Sumpah orang jahil apa kesannya

5/02/2011 07:52:00 am 0 Comments

Sumpah orang jahil apa kesannya


Oleh Ustaz Ahmad Baei Jaafar

Kalau kita pernah pergi ke Makkah, kita akan berhadapan dengan sikap orang Arab yang berniaga. Setiap ayat yang hendak diucapkan pasti dimulakan dengan sumpah. "Wallahi ya akhi" sudah biasa dibibir mereka. Sudah jadi kelaziman dalam perbualan mereka. Dan pada peniaga ini sumpah cari makan namanya. Kalau tidak, pembeli tidak yakin dengan barang jualannya.
Pasangan yang sedang bercinta, kerap juga bersumpah. Ada yang sumpah hendak hidup semati, juga sumpah tidak ada kekasih lain dan sumpah untuk buat itu dan ini demi cinta, kononnya. Inilah sumpah orang yang bercinta. Sumpah ini kadang-kadang sumpah palsu bagi tujuan mengambil hati kekasihnya. Mereka ini tidak tahu kesan kalau melakukan sumpah palsu.
Ada juga pasangan yang bergaduh membuat sumpah. Sumpah untuk tidak berjumpa lagi, sumpah untuk tidak berkahwin dan sebagainya. Inilah sumpah orang yang bergaduh, sumpah waktu marah. Sumpah ini kadang-kadang gagal ditepati. Apabila hati reda mereka berbaik semula.
Seseorang yang hendak dibicarakan di mahkamah, mereka diminta bersumpah untuk bercakap benar. Maka sebelum bicara dimulakan dengan sumpah yang dipimpin oleh petugas mahkamah. Sumpah itu dilakukan di hadapan hakim. Sumpah di mahkamah ini boleh memberi kesan jika mereka memberi maklumat palsu.
Walaupun bentuk-bentuk sumpah di atas tidak termasuk dalam perintah syarii tetapi sumpah yang diungkapkan jika dilanggar, dia telah berdosa. Walaupun sumpah ini hanya sumpah sesama manusia yang mereka sendiri kena adili tetapi Allah tetap melihat dan mendengar. Maka jika mereka engkar, mereka akan tanggung risiko sendiri. Maka bagi mengelak risiko pelanggaran, batalkan sumpah itu dan bayar kifarat.
Tetapi realitinya, umat Islam tidak faham lalu berkali-kali bersumpah dan berkali-kali pula melanggarnya. Bayangkan kalau setiap kali melanggar sumpah perlu membayar kifarat, berapa banyak yang mereka perlu tanggung dosa.

Sumpah syarii
Seterusnya sumpah yang dilakukan di hadapan Allah. Biasanya seseorang itu bersumpah itu dan ini jika mereka berjaya mendapat impiannya. Sumpah ini juga dipanggil nazar. Sumpah ini wajib mereka laksanakan. Jika mereka gagal melaksanakan sumpah itu, mereka wajib membayar denda iaitu kifarat nazar.
Wajib membayar kifarat sumpah dengan takhyir dan tartib, ertinya memilih dengan mengikut urutan seperti berikut:
1. Memerdekakan hamba atau budak; jika tidak, maka
2. Memberi makan atau pakaian kepada sepuluh orang fakir miskin; jika tidak
3. Puasa tiga hari.

Ada satu lagi sumpah iaitu "ila'" namanya. Ini sumpah suami untuk tidak mahu mensetubuhi isterinya dalam tempoh tertentu. Selepas habis tempoh ila' itu dia perlu ceraikan isterinya, kalau tidak hakim boleh menceraikan isterinya bagi pihaknya. Tetapi kalau dia batalkan sebelumnya dengan mensetubuhi isterinya maka dia perlu membayar kifarat.
Akhir sekali sumpah laknat yang dalam fiqhnya disebut "li'an". Sumpah ini hanya untuk pasangan suami isteri. Iaitu apabila suami yang menuduh isterinya berzina atau isteri menuduh suami berzina, maka mereka telah melakukan satu kesalahan kecuali kalau mereka berjaya membawa empat orang saksi. Jika tidak ada saksi, pihak yang menuduh wajib bersumpah li'an bahawa isterinya berzina atau suami berzina.
Jika tuduhan itu tersasar, sedangkan dia sudah bersumpah maka layaklah dia menerima hukuman Allah seperti yang disumpahkan. Tapi ingat sumpah ini hanya untuk suami isteri sahaja. Bapa mentua, ipar tidak boleh bersumpah dalam kes ini apatah lagi orang luar.
Ketiga-tiga jenis sumbah yang terakhir ini adalah termasuk dalam sumpah syarii. Jika mereka tersalah maka hukuman hanya Allah sahaja yang tahu. Jadi, orang yang beriman harus berhati-hati dengan sumpah ini, tidak harus dimain-mainkan kerana kifaratnya amat berat.

Cara sumpah li'an
Sumpah li'an ini dikenakan kepada pihak yang membuat tuduhan zina dalam kalangan suami isteri tetapi mereka gagal membawa empat orang saksi. Maka suami hendaklah bersumpah naknat sebanyak empat kali. Selepas selesai sumpah suami, isteri bolehlah bersumpah balas menafikannya sebanyak empat kali juga. Tetapi kalau suami sahaja yang bersumpah, isteri wajib dikenakan hukuman hudud.
Ungkapan sumpah itu pelbagai iaitu: "Saya bersaksi dengan Allah bahawa saya dalam kalangan orang yang benar pada apa yang saya tuduhkan ka atas isteri saya (sebut nama) dengan berzina."
Atau: "Bahawa anak ini atau itu anak zina bukan anak saya."
Dan pada akhir kedua-dua sumpah itu hendaklah disambungkan dengan ungkapan ini: "Maka ke atas saya laknat Allah jika saya dalam kalangan orang yang berdusta."
Isteri pula selepas itu harus bersumpah menafikannya: "Saya bersaksi dengan Allah bahawa (sebut nama suami) dalam kalangan orang yang berdusta yang menuduh saya sebagai orang yang berzina." Kemudian akhirinya dengan, "ke atas saya kemurkaan Allah jika adalah dia dalam kalangan orang yang benar."
Jika selesai upacara sumpah itu, terlepaslah mereka berdua daripada hukum hudup iaitu qazab terhadap suami dan rejam terhadap isteri. Walau bagaimanapun hubungan suami isteri selepas itu tercerai secara automatik. Juga ternafi anak itu nasabnya walaupun sememangnya anak itu anaknya. Seterusnya diharamkan mereka berkahwin semula.
Tetapi pada hari ini, jarang kita dengan suami isteri yang melakukan li'an mungkin kerana tidak tahu atau tidak mahu. Walau bagaimanapun kita sering mendengar suami atau isteri yang membuat tuduhan terhadap pasangan masing-masing. Mereka ini secara tidak langsung telah melakukan qazab. Bayang berapa banyak dosa yang mereka lakukan dalam hal ini setiap hari.


0 comments: