Hujung Jari Sambung Lidah

12/02/2008 07:33:00 pm 0 Comments

SUKAR untuk sebilangan besar dari kita menerima kenyataan bahawa seseorang yang
kita sayang dan sanjungi ada kelemahan diri.
Bagi peminat fanatik atau yang taksub tentu saja tidak dapat menerima kenyataan bahawa
idola kesayangan ramai seperti Mawi, Datuk Siti Nurhaliza, Sudirman Hj Arshad
mahupun seniman aguing P.Ramlee ada kelemahan mereka tersendiri.
Baru-baru ini, Kakak Tua diberi kesempatan menjenguk pelancaran buku 'Filem-filem
P.Ramlee' yang diusahakan bersama oleh wartawan veteran Mustafa AR dan seniman
Datuk Aziz Sattar yang berlangsung di Saloma Bistro.
Kakak Tua menulis dengan tujuan sebagai pengantara kedua penulis buku 'Filem-filem
P.Ramlee.' Bak kata orang, 'Hujung jari sambungan lidah' - untuk menerangkan apa yang
tidak dapat dijelaskan oleh mereka....
Setelah diamati buku setebal 355 muka surat itu, kesimpulannya konsep penerbitan buku
itu sendiri harus dipuji kerana ianya berlainan sekali dari apa yang pernah disajikan
sebelum ini. Dilihat pula dari segi kesungguhan kedua-dua insan yang pernah mengenali
P.Ramlee ini, banyak betul perkara yang boleh kita ambil iktibar.
20 tahun bukan masa yang sedikit untuk menyiapkan buku yang cukup bermutu ini.
Memang benar karya peninggalan seniman agung Tan Sri P.Ramlee tiada bandingan dan
sumbangannya dalam bidang seni terus abadi dan terpahat dalam minda semua lapisan
masyarakat.
Namun di sebalik kehebatan buku yang turut menyelitkan gambar-gambar dari filem,
sinopsis, ulasan dan pengalaman kedua penulis ketika pembikinan 66 buah filem
P.Ramlee, ada paparan kisah menarik bagaimana P.Ramlee mencedok idea dari filem luar
untuk dimuatkan dalam buku ini.
Ramai yang kepingin tahu filem apa yang memberi inspirasi dan dorongan pada
P.Ramlee? Pengalaman menarik insan seni unik yang membawa nama Putih Ramlee ini
perlu dikongsi bersama....
Tapi sebelum itu, sikap prejudis kena tolak tepi dulu.
Jangan ada secalitpun rasa kecewa jika diberitahu bayangan filem Kurosawa ada di dalam
filem Semerah Padi, begitu juga adegan lucu P Ramlee, Aziz dan S Shamsuddin
mengekori Rose Yatimah dalam Pendekar Bujang Lapok ditiru dari CID lakonan Dev
Anand dan Shakila.
Dan babak Aziz Sattar bersama S Shamsuddin membahagi-bahagikan duit yang dicuri
dalam filem Nujum Pak Belalang itu sebenarnya diambil dari filem Inggeris Tom Thumb
yang diarahkan oleh George Pal.
Aziz Sattar yang juga rakan baik P.Ramlee berkata, walaupun Ramlee menciplak filem
orang lain ini tidak bermaksud dia kekurangan kreativiti.
Jangan dilihat negatifnya tapi seharusnya dilihat dari perspektif kebijaksanaannya
menokok tambah supaya karyanya nampak 'baru' dan lain dari yang lain.
Lagipun, bukankah 'Imitation is the greatest form of flattery' kata pepatah Inggeris?
Kesahihan yang diutarakan dalam buku ini tidak perlulah kita sangsikan kerana 'Bukan
air muara yang ditimba, sudah disauk dari hulunya.' Memang benar dan yakin perkara
yang tercatat dalam buku.
Masalahnya, berapa ramai di antara kita yang boleh menerima hakikat ini? Kita perlu
senantiasa ingat, P.Ramlee bukan maksum seperti para Rasul dan Nabi maka
kesimpulannya kita perlu terima karya P.Ramlee seadanya dan secara 'total'.
Bukan separuh-separuh. ..
Tidak perlu dikontroversikan penemuan baru ini kerana 'kejutan' realiti terbaru ini
hanyalah satu 'eye opener.'
Seharusnya kita tukar 'mind set' kita terutama orang Melayu. Cuba diasingkan atau
dibezakan antara kelebihan dan kelemahan seseorang, tidak kiralah samada orang itu
tokoh politik, artis atau orang biasa macam Pak Lah, Anwar Ibrahim, Tun Mahathir,
Faizal Tahir, Mawi, Siti atau Mufti sekalipun.
Lebih terpuji dan berhemah seandainya sifat baik atau kelebihan seseorang itu kita ambil
dan dahulukan dan yang buruk ditolak tepi dan 'dilupakan'. Tidak perlu taksub bila kita
terlalu suka pada seseorang, sehingga tidak nampak langsung kelemahan atau keburukan
orang itu.
Jangan pula bila sudah diberitahu kelemahan seseorang kita pula dicap sebagai 'busuk
hati', 'tidak kenang budi' dan ada agenda jahat untuk menjatuhkan seseorang itu.
Menyatakan fakta tentang 'kelemahan' dan memburukkan personaliti seseorang adalah
dua perkara yang berbeza. Yang penting apakah niat kita sebenarnya?
Dalam soal buku 'Filem-Filem P.Ramlee', point yang P.Ramlee menciplak/mencedok
atau plagarise karya orang lain adalah satu lagi fakta sejarah agar dapat dijadikan rujukan
pada generasi muda.
Tentu ramai bijak pandai di luar sana maklum sangat bakat dan bakti yang ditinggalkan
oleh P.Ramlee tidak mungkin tergugat dengan penemuan baru ini. Fakta yang
mengatakan beliau pernah menciplak idea orang lain hanya satu lagi 'benchmark' dalam
kecermelangan karya seniman agung ini.
Jadi tak payahlah kita membuntukan fikiran kita. Terimalah segalanya dengan hati
terbuka....
KAKAK TUA: Yang hampa biar terbang, yang bernas biar tinggal!
Sila ke http://www.kolumkak aktua.blogspot. com/ untuk artikel-artikel Kakak Tua

0 comments: