Melayu Oh Melayu
MELAYU OH MELAYU
from Che Det by Dr. Mahathir Mohamad
3 people liked this
1. Saya sedih. Saya amat sedih apabila mendengar seorang orang Melayu yang mendakwa dia kecewa kerana dianya dilahir berbangsa Melayu.2. Kekecewaannya disebabkan dia tidak dilahir hanya sebagai orang Islam.
3. Sesungguhnya tidak ada manusia yang dilahir tidak berbangsa. Mungkin ada yang tidak bernegara (stateless) tetapi mereka juga mempunyai bangsa, walaupun tidak diiktiraf oleh negara mereka sendiri. Jika dianya daripada kaum pendatang maka dianya akan menjadi bangsa kaum pendatang.
3. Sesungguhnya tidak ada manusia yang dilahir tidak berbangsa. Mungkin ada yang tidak bernegara (stateless) tetapi mereka juga mempunyai bangsa, walaupun tidak diiktiraf oleh negara mereka sendiri. Jika dianya daripada kaum pendatang maka dianya akan menjadi bangsa kaum pendatang.
4. Jika dianya dilahir dalam masyarakat Orang Asli sekalipun dia tidak dapat lari daripada menjadi anggota suku kaum berkenaan.
5. Sesuatu bangsa itu dikenali dengan tempat tinggalnya, atau tempat dan negara asalnya, bahasanya dan budayanya. Anutan agama tidak selalunya dikaitkan dengan bangsa.
6. Demikian ada orang Arab yang beragama Kristian, walaupun majoriti beragama Islam. Demikian juga orang Cina ada yang beragama Islam walaupun majoriti beragama Buddha.
7. Justeru itu kelahiran seseorang tetap berbangsa walaupun tidak tetap agamanya. Sebaliknya orang yang dilahirkan kepada keluarga Islam tidak semestinya berbangsa tertentu. Majoriti daripada mereka berbangsa yang berlainan.
8. Walaupun demikian dalam dunia ini terdapat dua bangsa yang bangsanya ditentukan oleh agama Islamnya. Bangsa-bangsa ini ialah bangsa Maldives dan Melayu. Seseorang yang dilahir dalam keluarga Melayu tetap Islam kerana keluarga itu tidak akan berbangsa Melayu jika mereka tidak Islam.
9. Justeru itu berbahagialah seseorang yang dilahir dalam keluarga Melayu kerana dia tetap menjadi penganut agama Islam. Jika dia dilahir kepada keluarga Arab, atau Indonesia, atau Pakistan, belum tentu dia beragama Islam.
10. Sebab itulah seorang Melayu harus bersyukur kerana dilahir berbangsa Melayu. Apabila orang Melayu berasa dia kecewa kerana berbangsa Melayu, maka ini bermakna dia tidak menghargai nasibnya yang baik kerana dia dilahir sebagai orang Islam. Jika tidak kemungkinan besar dia tidak akan terima agama Islam.
11. Kenapakah kita berbangsa-bangsa? Al-Quran menyebut yang kita manusia terdiri daripada berbagai-bagai bangsa. Jika bangsa adalah sesuatu yang bertentangan dengan ajaran Islam, tentu sekali Tuhan tidak akan menjadikan manusia berbagai bangsa.
12. Yang terbaik daripada manusia bukankah kerana bangsanya tetapi kerana dia bertakwa kepada Allah s.w.t. Yang terbaik atau yang terburuk dikalangan orang Melayu bukanlah kerana bangsanya tetapi kerana dia bertakwa dan mengikuti ajaran Islam atau tidak mengamalkan ajaran Islam. Tidak disebut bahawa yang terbaik ialah orang Islam yang tidak daripada apa-apa bangsa.
13. Justeru itu berbangsa apa pun, Arab atau Ajam, tidak menidak ke-Islamannya. Yang menidak ke-Islaman ialah perbuatan yang bercanggah dengan ajaran Islam.
14. Ini yang harus disoal oleh seorang orang Islam dan bukan menidakkan bangsanya. Lagipun kalau dianya beragama Islam kebaikannya tidak terjamin. Ramai benar orang Islam yang melanggar ajaran Islam dan membuat dosa. Sebaliknya yang berbangsa Melayu dan beragama Islam, ramai yang menurut ajaran Islam dan mengelak daripada berbuat dosa.
15. Mentaati dan bersetia kepada bangsa Melayu, iaitu bangsa yang hanya Melayu jika dianya Islam, tidak bermakna menolak agama Islam. Sebaliknya kesetiaan dan ketaatan orang Melayu kepada agama Islam lebih terjamin. Walaupun biasa terdengar ada orang Melayu yang tinggalkan agama Islam, tetapi tidak ada bukti yang jelas berkenaan dengan adanya orang ini. Lagipun jika dia meninggalkan agama Islam dia tidak Melayu lagi.
0 comments: