenakan tindakan,"katanya lagi.


Sehingga berita ini ditulis, empat aktivis yang dipanggil memberi keterangan di Bukit Aman masih belum keluar dari Ibu Pejabat Polis Bukit Aman dan 50 penyokong masih menunggu di perkarangan Bukit Aman.


Pada 4 Januari lalu, keempat-empat mereka telah menunjukkan kepada wartawan salinan dokumen mengenai perjanjian konsesi tol bagi Lebuhraya Damansara-Puchong (LDP), yang diuruskan oleh Litrak.


Menurut mereka, dokumen rahsia setebal 200 muka surat itu telah menjamin keuntungan kepada syarikat konsesi tol.


Berikutan itu, Menteri Kerjaraya, Datuk Seri S Samy Vellu menyarankan kepada kabinet supaya Peguam Negara mengambil tindakan terhadap mereka yang bertanggungjawab mencuri dan mempamerkan kandungan perjanjian konsesi tol tersebut.


Satu laporan polis telah dibuat oleh sekumpulan badan bukan kerajaan (NGO) Sabtu lalu, yang menggesa pihak polis supaya menyiasat perkara tersebut.


Pada bulan Ogos 2002, Ezam dihukum dua tahun penjara kerana mendedahkan dokumen rahsia mengenai siasatan rasuah terhadap Rahim Tamby Chik dan Rafidah Aziz.


Bagaimanapun, dua tahun kemudiannya, sebuah mahkamah tinggi telah membatalkan sabitan hukuman terhadap Mohd Ezam apabila ia mendapati pihak pendakwaraya gagal membuktikan tuduhan tersebut tanpa sebarang keraguan.


Nota: Bagi mempertingkatkan laman ini, kami amat mengalu-alukan sumbangan yang boleh disalur terus kepada akaun Maybank atas nama HARAKAHDAILY DOT COM (564070000336)


0 comments: