Pembaca dijemput memberi komen mereka mengenai artikel ini di http://www.detikdai ly.net/m3
Medan tempur kian bergelora menanti pertembungan baru
Posted on Thursday, February 08 @ 01:56:37 CST by reformis
Ramai teman-teman yang teruja dengan era reformasi 1998-99 mula menunjuk minat mengambil tahu hal politik semasa. Sekali kumpulan ini menjerit, lanskap politik mungkin berubah, namun mereka, selain perlu dirangsang, harus dibekalkan maklumat lebih terperinci dan meyakinkan.
"Kritikan Anwar itu, tanpa ragu lagi, telah melukakan Najib," kata seorang menteri Umno. "Orang sudah lupa krisis Mahathir-Abdullah, konflik Anwar-Najib lebih mendebarkan. "
Oleh Ahmad Lutfi Othman
IKLIM politik tempatan kian panas walaupun gelanggang yang dirintis Dr Mahathir Mohamad enam bulan lalu diisi pertarungan berbeza, selepas Abdullah Badawi menyepi. Boikot Batu Talam turut memeriahkan suasana, apa lagi siri demonstrasi bantah kenaikan tol di Lembah Klang memasuki fasa baru apabila empat pemimpin PAS, KeADILan dan DAP disoal-siasat di bawah Akta Rahsia Rasmi (OSA) ekoran pendedahan perjanjian konsesi.
Kes saman NSTP ke atas dua bloger juga menjadi saksi betapa medan tempur semakin kompleks dan batas sempadannya tidak tertakluk kepada "pemain tradisi". Semakin ramai di luar barisan pembangkang bersedia membawa obor kebenaran. Malah, majoriti blogers ini datangnya bukan daripada dunia pembangkang, termasuk bekas pengamal media pro-pemerintah. Maknanya, Perdana Menteri diasak dari pelbagai sisi dan jerangkap samar sukar dikesan lagi.
Kehadiran peserta dan juga "penonton" demo anti-tol yang tidak berkurangan - dan lokasinya yang melebar di pinggir kota raya - biarpun berdepan tangkapan, memberi isyarat rakyat semakin gelisah dan mahu mencari jalan keluar, sedangkan pemerintahan Abdullah terus "pekak-badak" .
Isu-isu berkaitan OSA meliputi khalayak lebih luas berbanding ISA, apatah lagi ia merangkumi, misalnya kadar tarif air, kenaikan tol dan jaminan kerajaan terhadap pemegang konsesi, sesuatu yang menyentuh langsung degup jantung rakyat. Saya kira pemerintah cukup risau 'kebangkitan senyap' ini, lagi pula saluran maklumat sukar dibendung, manakala kelas menengah non-partisan kian aktif menyuarakan kritikan.
Justeru, kempen mansuhkan OSA wajar digerakkan, sekali gus lobi Akta Kebebasan Maklumat (FOIA), dan saya pasti, sokongan terhadapnya mungkin mengejutkan kita. Yang penting, aktivis pembangkang dan NGO berkaitan lebih serius dan kreatif mengolah isu OSA ini. Sekali lagi, jangan sekadar melepaskan batuk di tangga.
Saya tertarik dengan buku kecil Fathi Aris Omar dan Badaruddin Ismail mengenai FOIA, Rahsia Kotak Ezam. Dirakamkan bahawa Peguam Negara Amerika Syarikat pada 1980 pernah mengulas tentang manfaat FOIA di negaranya sejak dilaksanakan pada 1966: "Akta ini semacam sejenis revolusi. Ia menjadikan kerajaan kami lebih terbuka, dan akta ini membuka kesilapan kerajaan. Akibatnya banyak sekalai kesilapan kami berjaya diperbetulkan. Ia membekalkan kepada rakyat data untuk perdebatan umum secara lebih bijaksana."
Pemenang Hadiah Nobel ekonomi, Amartya Sen, berjaya menunjukkan bahawa negara yang mengamalkan demokrasi dan akhbar yang lebih bebas, jarang wujud gejala kebuluran. Seorang pemberita Sweden, Marie Kronmarker berkata: "[Di negara saya] undang-undang mewajibkan seseorang kakitangan kerajaan mendedahkan maklumat rasmi kepada media bagi menghalang salah guna kuasa atau rasuah. Pegawai atasan dilarang [oleh undang-undang] mencari siapa [kakitangan bawah] yang membocorkan maklumat itu."
Getar dalam Umno tidak kurang hebatnya, malah ada menjangkakan perang besar mungkin meletus. Melalui isu panas Altantuya, Anwar Ibrahim berjaya mengasak Najib Razak ke penjuru gelap konfrontasi, termasuk menyeret hal berkaitan rasuah di Kementerian Pertahanan.
Afidavit Abdul Razak Baginda membuka pekung dan ramai ternanti-nanti ceramah Anwar sehingga polis yang dulunya agak lunak dengan bekas TPM itu kini sukar bertolak ansur. Pembunuhan jelitawan Mongolia itu menjadi tema penting ceramahnya.
"Kritikan Anwar itu, tanpa ragu lagi, telah melukakan Najib," kata seorang menteri Umno. "Orang sudah lupa krisis Mahathir-Abdullah, konflik Anwar-Najib lebih mendebarkan. "
Sekali gus akar kekuatan Najib mula dicantas Abdullah, tentunya melalui Khairy Jamaluddin. Populariti Najib mendadak turun dan difahamkan ada orang kanannya mula menjarakkan diri. Meskipun hanya desas-desus, kedudukan Najib sebagai bakal PM goyah.
Bukankah persepsi adalah segalanya dalam politik, jika ramai meramalkan Najib mungkin selepas pilihan raya umum nanti, apabila mahkamah mula bicara, Rosmah Mansor mungkin menggigit jari untuk menjadi Wanita Pertama?
Dan anjakan tarikh pilihan raya ke-12 diramalkan makin dekat, dulu sekitar November depan, kini mungkin lebih awal. Soalnya, bersediakah pembangkang menggalas harapan rakyat dalam waktu terdekat ini? Apakah kita akan berdepan pilihan raya umum akan datang dalam suasana padang permainan sama rata, ataupun secara tidak sedar kita bertembung lagi dengan satu lagi silapmata Pak Lah?
0 comments: