Pengarah Urusan Kumpulan Pusrawi didenda RM37,000

7/01/2013 08:07:00 pm 0 Comments

Pengarah Urusan Kumpulan Pusrawi didenda RM37,000

PETALING JAYA 13 Jun — Seorang Pengarah Urusan Kumpulan Pusrawi Holdings Sdn. Bhd. didenda RM37,000 oleh Mahkamah Sesyen di sini atas dua tuduhan membenarkan pinjaman RM500,000 dibuat tanpa kelulusan ahli lembaga pengarah syarikat terbabit, sembilan tahun lalu.
Mohd. Shukri Abdul Rahman, 57, dijatuhi hukuman tersebut oleh Hakim Abu Bakar Manat setelah tertuduh mengubah pengakuan kepada bersalah bagi kedua-dua pertuduhan itu hari ini.
Mengikut kertas pertuduhan, tertuduh yang juga pengarah syarikat pembekal keperluan hospital, PT Lab Sdn. Bhd. telah membenarkan pinjaman tersebut dibuat kepada syarikat Pusrawi Engineering Sdn. Bhd.
Dakwaan terhadapnya dikemukakan mengikut Seksyen 132(1) Akta Syarikat 1965 dan boleh dihukum di bawah Seksyen 132(3) akta sama yang memperuntukkan hukuman penjara lima tahun atau denda sehingga RM10,000.
Bagi pertuduhan kedua, Mohd. Shukri didakwa membenarkan pinjaman yang sama sedangkan syarikat PT Lab Sdn. Bhd. bukanlah syarikat persendirian yang dikecualikan dan perbuatannya melanggar peruntukan Seksyen 133A(1)(a) akta berkenaan.
Tertuduh didakwa mengikut Seksyen 133A(1)(a) akta tersebut dan boleh dihukum mengikut Seksyen 133A(4) akta sama yang membawa hukuman penjara sehingga lima tahun atau denda sehingga RM30,000.
Kedua-dua perbuatan itu didakwa dilakukan di pejabat syarikat PT Lab Sdn. Bhd. di No. 22 Jalan Pekaka 8/3, Seksyen 8, Kota Damansara di sini antara 17 Ogos dan 30 September 2004.
Abu Bakar menjatuhkan hukuman denda maksimum RM10,000 bagi pertuduhan pertama sementara pertuduhan kedua, tertuduh didenda RM27,000.
Terdahulu, Pegawai Pendakwa Kanan dari Suruhanjaya Syarikat Malaysia (SSM), Mohd. Zulkhairi Kamaruzaman memohon mahkamah menjatuhkan hukuman setimpal kerana pengakuan bersalah tertuduh hanya dibuat hari ini, iaitu setelah empat tahun pendakwaan berjalan.
Sementara itu peguam Surdev Singh yang mewakili tertuduh memohon mahkamah tidak menjatuhkan hukuman penjara kerana anak guamnya menghidap penyakit jantung dan perlu menjalani rawatan berskala.


Artikel Penuh: http://www.utusan.com.my/utusan/Mahkamah/20130614/ma_03/Pengarah-Urusan-Kumpulan-Pusrawi-didenda-RM37,000#ixzz2Xr0SBGLa
© Utusan Melayu (M) Bhd 

0 comments: