Akibat percaya e-mel cabutan bertuah,

2/05/2013 09:58:00 pm 0 Comments



Akibat percaya e-mel cabutan bertuah, guru tadika rugi RM17,100

Bernama MediaBernama Media – 
  •  
  • JOHOR BAHARU, 2 Feb (Bernama) -- Seorang guru tadika berusia 36 tahun membuat laporan polis semalam selepas mendapati dirinya ditipu satu sindiket melalui e-mel pada 13 Dis tahun lepas.

    Ketua Polis daerah Johor Baharu Utara, ACP Ruslan Hassan hari ini berkata e-mel berbahasa Inggeris itu dari pihak tertentu menggunakan logo syarikat penerbangan AirAsia memberitahu bahawa mangsa memenangi US$130,000 (RM403,715) dalam satu cabutan bertuah di London sempena perayaan Krismas.

    Katanya, pihak sindiket itu memberitahu guru tadika itu hadiah tersebut telah siap sedia untuk dimasukkan ke dalam akaun wanita itu melalui Telco Online Bank.

    Wanita itu dalam laporannya berkata pada bulan lepas beliau menerima satu lagi e-mel dari pihak yang beralamat malaysiapolice@asia.com menyatakan bahawa siasatan Polis DiRaja Malaysia (PDRM) mendapati cabutan bertuah itu sah di sisi undang-undang.

    "Berikutan itu, pengadu telah memasukkan secara berperingkat-peringkat wang sebanyak RM17,100 ke dalam akaun yang diberikan sindiket tersebut untuk mendapatkan hadiah yang dikatakan telah dimenanginya itu," kata Ruslan.

    Beliau berkata e-mel dari AirAsia dan PDRM itu adalah palsu dan menasihati orang ramai supaya tidak mudah terpengaruh dengan sindiket cabutan bertuah ataupun gores dan menang.

    Menurut Ruslan, polis telah menubuhkan pasukan khas bagi menyiasat kes itu mengikut Seksyen 420 Kanun Keseksaan kerana menipu yang membawa hukuman penjara maksimum 10 tahun, denda dan sebatan jika sabit kesalahan.
Jangan layan individu minta maklumat kad kredit


KUALA LUMPUR - Orang ramai diingatkan agar tidak melayan sebarang panggilan telefon daripada individu yang mendakwa dari sebuah bank tempatan dan meminta pengesahan transaksi kad kredit atau berkaitan tunggakan kad kredit.
  
Pengerusi Biro Aduan Parti Gerakan Rakyat Malaysia (PGRM) Wilson Lau Hoi Keong berkata ini kerana panggilan itu mungkin daripada anggota sindiket penipuan kad kredit.
  
"Modus operandi sindiket itu ialah dengan menelefon mangsa dan mendakwa  sebagai pegawai bank dan memberitahu bahawa mangsa mempunyai tunggakan bayaran kad kredit yang perlu segera dijelaskan," katanya pada sidang akhbar di sini.
  
Beliau berkata pemanggil kemudian meminta mangsa memasukkan sejumlah wang ke akaun pihak ketiga atas alsan untuk melindungi keselamatan wang itu dan transaksi tersebut dirahsiakan.
   
Katanya, setakat ini, pihaknya menerima 18 aduan daripada mangsa penipuan sindiket itu.
Seorang ahli perniagaan, William Pheng, 39, yang hadir pada sidang akhbar itu, mendakwa beliau hampir terpedaya apabila menerima panggilan daripada seorang lelaki yang mengaku pegawai sebuah bank.
  
Beliau berkata 'pegawai bank' itu memintanya mengesahkan transaksi kad kredit bagi pembelian barangan dari luar negeri.
  
"Saya menjawab bahawa saya tidak ada membuat sebarang transaksi berkenaan dan pegawai itu kemudian memberikan nombor lain untuk pengesahan. Apabila saya menghubungi nombor telefon itu, seorang lelaki yang mendakwa sebagai pegawai Bank Negara meminta maklumat berkaitan akaun perbankan dan kad kredit saya.
  
"Lelaki itu arahkan saya untuk memindahkan wang di kaunter kepada akaun pihak ketiga atas alasan memastikan wang saya dilindungi, dan meminta agar saya merahsiakan transaksi itu," katanya.
  
Pheng berkata beliau yang meragui permintaan lelaki itu menelefon Bank Negara, dan dimaklumkan nama lelaki itu tidak ada dalam senarai pegawai bank pusat tersebut. - Bernama

0 comments: