7/31/2007 08:31:00 pm 2 Comments

TAKTIK KOTOR UMNO BAWA PENGUNDI LUAR KE KELANTAN

Naib Presiden PAS, Datuk Husam Musa mendakwa Umno mahu membawa masuk 100,000 pengundi luar untuk didaftarkan sebagai pengundi baru di Kelantan untuk pilihanraya umum akan datang.

Bagaimanapun, beliau mendakwa, Umno lewat berbuat demikian ekoran bantahan PAS terhadap senarai daftar pemilih yang dicadangkan oleh Umno itu, kerana terdapat kira-kira 40,000 pengundi luar yang bukan orang Kelantan.

Ekoran itu, Husam yang juga Exco kerajaan negeri Kelantan mendakwa, Umno belum bersedia mengadakan pilihanraya umum tahun ini kerana parti itu belum berjaya menyiapkan senarai daftar pemilih baru, khususnya di Kelantan.

Katanya, beliau difahamkan bahawa Umno akan mula menyiapkan senarai tersebut bulan depan dan akan mengambil masa beberapa bulan untuk disahkan oleh Suruhanjaya Pilihanraya (SPR).

"Jadi, saya tidak percaya pilihanraya umum akan diadakan November ini kerana ketika itu juga Umno sibuk dengan perhimpunan agung.

“Jadi pada saya, tarikh paling ideal ialah tahun depan," katanya dalam sidang media di ibu pejabat PAS di ibu negara semalam.

Husam juga hairan dengan kenyataan Suruhanjaya Pilihanraya (SPR) baru-baru ini bahawa kira-kira 200,000 pengundi baru belum didaftarkan sebagai pemilih di Kelantan.

Bayaran tinggi

Beliau juga mempersoalkan bayaran tinggi yang dikenakan oleh SPR ke atas parti politik yang mahu membantah kesahihan pengundi dalam senarai pemilih.

"SPR mengenakan RM10 seorang, bayangkan bagaimana kami hendak mendapatkan wang bagi membantah kesahihan 100,000 pengundi baru di Kelantan.

"Untuk kebaikan demokrasi, kami meminta bayaran tersebut dihapuskan," katanya.

Katanya, PAS mahu menjadi pengimbang antara kuasa kerajaan dengan rakyat supaya kebajikan mereka tidak diabaikan.

Untuk itu, katanya, rakyat perlu menyokong pembangkang bagi mengimbangi kuasa Barisan Nasional (BN) yang begitu besar sekarang.

Katanya, kuasa yang besar ini menjadikan BN terlalu angkuh sehingga mereka tidak peduli kebajikan rakyat seperti kenaikan kos hidup.

"Jika BN kalah di empat lima negeri, sudah tentu sikap kerajaan terhadap rakyat seperti sekarang ini akan berubah dan rakyat mendapat banyak manfaat," katanya.

Malaysiakini


2 comments: