7/19/2007 08:44:00 pm 0 Comments

RM 100 Juta Untuk Kg. Baru, Retorik UMNO untuk Pilihanraya

Kelmarin, Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak berkata, kerajaan meluluskan peruntukan RM100 juta untuk membangunkan Kg. Baru agar ia tidak terus terpinggir dari arus pembangunan negara.

Sehubungan dengan perkara ini, Dewan Pemuda PAS Wilayah Persekutuan (Pemuda PAS Wilayah) melihat bahawa kenyataan Najib ini adalah satu lagi janji politik yang ditaburkan bagi memancing sokongan penduduk Kg. Baru dan menarik perhatian rakyat untuk terus menyokong UMNO-Barisan Nasional.

Isu pembangunan Kg. Baru bukanlah satu isu baru. Retorika pemimpin UMNO-BN tentang projek pembangunan Kg. Baru sudah lama kedengaran. Sebelum Pilihanraya 2004, pelbagai pertemuan telah diadakan dengan pihak DBKL dan Jabatan-jabatan Kerajaan termasuklah pemimpin BN. Pelbagai janji dipateri namun akhir semua itu menjadi janji kosong selepas pilihanraya.

Selama ini, pihak wakil rakyat UMNO-BN tidak pernah ikhlas membantu membangunkan Kg. Baru. Isu penjualan tanah Kg. Baru kepada YTL Corporation Berhad satu ketika dahulu turut didalangi oleh pemimpin UMNO sendiri. Apakah janji RM 100 juta Najib ini juga mempunyai agenda tertentu.

RM 100 juta diberi, tetapi peniaga tetap dipindahkan. Mengapa jauh sekali peniaga-peniaga di Kg. Baru itu dipindahkan? Segelintir peniaga itu adalah penduduk asal Kg. Baru dan mereka terpaksa pula berhijrah ke kompleks perniagaan di Jalan Batu Bata, Jalan Ipoh yang disediakan DBKL untuk berniaga.

Kenapa tidak awal-awal dulu Kerajaan bangunkan sebuah kompleks perniagaan di tapak pasar malam yang masih ada sekarang.

Pemuda PAS Wilayah juga bersama penduduk Kg. Baru ingin tahu apakah rancangan sebenar Kerajaan untuk Kg. Baru. Adakah ianya ingin dijadikan satu kawasan penempatan sahaja atau ingin dijadikan pusat ekonomi orang Melayu. Bagaimana bentuknya dan dasar utama pembangunan yang sering disebut-sebutkan ini.

Kita tidak mahu peruntukkan sebanyak RM 100 juta ini dibelanjakan untuk projek yang tidak jelas. Mana blueprint-nya?

Pemuda PAS Wilayah juga sangsi kerana peruntukkan ini diumumkan semasa Mesyuarat Agung Tahunan UMNO Titiwangsa dan bukannya dalam program rasmi Kerajaan. Ini adalah satu lagi permainan politik licik yang sengaja digembar-gemburkan yang akhirnya akan mengenyangkan perut pemimpin UMNO sahaja.

Penduduk menuntut agar diadakan satu pertemuan terbuka kerana di Kg. Baru ini terlalu ramai orang yang mengaku diri mereka itu sebagai wakil penduduk, walhal tidak semua penduduk mengenali mereka. Sebarang aktiviti di Kg. Baru termasuklah di Masjid Kg. Baru selama ini dikawal oleh UMNO dan mereka yang tidak sehaluan dengan mereka tidak pernah dipedulikan.

Adakah Kerajaan sedar tentang masalah ini?

Penduduk juga rasa tidak selesa dengan keadaan di Kg. Baru kerana ada segelintir pemimpin UMNO ini membina rumah sewa bertingkat di atas tanah mereka untuk disewakan kepada warga asing untuk mengaut untung berganda. Dalam masa yang sama mereka pula membeli banglo mewah dan tinggal ditempat lain. Ini sekaligus menyebabkan Kg. Baru menjadi penempatan alternatif kepada warga asing.

Baru - baru ini kes penculikkan kanak-kanak untuk deraan seksual berlaku dan ini amat merunsingkan penduduk kerana masalah jenayah semakin membara di Kg. Baru. Keadaan ini mewujudkan kebimbangan kalangan ibu bapa terhadap keselamatan keluarga mereka.

Selain itu masalah banjir akibat penambakkan tanah di pinggiran Kg. Baru telah menyebabkan penduduk kerisauan bila mendengar rintikan hujan. Parit-parit juga jarang diselenggarakan. Sampah dikawasan perniagaan makanan juga sering dibiarkan berlonggok. Bau busuk dan habitat tikut menjadikan Kg. Baru berubah suasana dan tidak sihat untuk didiami.

Oleh itu, satu pelan jangka panjang harus dibincangkan antara penduduk, peniaga dan wakil Kerajaan. Pertemuan terbuka ini harus diadakan segera dan wakil Kerajaan perlu menunjukkan pada masyarakat Kg. Baru tentang pelan pembangunan yang akan mereka lakukan dalam tempoh terdekat ini.

Sesungguhnya nasib penduduk di Kg. Baru perlu dibela dengan penuh kesungguhan dan keikhlasan. Pemuda PAS Wilayah tidak mahu isu pembangunan Kg. Baru ini menjadi alat politik untuk mengekalkan kuasa kumpulan atau individu tertentu.

Setiap janji dan perancangan haruslah jelas dan dibentangkan pada penduduk secara terbuka dan bukannya dalam MESYUARAT AGUNG UMNO kerana tidak semua penduduk Kg. Baru itu AHLI UMNO!!!

Kamarul Arif Muhamad
Timbalan Ketua
Dewan Pemuda PAS Wilayah Persekutuan

* Jangan lupa trajedi Kampung Beremban, Kampung Setia Jaya, Kampung Semarak dan banyak lagi seangkatan. Walaupun kampung kampung ini merupakan koloni setinggan, pembukaan mereka telah digalakkan UMNO dengan janjian bahawa penduduk akan mendapat hakmilik. Namun akhirnya, janji tinggal janji, tidak satu rumah atau surau yang tinggal.

0 comments: