Ini kisah suka duka Wan Azizah

12/02/2008 07:38:00 pm 0 Comments

Ini kisah suka duka Wan Azizah
01 Sep 2008 1:28PM
Oleh Suara Keadilan
Khamis, 14 Ogos 2008
KEBERANIAN Dr Wan Azizah Ismail melepaskan jawatan 31 Julai lalu
sebagai wakil rakyat Permatang Pauh demi perjuangan parti membuktikan
beliau bukan calang-calang orang.
Disebalik sikap peramah dan lemah lembutnya, terselindung jati diri
yang lebih jitu, utuh dan padu iaitu ketabahan dan kecekalan beliau.
Kekuatan dalaman inilah yang membolehkan beliau mengharungi sepak
terajang dunia politik, suatu dunia yang tidak pernah beliau impikan
malah apa lagi menceburinya.
Tetapi itulah yang dikatakan takdir. Takdir juga meletakkan beliau di
persada politik tanahair sebagai Presiden KeADILan sejak parti
tersebut ditubuhkan sedekad lalu.
Beliau memberi laluan kepada suami tercinta, Anwar Ibrahim agar obor
perjuangan yang dibawanya selama tiga penggal sebagai Ahli Parlimen
Permatang Pauh terus dijulang Anwar ke tahap perjuangan yang lebih
mencabar dan getir.
Kesanggupan ini menjadikan beliau seorang yang unik dan disanjung
rakyat di atas pengorbanan beliau itu.
Dalam temuramah selama sejam di ibu pejabat KeADILan, Dr Wan Azizah,
menyingkap pengalaman pahit beliau ketika suami tercinta ditangkap dan
dipukul polis semasa di tahan di bawah Akta Keselamatan Dalam Negeri
pada 1998.
Doktor kelahiran Alor Setar, Kedah ini juga mengimbas kembali
saat-saat manis Anwar dibebaskan daripada Penjara Sungai Buloh pada
2004. Ikuti liku-liku hidup beliau mengharungi tanggungjawab sebagai
seorang ibu, isteri, nenek dan pejuang politik yang beliau berkongsi
bersama Suara Keadilan.
Wartawan Suara Keadilan Dzulkarnain Taib dan Zul Salehin Zulkupli
bersama-sama juru gambar Yuisriah Yusof dan juru kamera Ebrahim Harris
menemubual Dato' Seri Dr Wan Azizah di Ibu Pejabat KeADILan di
Petaling Jaya1 Ogos lalu.
PEMBABITAN POLITIK
Apa yang mendorong Dato' Seri mengambil tanggungjawab menerajui sebuah
parti politik yang baru pada 1998 walaupun Dato' Seri bukan ahli
politik ketika itu?
Saya berkeyakinan bahawa saya harus bangun menegakkan keadilan dan
memberi semangat kepada suami dan juga anak-anak saya.
Pada masa itu anak-anak saya masih kecil lagi dan saya juga mempunyai
latarbelakang yang mungkin berbeza dengan ramai rakyat Malaysia, namun
dalam hati kecil saya saya tetap mahu bahawa saya mesti buat sesuatu.
Itu adalah azam hidup saya untuk menegakkan yang hak dan cuba
melenyapkan ketidakadilan.
Sebelum Dato' Seri menerajui KeADILan, Dato' Seri adalah seorang
isteri kepada Timbalan Perdana Menteri. Mungkin sedikit sebanyak Dato'
Seri didedahkan kepada dunia politik melalui Dato' Seri Anwar Ibrahim.
Adakah Dato' Seri meminati bidang politik sehingga akhirnya meyakinkan
Dato' Seri untuk memimpin sebuah parti politik?
Saya tidak ada minat dan tidak didedahkan kepada apa-apa yang berbaur
politik sejak kecil lagi. Saya dibesarkan di Alor Setar, "a small town
girl" dan belajar di Sekolah Convent. Saya hanya menjalani kehidupan
seperti rakyat biasa. Selepas itu saya ke luar negara, tamatkan
pengajian dan pulang bekerja di Malaysia. Itu saya kira sesuatu yang
biasa dialami oleh ramai orang.
Selepas itu saya bertemu Dato' Seri Anwar Ibrahim dan berkahwin. Saya
mengahwini seorang guru di mana pada ketika itu Dato' Seri Anwar
bekerja di Yayasan Anda Akademi, sebuah institusi untuk anak-anak yang
tercicir. Dato' Seri Anwar mempunyai satu ciri dan azam untuk
mengangkat martabat pendidikan anak-anak Melayu.
Dengan kemudahan yang serba kekurangan, kesempitan hidup, anak-anak
ini mungkin tidak mencapai tahap akademik yang diinginkan. Jadi untuk
membuka peluang bagi mereka, yayasan ini banyak membantu mereka yang
tercicir dalam bidang akademik.
Saya mengahwini Dato' Seri Anwar pada tahun 1980 dan pada ketika itu
pendapatan saya lebih sedikit daripada beliau.
Dato' Seri Anwar mendapat RM800 sebulan dan saya ketika itu berkhidmat
sebagai pegawai perubatan di sebuah hospital kerajaan. Ketika saya
menjalani "housemanship" di Hospital Besar Kuala Lumpur saya bertemu
Dato' Seri Anwar.
Adakah pengalaman yang diperolehi oleh Dato' Seri sebagai isteri
seorang ahli politik memberi kekuatan dan keyakinan kepada Dato' Seri
untuk memimpin KeADILan?
Apabila beliau masuk gelanggang politik pada tahun 1982 dan beliau
memasuki Umno, ia sungguh mengejutkan saya kerana beliau pada ketika
itu juga mempunyai hubungan baik dengan Pas yang dipimpin oleh
Allahyarham Dato' Asri ketika itu. Tetapi dia telah membuat keputusan
dan saya sebagai isteri berharap saya menjadi isteri yang baik serta
memberi segala sokongan kepada suami yang baru memasuki arena politik.
Setelah itu beliau bertanding di Permatang Pauh pada 1982 dan
memenangi kerusi tersebut. Kemudian Dato' Seri Anwar dilantik sebagai
Timbalan Menteri di Jabatan Perdana Menteri dan seterusnya dilantik
menjadi Menteri Belia dan Sukan, Menteri Pertanian, Menteri
Pendidikan, Menteri Kewangan dan akhirnya Timbalan Perdana Menteri.
Saya hanya isteri seorang ahli politik, saya tidak tahu selok belok
politik. Saya hanya menerima tetamu yang datang ke rumah, menghadiri
Perhimpunan Agung Umno dan sebagainya dan juga sedikit sebanyak
pengalaman sebagai isteri menteri dalam Bakti.
Selepas peristiwa penangkapan Dato' Seri Anwar pengalaman saya berubah
dan saya memang merasa tertekan tetapi seperti yang saya katakan saya
berpegang kepada prinsip keadilan.
Pangkat dan kedudukan hanya membantu dalam apa yang kita hendak buat
tetapi apa yang kita percaya itulah yang menjadi dorongan utama.
Saya kira ini adalah pengalaman pahit dalam hidup dan saya akan cuba
harungi sedaya upaya. Sebagai seorang Islam saya mahukan keredhaan
Allah s.w.t dan itulah yang memberi saya kekuatan.
Jika pegangan kita kuat kita mampu menghadapi apa jua kesusahan.
PENUBUHAN KeADILan
Boleh Dato' Seri ceritakan sedikit peringkat awal penubuhan KeADILan
sehingga Dato' Seri dipilih menerajui parti?
Bila saya fikirkan kembali, seolah-olah ulang tayang, saya kira ia
sesuatu yang mustahil terjadi tetapi hakikatnya ia berlaku.
Semua yang terjadi tidaklah dirancang begitu teliti sebab apabila
Dato' Seri Anwar dipecat beliau telah mengadakan "roadshow" menjelajah
seluruh Malaysia dan pada masa itu memang ada ura-ura beliau akan
ditangkap. Jadi pada salah satu ceramah beliau apabila Dato' Seri
Anwar ditanya siapa yang akan menggantikan beliau jika beliau
ditangkap terus Dato' Seri Anwar mengumumkan bahawa saya akan
menerajui parti jika apa-apa terjadi kepada beliau.
Apa perasaan Dato' Seri setelah diisytiharkan oleh Dato' Seri Anwar
sebagai pengganti beliau?
Saya agak terkejut dengan keputusan beliau itu kerana kami tidak
pernah berbincang terlebih dahulu mengenainya. Namun setelah diberi
tanggungjawab saya akur dan pada ketika itu saya tidak merasakan
begitu teruk sebab Dato' Seri Anwar belum ditangkap dan masih di sisi
saya.
Apabila akhirnya Dato' Seri Anwar ditangkap dan saya diumumkan sebagai
pengganti beliau maka saya menerima mandat dan kepercayaan tersebut
dengan penuh rasa tanggungjawab.
Saya mengucapkan alhamdullilah ketika itu dan berdoa kepada Allah,
"Ya Allah berilah kekuatan kepada saya". Itulah sedikit sebanyak apa
yang berlaku pada awal sejarah penubuhan KeADILan.
Selepas itu saya mengadakan perbincangan dengan pemimpin-pemimpin
parti yang lain mengenai struktur organisasi samada ianya satu parti
Melayu atau parti pelbagai etnik, muka-muka baru dalam parti, siapa
yang akan dilantik dalam jawatankuasa dan sebagainya.
ANWAR DI TANGKAP
Apabila Dato' Seri Anwar ditangkap pada September 1998, apa pesanan
terakhir beliau kepada Dato' Seri?
Beliau tidak sempat berpesan apa-apa kerana apabila beliau ditangkap
mereka serbu masuk rumah dan masa itu memang kelam kabut.
Anak saya Ihsan dan Nuha baru balik dari tuisyen ketika itu. Ihsan
diacukan dengan "machine gun" di tengkuknya kerana Ihsan ketika itu
berlari ke arah ayahnya yang telah dikepung manakala Nuha pula lebam
di belakang badannya kerana dihentak dengan buntut senapang. Anak
kelima saya pula menjerit kesakitan kerana dipijak kakinya.
Bagaimana perasaan Dato' Seri ketika Dato' Seri Anwar ditangkap
kerana beberapa hari sebelum itu beliau adalah sebahagian daripada
pemimpin tinggi kerajaan dan apabila dipecat beliau dilayan sebegitu
rupa termasuk keluarga dan anak-anak beliau?
Ketika itu saya tidak mahu fikir mengenai orang lain. Saya hanya
memikirkan untuk menjaga dan melindungi keluarga saya dan itulah
sahaja yang bermain di fikiran saya ketika itu.
Walaupun ramai penyokong datang saya berasa amat lemah dan tertekan.
Anak-anak saya menceritakan apa yang berlaku kepada mereka hanya
selepas dua tahun.
Saya fikir saya mesti melindungi Dato' Seri Anwar. Selepas beliau
ditangkap kami sekeluarga dimasukkan di dalam sebuah van dan Hana
masa itu masih didukung.
Di tengah-tengah perjalanan itu van tersebut berhenti dan kami
dipisahkan. Dato' Seri Anwar dibawa keluar seorang dalam keadaan
digari dan ditutup mata. Saya tidak tahu dimana lokasi kami dipisahkan
kerana saya berada di van berasingan dan sehingga hari ini saya masih
tidak tahu lokasi tersebut.
Apa yang saya ingat ia adalah satu tempat yang sunyi dan saya tidak
dapat mengecamnya. Dato' Seri Anwar sempat mengucapkan "see you later
Zah" ketika kami dipisahkan dan itulah kata-kata terakhir beliau.
Apabila saya sampai ke Bukit Aman saya tidak dibenarkan masuk. Dalam
situasi kelam kabut dan tegang itu tidak sedar yang saya tidak memakai
kasut dan berkaki ayam. Saya berkata kepada pihak polis bahawa saya
tidak akan balik selagi saya tidak tahu di mana Dato' Seri Anwar dibawa.
Anak-anak saya pada ketika berada dalam van. saya berkeras tidak mahu
pulang sehingga polis memanggil Dato' Jamil Johari. Beliau datang
dalam keadaan memakai kemeja T sahaja dan saya terus berkata
kepadanya, "Sebagai seorang Islam, I want your word as a Muslim. You
Islam, I Islam, jangan apa-apakan Anwar. If my husband is guilty or
not guilty you deal with it professionally" .
Masa itu saya tidak sedar bahawa Dato' Seri Anwar sedang dibelasah di
Bukit Aman.
Apa respon Dato' Jamil Johari?
Beliau berkata "yes, kita akan buat secara profesional" . Kemungkinan
beliau juga tidak tahu yang Dato' Seri Anwar dipukul pada ketika itu.
Selepas ditangkap bila Dato' Seri dapat berjumpa untuk pertama kalinya
dengan Dato' Seri Anwar?
Saya tidak dibenarkan menemui beliau ketika ditahan pada 20 September
sehinggalah 29 September. Saya hanya dapat peluang bertemu beliau di
mahkamah. Ini kerana ketika ditangkap dirumah beliau ditahan dibawah
akta 377 B iaitu "sodomy" dan pada keesokan harinya dipinda pula
kepada ISA.
Jadi kita tidak dapat berjumpa sehingga 29 September dan ketika Dato'
Seri Anwar dibawa ke mahkamah matanya lebam. Memang masa saya berjumpa
beliau perasaan saya bercampur antara susah hati dan rasa lega kerana
beliau masih hidup.
Susah hati kerana saya menerima satu panggilan pada 21 September,
sehari selepas Dato' Seri Anwar ditangkap yang mengatakan beliau telah
meninggal dunia! Saat itu saya merasakan seperti orang tidak siuman,
tapi saya berkata kepada diri saya tidak akan percaya sehingga saya
dapat melihat mayat beliau dengan mata kepala saya sendiri. Sebab
itulah apabila saya berjumpa dengan beliau pada 29 September itu saya
berasa amat lega dan bersyukur sekali yang beliau masih hidup.
Saya juga berasa lega apabila hakim membenarkan doktor memeriksa
Dato' Seri Anwar. Pada masa itu, kita dibenarkan melawat beliau tetapi
diawasi ketat oleh polis dan Dato' Seri juga nampak amat keberatan
untuk bercakap cakap kerana mungkin ada Special Branch yang pandai
membaca pergerakan bibir.
Apabila Dato' Seri bertemu Dato' Seri Anwar buat pertama kalinya di
mahkamah, apakah pesanan beliau?
Dato' Seri Anwar berkata kepada saya, "sabar, take it easy". Kita
tidak menjangka ianya akan jadi sebegini rupa dan amat zalim. Mungkin
sebelum beliau dibelasah saya masih ada lagi sikit kepercayaan
terhadap polis tetapi apabila saya melihat mata lebam beliau saya
kurang kepercayaan kepada sesiapapun. Dato' Seri Anwar juga turut
tidak percaya kepada sesiapa kerana dua hari sebelum ditangkap beliau
adalah Timbalan Perdana Menteri dan kemudiannya dipukul. Sebagai
seorang doktor, kita boleh kawal emosi dan bersabar. Jarang saya
tunjukkan emosi saya walaupun selepas Dato' Ser Anwar ditangkap, cuma
sekali sahaja saya menangis ketika di Baling.
SOKONGAN KELUARGA DAN KAWAN
Bagaimana pula dengan sokongan daripada kawan dan sahabat handai Dato'
Seri?
Saya mendapat sokongan dari kawan-kawan tetapi bagi isteri-isteri
menteri dan Perdana Menteri saya faham dilema mereka. Selepas Dato'
Seri Anwar disingkirkan daripada jawatan beliau saya pergi ke rumah
Perdana Menteri dan berjumpa dengan Tun Dr Siti Hasmah.
Dia memang baik dan bertanya kenapa saya tak datang lebih awal. Pada
beliau tindakan suaminya betul dan saya rasa tak mungkin saya akan
dapat apa-apa sokongan dari beliau.
Ada isteri-isteri menteri yang datang jumpa saya tapi tidak ramai, dan
saya berterima kasih kepada mereka kerana sudi datang walaupun
berlainan pandangan politik. Walau bagaimanapun yang membuat saya
berasa amat berbesar hati adalah mereka yang saya tidak kenal langsung.
Mereka inilah yang datang dan memberi saya semangat serta dorongan dan
berjanji mahu bersama-sama menegakkan keadilan. Hati saya amat
terharu apabila seorang makcik tua yang dah bongkok datang berjumpa
saya di Cherok To' Kun dan memberi satu ringgit kepada saya. Saya
betul-betul amat terharu dan peristiwa itu memberi kekuatan lagi
kepada diri saya untuk terus berjuang dan juga menambahkan keyakinan saya.
Semua yang kita lakukan selama ini bukan semata-mata bukan kerana
Dato' Seri Anwar atau keluarga. Memang beliau dizalimi tetapi yang
lebih utama ialah kita lakukan demi negara kita dan rakyat.
Bersama-sama rakyat menegakkan yang hak membuatkan saya yakin dan kuat
semangat.
Bagaimana kesan ke atas anak-anak dan keluarga Dato' Seri melihat apa
yang terjadi kepada Dato' Seri Anwar?
Alhamdulillah anak-anak saya terutamanya Nurul Izzah faham apa yang
berlaku. Mereka melihat ini sebagai satu perjuangan. Mereka menerima
sindiran dari kawan-kawan tetapi ini memperkukuhkan ikatan kami
sekeluarga.
Dato' Seri Anwar adalah seorang ayah yang penyayang dan selalu
bergaul rapat dengan anak-anak dan sekarang bersama cucu. Jadi itu
mengeratkan lagi ikatan kami sebagai satu keluarga. Saya bersyukur
kita mampu menghadapi semua ini dengan sabar dan tabah.
Bila anak-anak saya melihat ibu mereka mampu bertahan dan sabar
menghadapi semua cabaran itu juga yang memberi mereka kekuatan. Mereka
melihat saya tidak tunduk, saya masih teguh dan saya mengatakan kepada
mereka bahawa ini adalah fitnah terhadap ayah mereka dan kita harus
bersama-sama menegakkan keadilan.
Walaupun ada bisikan-bisikan yang ragu-ragu dengan fitnah ini, kami
sekeluarga tetap berpegang teguh dengan pendirian kami bahawa ini
adalah fitnah semata-mata.
MELAWAT ANWAR DI PENJARA
Selama enam tahun Dato' Seri Anwar dipenjarakan berapa kali Dato' Seri
sekeluarga melawat beliau?
Ianya bergantung. Ketika dalam tahanan reman kami boleh melawat dua
minggu sekali tetapi pada peringkat awal reman, kami tidak dibenarkan
melawat beliau. Saya hanya dapat bercakap dengan beliau menggunakan
interkom disebalik dua lapisan kaca dan wajah Dato' Seri Anwar tidak
jelas kelihatan kerana kaca tersebut agak kotor.
Apabila Dato' Seri Anwar mula menggunakan kerusi roda, bapa mertua
saya menulis surat kepada Perdana Menteri untuk merayu dan membenarkan
kami melawat beliau seminggu sekali.
Agak payah juga waktu hendak melawat Dato' Seri Anwar sebab kami perlu
serah kad pengenalan, mengisi borang dan terpaksa menunggu lama dan
pelbagai lagi halangan tetapi apabila dapat berjumpa beliau kami
sekeluarga dapat menghilangkan kerinduan kami. Ketika berjumpa Dato'
Seri Anwar beliau sentiasa berlagak normal dan tidak memberitahu
kesusahan yang dihadapinya. Jika saya fikirkan masa beliau ditahanlah,
saya dapat bersama-sama beliau meluangkan masa kualiti dengan
anak-anak. ketika menjadi Timbalan Perdana Menteri perjum-paan
sebegini memang jarang berlaku kerana beliau terlalu sibuk dengan
tugas-tugas rasmi kerajaan. Mungkin juga ada hikmah di sebalik
penangkapannya.
Sepanjang enam tahun tersebut, walaupun hanya dapat berjumpa 40 minit
dengan beliau namun ianya cukup berharga bagi kami. Ketika itu
anak-anak mengambil peluang untuk berbual dengan ayah mereka dan ini
merupakan kenangan manis bagi kami sekeluarga. Bagaimanapun kami tidak
dibenarkan membawa makanan.
Berapa kali pula Dato' Seri sekeluar-ga berpeluang menyambut harijadi
bersama Dato' Seri Anwar semasa beliau dalam tahanan?
Ia jarang kerana memandangkan beliau di penjara tetapi kami berpeluang
hanya sekali di mahkamah apabila kami membawa kek harijadi untuk
beliau. Walau bagaimanapun, alhamdullilah, yang paling penting kami
sekeluarga masih teguh bersama.
TANGGUNGJAWAB POLITIK DAN ANAK-ANAK
Adakah anak-anak Dato' Seri mempunyai kesedaran politik melalui apa
yang terjadi kepada ayah mereka?
Izzah yang paling memahami senario yang berlaku dan adik-adiknya yang
lain hanya ambil tahu sahaja.
Daripada masa Dato' Seri menerajui parti sehinggalah meletak jawatan
sebagai Ahli Parlimen Permatang Pauh adakah Dato' Seri mengadakan
perbincangan dengan Dato' Seri Anwar mengenai hal dan masalah
bersangkutan parti, polisi, dasar, perancangan dan sebagainya?
Kami sentiasa sibuk dengan kerja-kerja parti tetapi kami sering
berbincang secara tidak formal. Bukan kami berdua sahaja berbincang,
Dato' Seri Anwar lebih gemarkan konsensus daripada semua pemimpin
parti dan juga pemimpin Pakatan Rakyat. Kita tidaklah mempunyai
kepakaran dan sesi `briefing' seperti yang diberi oleh Perdana Menteri
tetapi kita ambil pendapat semua orang.
Apakah cabaran-cabaran yang Dato' Seri hadapi sepanjang sepuluh tahun
menerajui KeADILan?
Sememang dalam parti ada pasang surutnya. Pada 1999 kita melihat
ramai pemimpin KeADILan keluar dan masuk parti. Ini lumrah. Pada
pilihan raya 1999 kami memenangi 5 kerusi dan 2004 hanya satu kerusi
sahaja.
Jika kita membuat kajian senario politik negara, keadaan politik yang
kita alami bagaikan `pendulum' dimana setiap kali pilihan raya, rakyat
akan beri sokongan kepada kerajaan dan pada pilihan raya yang lain
rakyat berpihak kepada pembangkang.
Tahun 2008 adalah tahun bagi pembangkang dan 2004 adalah untuk
kerajaan di mana pada ketika itu kita mempunyai Perdana Menteri yang
baru dengan konsep Islam Hadhari-nya dan tamatnya era Tun Dr Mahathir.
Jadi rakyat mendapat harapan baru dan mengundi Perdana Menteri yang
baru. Pada ketika itu hanya saya seorang memenangi kerusi yang
ditandingi KeADILan dan itu pun hampir kalah.
SAAT MANIS DAN PAHIT
Boleh Dato' Seri berkongsi saat yang paling pahit dalam tempoh sepuluh
tahun ini?
Saat yang paling pahit ialah ketika saya diberitahu Dato' Seri Anwar
meninggal dunia dalam tahanan polis. Saya tidak berapa ingat apa lagi
yang diberitahu dalam panggilan telefon tersebut tetapi saya cuma
beritahu saya tidak percaya dengan cerita itu.
Saya jarang bercakap kasar dengan orang tetapi ketika itu saya
tinggikan suara saya kerana terlalu marah dengan berita yang
mengatakan Dato' Seri Anwar telah meninggal.
Saya katakan kepada diri saya sendiri masa kan Allah tidak memberikan
hambanya peluang kerana saya adalah mangsa dalam masalah ini dan tidak
langsung terlibat dengan politik.
Daripada 20 September sehingga 29 September merupakan hari-hari yang
paling gusar bagi saya kerana saya tidak mengetahui langsung apa yang
terjadi kepada Dato' Seri Anwar.
Saya dapat berkomunikasi dengan Musa Hasan yang mengendalikan siasatan
itu dan bertanya kepada beliau keadaan Dato' Seri Anwar dan beliau
memberi jaminan bahawa Dato' Seri Anwar berada dalam keadaan dan
kesihatan yang baik.
Selama sembilan hari tidak ada berita mengenai Dato' Seri Anwar,
apakah yang bermain-main di fikiran Dato' Seri pada ketika itu?
Saya hanya fikirkan tentang anak-anak dan keluarga dan bagaimana
hendak menangani masalah ini. Apa yang mampu saya buat, dengan tidak
ada pekerjaan ketika itu dan di mana pula hendak dapatkan sumber
kewangan untuk menjalani kehidupan seharian?
Rumah kami di Bukit Damansara juga belum habis dibayar pinjaman
perumahan kerajaannya tetapi alhamdullilah, selepas itu ramai yang
membantu kami sekeluarga dengan sumbangan dari mereka. Sedikit
sebanyak dapatlah kami menampung perbelanjaan umpamanya tuisyen
anak-anak. Saya amat bersyukur ke hadrat ilahi dengan rezeki yang
dilimpahkannya. Izzah ketika di Uniten, ramai juga yang membantunya.
Apa pula saat yang paling manis buat Dato' Seri?
Saat paling manis sudah pasti ketika Dato' Seri Anwar dibebaskan dari
penjara kerana saya tidak menyangka beliau akan dibebaskan. Sebelum
beliau dibebaskan, Dato' Seri Anwar ada menyebut kemungkinan beliau
akan dibebaskan cuma beliau berpesan kepada saya supaya tidak
meletakkan harapan yang tinggi dan jangan bersedia untuk hari tersebut.
Pada hari beliau dibebaskan kami terkejut apatah lagi dengan keadaan
rumah yang masih tidak terurus kerana kami berpindah dari kediaman
rasmi setelah dua hari Dato' Seri Anwar dipecat. Kami hanya membuka
separuh sahaja kotak-kotak di rumah Bukit Damansara itu dan selebihnya
dibiarkan dalam kotak.
Ketika mendapat berita tersebut keadaan kami sekeluarga ketika itu
agak kelam kabut sedikit. Dato' Seri Anwar ketika pulang dari penjara
membawa bersama barang-barang peribadinya dan baju beliau semuanya
masih berada dalam kotak-kotak yang belum dibuka. Pada keesokan
paginya, ketika kami sedang bersarapan, Dato' Seri Anwar hanya berkain
pelikat dan menyarung kemeja T dan apabila saya membuka pintu rumah
kami terkejut melihat jurugambar-jurugamb ar dari akhbar Cina yang
telah sedia menunggu di hadapan rumah.
Mereka berebut-rebut untuk mengambil gambar Dato' Seri Anwar dan saya
agak terkejut dengan apa yang berlaku. "Okaylah, it was nice, he's
around, the kids checked up on him and they still can't believe that
papa is home and everyone in the family is very happy at that time".
Pada keesokan harinya kami mengambil pasport beliau untuk membawanya
ke Munich bagi pembedahan sakit belakangnya.
ANWAR DIBEBASKAN
Apa perancangan awal Dato' Seri setelah Dato' Seri Anwar dibebaskan?
Saya memikirkan tentang masalah kesihatan Dato' Seri Anwar kerana
beliau sudah menggunakan kerusi roda dan tidak dapat berjalan dengan
betul. Keadaan fizikalnya juga kurus disebabkan beliau jarang makan
ketika dalam tahanan dan sering berpuasa.
Sudah berapa lama Dato' Seri sekeluarga tidak pergi bercuti?
Ketika kami ke Munich untuk pembedahan Dato' Seri Anwar itulah
dianggap percutian bagi kami sekeluarga, "we took it as part vacation"
dan kami sekeluarga selepas itu mengerjakan umrah yang pada ketika itu
bulan Ramadhan dan kami menyambut Ramadhan di sana.
Jadi kami dapatlah juga peluang untuk bercuti dan ketika juga Dato'
Seri Anwar menjadi profesor, kami sekeluarga turut melawat beliau dan
ke Geneva selama dua hari.
Ketika berada di luar negara, bagaimana respon rakyat Malaysia dan
asing terhadap Dato' Seri Anwar?
Alhamdullilah, kami diterima dengan baik. Dato' Seri Anwar sering
dijemput untuk memberikan ucaptama dan mendapat sambutan yang amat
baik. Bagaimanapun pelajar Malaysia telah diberi amaran oleh
"Malaysian Student Department" untuk tidak menghadiri apa-apa ceramah
yang melibatkan Dato' Seri Anwar dan jika ingkar, pelajar-pelajar ini
akan mengalami masalah biasiswa.
LEPASKAN KERUSI PARLIMEN PERMATANG PAUH
Apakah yang mendorong Dato' Seri untuk melepaskan kerusi parlimen
Permatang Pauh kepada Dato' Seri Anwar kerana sebelum ini Kulim Bandar
Baharu dikatakan kawasan beliau akan bertanding pilihan raya kecil?
Kami telah berbincang dan saya mula-mula dahulu ketika bertanding dan
memasuki politik pun kerana apa yang terjadi kepada Dato' Seri Anwar.
Kalau beliau tidak boleh bertanding ini adalah kerana kerajaan menjadi
penyebab perkara sebegini berlaku. Kerajaan tidak membenarkan beliau
bertanding pada 2008.
Sekiranya kerajaan membenarkan beliau bertanding, perkara sebegini
tidak akan berlaku.
Saya juga pernah memberitahu dan berterus terang kepada
pengundi-pengundi saya, bahawa jika saya menang kerusi Permatang Pauh
saya akan kosongkan kerusi ini untuk memberi laluan kepada Dato' Seri
Anwar bertanding.
Beliau memang berasal dari Permatang Pauh dan menjadi ahli parlimen
Permatang Pauh sejak tahun 1982 lagi sehingga 1999.
Jadi ada satu ikatan yang begitu erat sekali di antara kami dan
penduduk Permatang Pauh. Dalam pilihan raya 2004 saya memenangi kerusi
itu. Pada kiraan pertama, saya sudah menang dan saya tidak meminta
kiraan semula. Tidak mungkin saya hendak membuat kiraan semula jika
saya sudah diisytiharkan menang.
Pihak lawanlah yang meminta kiraan semula kerana mereka sudah kalah.
Pada ketika itu televisyen di seluruh negara mengatakan saya kalah,
`kecundangnya di kubu kuatnya di Permatang Pauh' kata mereka. Selepas
kiraan semula pada malam itu, saya bertemu pengundi di satu ceramah
dan saya berkata, `malam ini berbalaslah rasa kasih Anwar Ibrahim
kepada Permatang Pauh dan Permatang Pauh kepada Anwar Ibrahim'.
SELEPAS PERMATANG PAUH
Apakah perancangan Dato' Seri setelah secara rasmi mengakhiri tugas
sebagai wakil rakyat Permatang Pauh secara rasmi?
Saya masih lagi menjadi Pengerusi Yayasan Aman dan juga Presiden
KeADILan dan saya akan jalankan tugas seperti biasa. Dato' Seri Anwar
adalah Ketua Umum parti dan saya akan terus membantu beliau.
Kita percaya kepada "collective leadership" dan kita juga merupakan
parti pelbagai etnik dan aspek ini penting dalam perjuangan kami.Satu
lagi tugas saya ialah sebagai seorang isteri, ibu kepada anak-anak
saya dan juga nenek.
Adakah Dato' Seri akan kerap melawat Permatang Pauh walaupun sudah
meletakkan jawatan sebagai wakil rakyat?
Saya rasa ada talian yang kuat di antara kami. Kemesraan antara saya
dan pengundi-pengundi di Permatang Pauh akan berterusan sampai
bila-bila dan jikalau Dato' Seri Anwar tidak dapat balik ke Permatang
Pauh saya boleh mewakili beliau dan bertemu rakyat Permatang Pauh dan
ini tidak menjadi masalah kepada saya.
KONSPIRASI KEDUA
Apa pandangan Dato' Seri mengenai konspirasi kedua terhadap Dato' Seri
Anwar dalam usaha menghalang beliau memimpin Malaysia?
Ada juga perasaan begitu tetapi sekarang ini rakyat lebih faham dan
tahu bahawa ia adalah secara terang satu konspirasi. Mereka sudah
tidak ada apa-apa lagi untuk menuduh Anwar. Apa yang mereka ada?
Rasuah yang mereka cari sudah bertahun-tahun tetapi tidak jumpa dan
jika ada sudah pasti ada kes terhadap Dato' Seri Anwar.
Skandal dengan perempuan? Masa dahulu mereka tuduh beliau dengan
wanita Mexicolah, Latinolah tetapi semuanya tidak ada asas dan bukti.
Kes liwat juga telah digugurkan. Ini memang jelas konspirasi dan kami
sudah bersedia untuk menghada-pinya, insyaAllah.
Adakah Dato' Seri berasa takut dengan khabar angin yang mengatakan
bahawa Dato' Seri Anwar akan ditangkap dalam masa terdekat ini?
Kita memang ketahui mengenai khabar angin ini dan wartawan pun telah
mula berkampung di hadapan rumah kami kerana mereka telah diarahkan
oleh editor masing-masing untuk mendapatkan berita penangkapan semula
Dato' Seri Anwar.Dahulu beliau ditangkap ala "Rambo".
Kami melihat helikopter berlegar-legar di ruang udara sekitar rumah
kami. Kami telah berbincang mengenai langkah yang perlu diambil
sekiranya penangkapan ini benar-benar terjadi.
Sekiranya Dato' Seri Anwar ditangkap dan didakwa tanpa jaminan tetapi
menurut undang-undang beliau masih boleh bertan-ding seperti saudara
Manoharan yang menang bertanding di Kota Alam Shah walaupun menjadi
tahanan ISA. Jadi kita boleh mengisi borang pencalonan dan hantar
melalui peguam bagi memastikan Dato' Seri Anwar dapat bertanding.
MASA BERSAMA KELUARGA
Apakah perasaan Dato' Seri sekarang setelah dapat meluangkan masa
berkualiti bersama anak-anak dan juga cucu?
Alhamdullilah, saya berasa amat bersyukur sebab dapat peluang ini
sekarang. Kalau tunggu lama lagi mungkin saya sudah tak bertenaga lagi
tetapi sekarang ini saya masih bertenaga dan boleh bermain dengan cucu
dan meluangkan lebih masa dengan anak-anak. Satu hari nanti kita
bangun tidur dan melihat anak-anak kita semuanya sudah besar dan tiada
siapa lagi yang tinggal bersama kita. Masa itu kita akan berkata, "Ya
Allah, masa berlalu begitu pantas sekali dan saya terlepas peluang
untuk bersama anak-anak dan cucu" tetapi sekarang ini saya masih
berpeluang.
Soalan terakhir buat Dato' Seri, kalaulah ditakdirkan Dato' Seri Anwar
menjadi Perdana Menteri Malaysia dalam masa terdekat ini, adakah Dato'
Seri bersedia menjadi `First Lady' atau Wanita Pertama?
Saya rasa walau apa pun peranan saya, insyallah, sebagai isteri itu
adalah keutamaan dan juga sebagai ibu. Kalaupun beliau tidak menjadi
sesiapa-pun, kalau beliau seorang banduan sekali pun, saya masih lagi
menjadi isteri dan ibu, itu yang terpenting.
Kalau saya fikirkan tentang nama dan status sebagai Wanita Pertama
Malaysia, itu sudah menjadi rumit dan niat sudah menjadi lain, saya
rasa saya tidak mahu fikirkan tentang perkara itu buat masa ini.

0 comments: