7/18/2007 12:59:00 am 0 Comments

Betapa Kerdilnya Kita? by Ketua Perusuh
Jika selama ini Malaysia dikenali sebagai seekor Harimau Asia, kini ianya sudah menjadi seperti seekor Kucing Asia. Manakan tidak, dahulunya kita (Malaysia) menguasai ekonomi serantau malah unjuran kewangan negara yang mantap sehingga membolehkan kita terus bebas daripada pinjaman asing diketika negara lain tersangkut dengan IMF.

Kini dalam usaha kita untuk membangunkan negara dan memperkemaskan infrastruktur pengangkutan dan ekonomi tempatan, kita kini menjadi pengemis semula. Memang tidak dinafikan kita (Malaysia) pernah meminjam dari Bank Dunia (World Bank) dan masih lagi berterusan membayar kadar faedah dan pinjaman tersebut. Namun bukanlah bermakna Malaysia kekurangan wang untuk meneruskan agenda negara.

Kini dalam usaha Abdullah Ahmad Badawi & Co menjenamakan dirinya sebagai kuasa pengerak pembangunan negara, kita dapat lihat beberapa projek koridor yang cuba dibangunkan. Memang tidak dinafikan projek ini berupaya memangkin ekonomi setempat dan seterusnya secara otomatis akan menguntungkan negara namun dari aspek pengurusan kewangan dan pembangunan ianya agak terhad dan kacau bilau.

Mana tidaknya, hanya kerana nilai RM2.7 Billion, juak-juak Abdullah Ahmad Badawi & Co sanggup menebalkan muka meminjam dari EXIM Bank di China. Adakah wang sebanyak ini tidak ada didalam negara. Sewajarnya jika kita ingin membangunkan sesuatu infrastruktur, kita sepatutnya sudah mengkaji kekuatan kewangan kita. Sebagai Menteri Kewangan, Abdullah Ahmad Badawi sewajarnya tahu dari mana dan bagaimana negara boleh membangunkan infrastrur negara dengan kedudukan kewangan sedia ada.

Ataupun mungkin Abdullah Ahmad Badawi tidak menguruskan Kementerian Kewangan dan membiarkannya berjalan dengan sendiri tanpa pengawasan. Nilai RM2.7 Billion ini bukanlah besar sangat dan ianya boleh dibiayai sepenuhnya oleh bank-bank tempatan. Bukankan Malaysia mempunyai Bank Pembangunannya sendiri yang sepatutnya boleh membiayai projek ini.

Taktik yang digunakan oleh Kementerian Kewangan dengan membenarkan aliran masuk sebanyak ini dari China mungkin akan menyebabkan pihak lain memandang bahawa Malaysia tidak mampu untuk membiayai sendiri projek yang ingin dibangunkan. Jika projek tersebut diwartakan untuk dijayakan dalam Rancangan Malaysia ke 9, sewajarnya peruntukan untuknya sudah pasti disediakan.

Secara tidak langsung ini menunjukkan ketidakupayaan Kementerian Kewangan mentadbir kewangan dan ekonomi negara dan ianya juga menunjukkan betapa lemahnya Abdullah Ahmad Badawi memimpin negara.

Dalam pada kita diwarwarkan mempunyai lebih RM40 bilion aset terbeku dalam Amanah Raya, kita masih lagi mengemis RM2.7 bilion dari negara asing. Sungguh memalukan dan menunjukkan betapa kerdilnya Malaysia.

Rakyat Malaysia memang bersetuju akan kemasukan pelaburan asing namun bagi projek-projek pembangunan infrastruktur negara yang sememangnya ada dalam rencara Rancangan Malaysia Ke 9, kita sewajarnya telah mengenalpasti dana dalaman yang boleh digunakan. Bagaimanakah sebagai seorang Menteri Kewangan boleh terlepas pandang akan isu ini.

Adakah mungkin Abdullah Ahmad Badawi hanya bertindak sebagai seorang boneka sedangkan Nor Mohamed Yaakop (Menteri Kewangan Kedua) pula bertindak sebagai dalang. Atau mungkin budak yang masih berhingus (Khairy Jamaludin) sebenarnya yang merencanakan kewangan Malaysia sehinggakan pembiayaan jambatan kedua Pulau Pinang tidak termasuk dalam bajet Rancangan Malaysia ke 9.

Bayangkan jika kenaikan gaji dan elaun kakitangan awam Malaysia juga dibiayai oleh pinjaman dari negara asing. Memang memalukan.

0 comments: