Rokok e-elektronik terdedah pelbagai penyakit
Pengguna rokok e-elektronik terdedah pelbagai penyakit kronik
- BENTONG, 20 Jan (Bernama) -- Penjualan rokok e-elektronik bukan sahaja salah di sisi undang-undang malah pengguna produk itu turut terdedah kepada pelbagai penyakit kronik.
Menteri Kesihatan Datuk Seri Liow Tiong Lai berkata penjualan bahan dan produk itu adalah salah mengikut Akta Racun 1952 dan Peraturan-Peraturan Kawalan Dadah dan Kosmetik 1984.
"Mereka yang didapati bersalah menjual dan mengedar produk itu dan cecair nikoton untuk kegunaan rokok e-elektronik boleh didenda tidak melebihi RM3,000 atau penjara tidak melebihi satu tahun atau kedua-dua sekali," katanya.
Beliau ditemui pemberita selepas menyampaikan sijil kepada 353 pelajar cemerlang dalam Ujian Pencapaian Sekolah Rendah dan Penilaian Menengah Rendah bagi kawasan Parlimen Bentong di sini, hari ini.
Liow berkata sekalipun salah, namun penjualan rokok e-elektronik itu sukar dikawal berikutan orang ramai didapati melakukan pembelian menerusi internet.
"Rokok e-elektronik atau e-rokok ini kononnya bertujuan membuang tabiat merokok secara beransur-ansur, tanpa disedari mereka yang menggunakannya terdedah kepada kepada pelbagai jenis penyakit kronik," katanya.
Pada perkembangan berkaitan, Liow yang juga anggota Parlimen Bentong berkata kerajaan menyediakan peruntukan yang besar dalam Belanjawan 2013 bertujuan memastikan kualiti hidup yang lebih baik dan sihat.
Katanya tidak ada gunanya jika negara mencapai status negara maju menjelang tahun 2020 dan rakyat pendapatan tinggi tetapi mereka berada dalam keadaan tidak sihat dan menghidap pelbagai jenis penyakit kronik.
"Keadaan seperti itu akhirnya akan menyebabkan produktiviti dan ekonomi negara tidak meningkat.
"Kita berharap rakyat mengamalkan gaya hidup sihat dengan banyak membuat senaman sekurang-kurangnya 20 minit setiap hari dan menjauhi tabiat yang boleh merosakkan kesihatan seperti merokok," katanya.
0 comments: