3/23/2008 06:29:00 pm 0 Comments

20 syarikat bas gulung tikar

Oleh Ibrahim Isa
ibrahim@hmetro.com.my

JOHOR BAHRU: Kira-kira 20 pengusaha bas kecil-kecilan terutamanya milik Bumiputera selain tiga syarikat besar terpaksa gulung tikar sejak 2005, berikutan beberapa masalah di luar kawalan dan perubahan membebankan yang diwajibkan pihak berkuasa sejak kebelakangan ini.

Keadaan itu menyebabkan kebanyakan pengusaha kini terpaksa menyewakan lesen atau kenderaan masing-masing kepada pihak lain bagi melangsaikan hutang.

Berikutan itu, ratusan pekerja syarikat bas kini kehilangan kerja, selain menyukarkan pengguna yang bergantung kepada bas sebagai pengangkutan utama terutamanya di kawasan luar bandar.

Presiden Persatuan Pengusaha-pengusaha Bas SeMalaysia, Datuk Mohamad Ashfar Ali, berkata peningkatan kos disebabkan beberapa faktor, menyebabkan semua pengusaha bas kini sukar bertahan dan berharap pihak berkuasa akan meluluskan usul kenaikan tambang bas.



"Kami akan meminta kenaikan sekali ganda daripada harga jualan tiket sekarang ini. Ini kerana, sejak 2005 pelbagai kos meningkat selain pengusaha perlu mengikut beberapa garis panduan baru.



"Kami sebagai pengusaha menyokong garis panduan dikeluarkan itu, kerana ia perlu dilakukan segera bagi menjamin keselamatan bukan saja penumpang, malah pekerja kami serta bas yang membabitkan modal yang besar.

"Bagaimanapun, semua perubahan itu memerlukan wang dan kami berharap pihak berkuasa akan meluluskan usul kenaikan tambang yang akan diberikan kepada Menteri Pengangkutan sebelum cuti Tahun Baru Cina ini," katanya pada sidang media di sini, semalam.

Menurutnya, sejak 2005, pihak berkuasa mengeluarkan arahan setiap bas henti-henti hanya boleh beroperasi selama 15 tahun, manakala bas ekspres, 10 tahun.

Katanya, keadaan ini tidak lagi relevan kerana kebanyakan bas baru dibina lebih tahan lama dan penggunaan 15 atau 10 tahun sebagai cara mengukur hanya merugikan pengusaha bas berikutan setiap bas menelan belanja besar.

Selain itu, katanya, peningkatan kos lain seperti tempat meletak bas di terminal di mana sebelum ini hanya dikenakan bayaran RM50 hingga RM60 sebulan, tetapi disebabkan ia diambil alih syarikat swasta sewa tempat meletak bas kini mencecah RM1,000 hingga RM1,500.

"Pihak berkuasa juga meminta kami memasang GPS bagi mengesan bas, sedangkan kami sebenarnya tidak perlukan alat itu untuk mengesan bas kerana setiap bas mempunyai laluan tersendiri seperti yang tertera di jadual.

"Masalah lain termasuklah saman jika pemandu memandu laju. Jika ia berkaitan masalah penyelenggaraan memang benar syarikat bertanggungjawab, tetapi jika pemandu memandu laju pihak berkuasa perlu menyaman pemandu dan bukannya pengusaha," katanya.



0 comments: