Kami memang bekas anggota al-Arqam...

12/02/2008 07:12:00 pm 0 Comments



Jimadie Shah Othman Penerbit video 'Sajak Kematian' yang memuatkan
aksi mayat menerima azab kubur, yang menjadi kontroversi selepas
ditayangkan kepada murid sekolah rendah, mengakui syarikat itu diusahakan oleh
bekas pengikut al-Arqam yang telah diharamkan.

Bagaimanapun, pegawai perhubungan awam syarikat itu Mawaddah Publication,
Alifi Alias berkata: "Al-Arqam sudah mati dan berkubur".

Beliau diminta mengulas kenyataan bekas penasihat undang-undang al-
Arqam, Zabidi Mohamed kelmarin yang dilaporkan mendakwa 'Sajak
Kematian' diterbitkan syarikat yang diusahakan bekas pengikut
kumpulan tersebut.

Kerajaan mengharamkan Al-Arqam sepuluh tahun lalu berikutan atas
dakwaan kegiatan dan ajaran sesatnya menggugat ketenteraman negara.
Alifi juga menafikan dakwaan Zabidi bahawa pengeluaran VCD selama
15 minit itu, bertujuan untuk menyebarkan propaganda ajaran al-Arqam.
"Datanglah (ke tempat kami) dan lihat sendiri," kata Alifi. Syarikat itu
beroperasi di Rawang, Selangor.

Alifi tidak menganggap komen-komen negatif terhadap VCD keluararan
anak syarikat Global Ikhwan Sdn Bhd (GISB) itu sebagai sebuah
serangan.

Sebaliknya, tambah beliau, ia telah memberikan promosi percuma
kepada mereka.

Ada laman web Malaysiakini kelmarin melaporkan video 'Sajak Kematian' mendapat
sambutan hangat, selepas sebuah syarikat televisyen swasta menyiarkan
komen bantahan ibubapa terhadap penyiarannya di sekolah.
Syarikat pengeluarnya mendakwa, sejak diterbitkan pada tahun
2000, VCD tersebut diulang rakam hampir setiap tahun. Setiap
ulang rakam melibatkan lebih 1,000 keping VCD.

GISB sebagai sebuah syarikat didakwa turut memfokuskan usaha
memenuhi tuntututan fardu ain dan fardu kifayah umat Islam dengan
menyediakan pelbagai barangan dan perkhidmatan alternatif.
"Banyak orang bercakap soalan ekonomi umat Islam, tetapi satu pasar
mini pun mereka tidak ada," kata Alifi.

Menurut laman web rasmi syarikat berkenaan Ikhwan Today (
http://www.ikhwanto day.com ), GISB diterajui Ashaari Mohamad
sebagai pengerusi eksekutif.

GISB turut didakwa merangka dan melaksanakan pelbagai projek, tidak
hanya tertumpu kepada aktiviti ekonomi, bahkan projek lain yang
membawa keuntungan kepada umat Islam.
Projek-projek itu termasuklah program politik, tugas khas dan strategi;
pentadbiran dan pelaksanaan; pendidikan dan pelajaran; dakwah dan
motivasi; serta hal ehwal masyarakat dan ekonomi.

5,000 kakitangan Selain itu, menurut lamanweb itu lagi, GISB turut memfokuskan kepada
program kewangan, kebajikan, kesihatan, kebudayaan, pertanian,
teknologi dan ternakan serta pelancongan.

Semua projek ini digerakkan dalam enam zon perniagaan - Utara, zon
tengah, Selatan, Pantai Timur dan Malaysia Timur.
Dengan bilangan pengarah dan pengurus seramai 300 orang di pelbagai
peringkat serta 5,000 pekerja, syarikat ini mempunyai 700 premis
perniagaan di semua bidang yang disenaraikan tersebut.
Mawaddah Publication merupakan salah sebuah daripada syarikat
berkenaan.

Media sebelum ini melaporkan bahawa klip video 'Sajak Kematian' itu
telah ditayangkan di sekolah, yang antara lain, memaparkan babak
seksaan kubur selepas jenazah dikebumikan.
Tayangan klip video tersebut di sekolah telah menimbulkan bantahan
beberapa pihak termasuk ibubapa dan mufti Perlis Dr Mohd Asri Zainul
Abidin.

Kementerian Pelajaran juga dilaporkan akan mengadakan siasatan
berhubung penggunaan klip video itu di sekolah-sekolah.

0 comments: