7/17/2007 10:40:00 pm 0 Comments

Isu tol - Kerajaan berselindung di sebalik OSA








Mohd Rashidi Hassan
Sat | Feb 03, 07 | 07:45:47 AM

KUALA LUMPUR, 3 Feb (Hrkh) - Jika kerajaan pimpinan Perdana Menteri, Dato' Seri Abdullah Ahmad Badawi telus, sepatutnya perjanjian kerajaan dengan syarikat konsesi tol tidak harus diletakkan di bawah Akta Rahsia Rasmi (OSA), kata Bendahari PAS Pusat, Dr Mohd Hatta Ramli.


"Saya mencabar kerajaan mendedhkan perjanjian tersebut jika tidak ada apa yang disembunyikan daripada rakyat sebagaimana mereka mendedahkan dokumen mengenai jambatan, " tegasnya.


Dr Hatta yang merupakan pemimpin pembangkang keempat dipanggil ke Bukit Aman, Isnin 5 Febuari ini untuk memberi keterangan dalam siasatan di bawah OSA mengenai pendedahan kandungan konsesi tol.


Tiga yang lain turut dipanggil ialah Tan Sri Khalid Ibrahim, Tian Chua dari Parti KeADILan Rakyat, serta pemimpin DAP, Ronnie Liu.


Hatta menegaskan, Kerajaan cuba untuk berselindung di sebalik OSA dan menghalang media melaporkan perkara yang sebenarnya mengenai perjanjian tol.


Menurut beliau apa yang dilakukan oleh pembangkang adalah untuk terus mendidik rakyat dan menyedarkan mereka tentang perjanjian yang berat sebelah tersebut.


"Jika kerajaan tiada apa yang nak disorokkan mereka tidak perlu takut, jelasnya perjanjian ini menindas rakyat," tegas beliau.


Dr Hatta berkata, apa pun beliau bersama tiga orang lagi pemimpin pembangkang akan ke ibu pejabat polis Bukit Aman untuk memberikan keterangan.


"Kita akan pergi bersama-sama dan kita lihatlah apa yang akan berlaku selepas ini," tegasnya.


Apapun tegas beliau, pihak Jawatankuasa Protes Kenaikan Harga Tol tidak akan berganjak dan akan terus mengadakan demonstrasi aman di IOI Mall, Jalan Puchong jam 4 petang, Ahad ini (4 Februari).


Malaysiakini. com melaporkan, Pegawai penyiasat ASP A Rajakopal dari Jabatan Siasatan Jenayah Bukit Aman tidak dapat dihubungi sejak semalam untuk mendapatkan komennya.


Menurut notis saman yang ditandatanganinya, pemimpin pembangkang berkenaan dikehendaki menyerahkan semua dokumen atau salinan dokumen yang berkaitan dengan perjanjian antara kerajaan dengan Lingkaran Trans Kota Sdn Bhd (Litrak).


Mereka juga turut diingatkan bahawa jika gagal hadir Isnin ini, ia merupakan kesalahan mengikut Seksyen 11 akta tersebut.


Menurut polis, mereka akan menyiasat perkara tersebut mengikut Seksyen 8 akta berkenaan, berdasarkan kepada laporan polis yang telah dibuat di Damansara.


Mereka yang didapati bersalah melanggar akta tersebut berdepan dengan hukuman setahun penjara mandatori.


Pada 4 Januari lalu, keempat-empat mereka telah menunjukkan kepada wartawan salinan dokumen mengenai perjanjian konsesi tol bagi Lebuhraya Damansara-Puchong (LDP), yang diuruskan oleh Litrak.


Menurut mereka, dokumen rahsia setebal 200 muka surat itu telah menjamin keuntungan kepada syarikat konsesi tol.


Berikutan itu, Menteri Kerjaraya, Datuk Seri S Samy Vellu menyarankan kepada kabinet supaya Peguam Negara mengambil tindakan terhadap mereka yang bertanggungjawab mencuri dan mempamerkan kandungan perjanjian konsesi tol tersebut.


Satu laporan polis telah dibuat oleh sekumpulan badan bukan kerajaan (NGO) Sabtu lalu, yang menggesa pihak polis supaya menyiasat perkara tersebut.


Pada bulan Ogos 2002, bekas Ketua Pemuda PKR, Mohd Ezam Mohd Nor dihukum dua tahun penjara kerana mendedahkan dokumen rahsia mengenai siasatan rasuah terhadap bekas Ketua Menteri Melaka, Tan Sri Rahim Tamby Chik dan Menteri Perdagangan Antarabangsa dan Industri (Miti), Datuk Seri Rafidah Aziz.


Bagaimanapun, dua tahun kemudiannya, sebuah mahkamah tinggi telah membatalkan sabitan hukuman terhadap Mohd Ezam apabila ia mendapati pihak pendakwaraya gagal membuktikan tuduhan tersebut tanpa sebarang keraguan. - mns


0 comments: