7/17/2007 11:06:00 pm 0 Comments












Lebih 500 kutuk Yahudi di hadapan kedutaan Amerika

Zaili Muhammad
Fri | Feb 09, 07 | 09:10:15 AM

KUALA LUMPUR, 9 Feb (Hrkh) - Laungan 'Hidup Islam!','Hancur Yahudi!' bergema di hadapan kedutaan Amerika Syarikat dalam perhimpunan aman untuk mengutuk tindakan Yahudi laknaktullah yang melakukan kerja-kerja penggalian berdekatan Masjid Al-Aqsa baru-baru ini.


Perhimpunan tersebut dihadiri lebih 500 orang dengan diketuai Ustaz Riduan Mohd Nor bersama beberapa pimpinan PAS di antaranya Dr Hatta Ramli, Ustaz Idris Ahmad, Dr Syed Azman Syed Ahmad Nawawi, Hanifa Maidin, Ustaz Ahmad Awang, Ustazah Azizah Khatib Mat, Salahuddin Ayub,Dr Dzulkifli Ahmad dan beberapa badan bukan kerajaan seperti JIM dan ABIM.


Demonstrasi yang bermula pada jam 2.15 petang dari masjid Tabung Haji itu telah berarak ke kedutaan Amerika sambil dikawal ketat oleh lebih 100 anggota polis dari Unit Simpanan Persekutuan (FRU) sambil membawa poster yang mengutuk Yahudi dan Amerika.


Apabila tiba di kedutaan Amerika, Dr Syed Azman dengan diiringi Salahuddin dan Hanifa telah menyerahkan memorandum bantahan kepada wakil kedutaan berkenaan.


Selain berarak dan menyerahkan memorandum bantahan, beberapa pimpinan PAS telah berucap kepada orang ramai yang menyertai perhimpunan berkenaan.


Menurut Dr Hatta, beliau kecewa dengan sikap Pertubuhan Bangsa-bangsa Bersatu yang gagal memainnkan sebarang peranan dan tindakan Israel yang cuba menimbulkan provokasi dengan menggali di sempadan masjid perlu dihentikan dengan serta merta.


"Kita kecewa dengan PBB yang gagal memainkan peranannya," kata beliau sambil disambut dengan laungan takbir di kalangan peserta perhimpunan.


Perhimpunan itu diakhiri dengan bacaan doa oleh Ketua Penerangan PAS, Ustaz Ahmad Awang dan para peserta bersurai pada jam 3.00 petang tanpa sebarang kejadian yang tidak diingini.




Teruskan bantahan kerana rejim Zionis akan tumbang jua








LanH
Fri | Feb 09, 07 | 09:19:29 AM

Memo kami hanya diterima seorang lelaki yang enggan dikenali. Jadi kami namakan dia 'Mr No Name'. Selepas diasak, 'Mr No Name' memberitahu dia adalah Mike, wakil US Embassy - demikian beritahu Dr Hatta Ramli yang mengetuai kira-kira 500 aktivis PAS dan NGO berhimpun di depan bangunan Kedutaan Amerika di Jalan Tun Razak, Kuala Lumpur, selepas solat Jumaat, 9 Februari lalu, bagi membantah penghinaan rejim Yahudi ke atas Masjid Al-Aqsa.


Dr Hatta yang juga Bendahari PAS berkata, demikianlah sikap angkuh kuasa besar dalam melayani tetamu. Hari ini (9 Februari) tetamu yang berhimpun beramai-ramai tidak pula diundang. Mereka berarak dari Bangunan Tabung Haji dalam keperitan panas mentari, menuju Kedutaan Amerika dalam barisan teratur. Sambil menayangkan sepanduk, antaranya 'Selamatkan Masjid Al-Aqsa', mereka bertakbir, berselawat dan berzikir memuji kebesaran Ilahi. Sekali sekala mereka menjerit: "Jahanam Amerika, Jahanam Israel dan Jahanam Bush'.


"Jika Amerika rasakan mereka besar, Allah SWT adalah Yang Maha Besar," laung Ustaz Idris Ahmad yang berucap sebelum itu. Suara Timbalan Ketua Pemuda PAS itu agak keras, menggegarkan suasana walaupun ketika itu deru kenderaan yang bertali arus di kedua-dua hala Jalan Tun Razak membingitkan suasana. Ditambah bunyi hon kenderaan menyukarkan pendengaran tetapi suara keras Ustaz Idris sedikit sebanyak membantu pendengaran hadirin yang bermandi peluh disaksikan segerombolan FRU yang setiap setia bertindak.


Seperti kata Dr Hatta, Amerika adalah kuasa besar dunia yang sombong. Perhimpunan anjuran PAS yang hanya menarik penyertaan 500 orang tidak menjadi kudis padanya. Melolong, menjerit, melaung sampai hilang suara pun, Kedutaan Amerika tetap berdiri megah di situ. Dari kejauhan, penulis melihat bendera Amerika menjulang tinggi di sebuah tiang besi, berkibar megah, seolah-olah mencemik hina pembantah keganasan Israel/Amerika itu.


Sukar untuk membayangkan bagaimana sebuah kuasa besar seperti Amerika boleh atau bersedia mendengar rintihan si semut yang mengeruminya. Atau dalam kenyataan lebih tegas, adalah hampir mustahil kuasa besar itu boleh tersungkur di kaki semut-semut halus itu. Sekali pijak aje, semuanya KO.


Tetapi mendengar ucapan-doa Ustaz Ahmad Awang (Ketua Penerangan PAS) pada akhir majlis seolah-olah memberikan suntikan semangat. Betapa pun rejim Amerika semakin ganas, termasuk selepas Tragedi 911, semakin ramai orang Amerika memeluk Islam. Agama Islam semakin pesat berkembang di Amerika yang kini umat Islam menjadi kumpulan kedua terbesar selepas Kristian.


Kira-kira 15 tahun lalu, sebelum Amerika menjadi kuasa tunggal dunia, saingannya adalah Soviet Union. Tetapi siapa sangka, rejim Kremlin yang setara malah dalam bidang tertentu lebih hebat daripada Amerika akhirnya tersembam, menyembah bumi, salah satu puncanya akibat kebangkitan rakyat selepas pemimpinnya Mikhail Gorbachev melakukan pembaharuan 'perestroika dan glasnost'-nya.


Soviet yang perkasa itu akhirnya terlerai kepada 15 republik merdeka pada 1991 dengan Rusia mewarisi sebahagian besar empayar itu. Hari ini Rusia sekali pun mendada mengaku hebat, tetapi terbukti tiada tandingan langsung dengan Amerika yang semakin berlagak sombong.


Jika rejim Soviet yang zalim itu, terutama terhadap orang Islam, akhirnya tumbang, apa yang boleh menghalang Amerika untuk tumbang jika ia masih meneruskan keganasannya ke atas orang Islam seantero dunia.


Tidak mustahil akan berlaku satu kebangkitan besar-besaran di Amerika yang menyebabkan rejim angkuh Washington tersembam.


Bagi membantah keganasan rejim Amerika/Israel ke atas umat Islam dan syiarnya seperti Masjidil-Aqsa, usahlah bermuram durja kerana kelihatan Amerika terus perkasa, sebaliknya terus bermunajat kepada Allah SWT agar dihancurkan- Nya kezaliman Bush dan konco-konconya.


Dalam al-Quran diceritakan sesetengah raja dan pemerintah zalim bukan ditewaskan oleh kerajaan dan tentera lebih perkasa tetapi oleh perkara kecil yang dianggap enteng sebahagian besar manusia.


Misalnya, Namrud yang zalim itu tewas apabila seekor nyamuk masuk ke dalam hidung seterusnya otaknya menyebabkan dia sengsara buat sekian lama sebelum mati.


Abrahah dan tentera bergajahnya yang gagah itu pun tewas, dihancurkan oleh burung ababil apabila cuba memusnahkan Kaabah.


Kesimpulannya, tiada menjadi hal jika Mike atau siapa saja dari Kedutaan Amerika atau kerajaan Amerika sendiri memandang hina dan kerdil penunjuk perasaan orang Islam yang menyatakan sokongan kepada saudara seagama (dalam kes ini penduduk Islam Palestin), kerana yang dipersoal Allah Taala ialah usaha kita terhadap agama dan bukan hasilnya.


Satu kisah dilaporkan terjadi ketika Nabi Ibrahim a.s. dibakar oleh tentera Namrud, seekor burung berulang alik membawa air di paruhnya bagi menyiram api yang menjulang tinggi itu, apabila ditegur, berkata: "Aku hanya menjalankan tugasku, padam atau tidak, itu bukan urusanku." Sewajarnya kisah ini menjadi penguat semangat kepada pembantah keganasan dan kezaliman Amerika dan Israel.


Teruskan usaha agama anda termasuk bantahan anti-Israel dan pengganas Amerika sekalipun yang tinggal hanya anda seorang!


0 comments: