Kerajaan perlu tangani segera pelbagai penyelewengan bantuan banjir |
Salman Hussin |
BATU PAHAT, 5 Feb (Hrkh) – Banjir besar yang melanda Johor sejak lebih sebulan lalu telah membuka mata para penduduk terhadap sikap sebenar para pemimpin Umno.
Selama ini masyarakat tidak percaya penyelewengan- penyelewengan yang dilakukan pemimpin mereka tetapi apabila insiden ini terkena batang hidung sendiri, barulah mereka percaya.
Hikmah di sebalik banjir besar yang dianggap luar biasa yang melanda negeri ini beberapa bulan lalu telah mendedahkan segala-galanya.
Bukan sekadar bantuan yang diharapkan lambat diterima mangsa, malah bila bantuan tiba macam-macam hal pula berlaku. Semua ini tidak boleh disembunyikan lagi dan penghuni di pusat-pusat penempatan mangsa banjir sedia maklum perkara ini.
Boleh dikatakan semua penyelewengan bantuan kepada mangsa banjir ini dilakukan sama ada oleh Ketua Kampung, Penghulu atau bekas penghulu yang umum tahu penyandang jawatan-jawatan ini ‘sahih’ orang Umno bukan PAS.
Untuk pengetahuan semua, sudah menjadi amalan dalam pemerintahan Umno-Barisan Nasional di Johor melantik Ketua Umno Cawangan sebagai Ketua Kampung (majoritinya lulusan darjah enam saja) dan juga Pengerusi Jawatankuasa Masjid (walaupun tak pernah sekali pun imamkan solat Zohor dan Asar) dan semasa banjir lalu mereka ini serta kroni-kroninya menjadi orang yang paling berkuasa di pusat-pusat penempatan mangsa banjir.
Tetapi malang amanah yang diberi telah diselewengkan, semua insiden yang sempat dicatatkan berhubung isu penyelewengan bantuan banjir ini melibatkan golongan disebutkan tadi.
Kes pertama Kes pertama Di Seri Medan, antara kawasan paling teruk dilanda banjir di Johor, difahamkan tiga individu termasuk Ketua Kampung dan bekas Penghulu telah ditahan untuk siasatan BPR, mangsa banjir yang mengesyaki berlaku penyelewengan dalam pengagihan bantuan di sebuah penempatan di sini telah bertindak membuat laporan kepada BPR dan tiga individu yang disyaki terbabit dengan penyelewengan ini telah ditahan untuk siasatan BPR.
Difahamkan juga BPR terus memantau pusat penempatan ini bagi mengelak kejadian sama berulang lagi, malah desas-desus juga kedengaran Ketua Audit Negara telah turun ke Seri Medan bagi menyiasat dakwaan berlakunya penyelewengan yang berleluasa di pusat penempatan ini.
Serentak dengan itu juga segala urusan bantuan kepada mangsa banjir di Dewan Orang ramai Seri Medan telah diambilalih sepenuhnya oleh pihak Audit Negara, bukan lagi oleh Ketua Kampung seperti di tempat-tempat lain.
Selain itu sumber juga memberitahu, terdapat nama mangsa yang tercicir dari senarai mangsa banjir di beberapa pusat penempatan di Seri Medan, di Sekolah Menengah Seri Medan, 48 mangsa banjir tercicir dari senarai; Dewan Orang ramai (32) dan Sekolah Agama Seri Medan (18).
Sumbangan lembu untuk korban juga menjadi tanda tanya, difahamkan hanya 30 daripada 70 ekor lembu sumbangan dari Perlis untuk Seri Medan dikorbankan pada Hari Raya Aidil Adha lalu, setelah didesak sembilan ekor lagi disembelih, namun baki 31 ekor lagi lembu ini tidak diketahui ke mana perginya.
Selain itu sumber juga memberitahu, ada sindiket yang menjual bantuan makanan seperti beras dan milo kepada pekedai tertentu dan sindiket ini hanya menjual barang-barang yang mahal saja.
Bagaimanapun polis telah berjaya menahan sebuah lori 5 tan yang membawa barang makanan ini.
Kes kedua dan ketiga Kes Ke-2, di Yong Peng, seorang lagi Ketua Kampung khabarnya telah digari polis kerana turut disyaki terbabit dengan penyelewengan bantuan kepada mangsa banjir seperti selimut, air mineral dan biskut, sebelum itu difahamkan beliau juga telah dipanggil oleh Pejabat Daerah Batu Pahat, untuk disiasat.
Kes ke-3, di Parit Sulung, seorang Ketua Kampung telah bertindak mengambil semula bantuan makanan yang diberi pihak tentera kepada penduduk yang tidak berpindah ke pusat penempatan mangsa banjir.
Anehnya pada keesokan harinya Ketua Kampung tadi datang ke rumah penduduk untuk mengambil semula bantuan ini dengan alasan ‘tersalah bagi’.
Penduduk kampung terpinga-pinga dibuatnya.
Kes keempat dan kelima Kes ke-4, di penempatan mangsa banjir Sekolah Menengah Teknik Batu Pahat, pula dilaporkan berlaku amalan pilih kasih dalam pengagihan bantuan kepada mangsa, lucunya, amalan pilih kasih ini bukan antara penyokong pembangkang dengan Umno tetapi antara Umno dengan Umno itu sendiri yang membabitkan dua pemimpin Umno di Seri Gading..
Di penempatan yang sama juga berlaku kejadian menyeludup keluar ‘track suit’ oleh seorang petugas pusat penempatan ini, teman Umno yang mendedahkan kejadian ini memberitahu, “kita berjaya menahan kereta yang disyaki cuba melarikan 'track suit' ini tetapi bila kita periksa kereta ini rupa-rupanya kawan sendiri, saya cukup terkejut dan serba salah apabila kawan sendiri buat kerja yang tak bermoral ini.”
Kes Ke-5, cubaan seorang Ketua Kampung untuk menyeludup keluar biskut dari penempatan mangsa banjir di Sekolah Menengah Munsyi Sulaiman, berjaya digagalkan apabila beliau ditahan Pengawal Keselamatan.
Difahamkan sebelum itu Ketua Kampung ini dipercayai telah melakukan ‘black out’ di penempatan ini, ketika bekalan elektrik terputus beliau telah memunggah biskut ke dalam bonet keretanya.
Bagaimanapun semasa hendak keluar meninggalkan penempatan ini beliau telah ditahan pengawal keselamatan bertugas dan meminta beliau membuka bonet keretanya untuk pemeriksaan, pada awalnya beliau enggan berbuat demikian, bagaimanapun setelah Guru Besar dipanggil beliau terpaksa akur dengan arahan ini, alangkah terkejutnya bila mendapati bonet kereta ketua kampung ini penuh dengan biskut.
Kes keenam Kes ke-6, di Pontian, sekali lagi Ketua Kampung terbabit mengambil kesempatan di atas penderitaan orang lain, ceritanya mungkin berbeza namun perbuatannya sama saja, tidak bermoral.
Kalau sebelum ini didedahkan perangai buruk mencuri beras, biskut, 'track suit', lembu korban serta amalan pilih kasih sesama mereka, untuk akhirnya ini didedahkan pula gelagat seorang pemimpin masyarakat bergelar ketua kampung yang menghisap darah anak buahnya sendiri.
Beliau mungkin tidak terlibat menyamun atau menyelewengkan bantuan makanan kepada mangsa banjir kerana kerja ini mungkin dianggap agak sukar atau mudah dikesan, lantas beliau mencari kaedah lain bagi mendapat ‘imbuhan’ peribadi.
Beliau telah mengenakan bayaran perkhidmatan sebanyak RM10 daripada 200 mangsa banjir yang menerima wang ihsan RM200 ini, bila dikira semula ketua kampung yang tidak terlibat dengan banjir ini telah mendapat ‘wang ihsan’ jauh lebih banyak daripada mangsa banjir itu sendiri.
Tetapi beliau kurang bernasib baik apabila ada di kalangan anak buahnya mengugut untuk melaporkan perkara ini ke pihak tertentu, disebabkan takut akan kehilangan jawatan dan kedudukan maka dengan muka yang tebal dan malu yang teramat sangat, beliau telah memulangkan semula wang ini kepada yang empunya.
Semua insiden yang memalukan ini jelas membuktikan kepada kita semua kepincangan yang wujud dalam institusi kepimpinan di negara kita, itu baru di peringkat yang paling rendah, bagaimana pula keadaannya di peringkat kepimpinan yang lebih tinggi lagi.
Kes-kes yang dipaparkan tadi hanyalah secebis kisah yang sempat dirakamkan, mungkin terdapat lebih banyak lagi insiden yang terlepas pandang namun inilah hakikat sebenar yang berlaku dalam masyarakat kita hari ini, amalan rasuah dan penyelewengan sudah semacam menjadi perkara biasa.
Justeru kerana itu bagi mengembalikan semula kredibiliti serta kewibawaan kepimpinan masyarakat maka kerajaan perlu mengambil tindakan yang tegas terhadap mana-mana individu yang didapati terlibat dengan penyelewengan serta amalan tidak bermoral ini.
Sebaliknya jika tindakan tegas tidak segera diambil maka amalan tidak sihat ini pasti akan terus berlaku dengan lebih berleluasa lagi. - mks.
Nota: Bagi mempertingkatkan laman ini, kami amat mengalu-alukan sumbangan yang boleh disalur terus kepada akaun Maybank atas nama HARAKAHDAILY DOT COM (564070000336) |
0 comments: