3/23/2008 06:42:00 pm 0 Comments

Nenek 65 tahun masih jual tubuh

Oleh Mohd Jamilul Anbia Md Denin

anbia@hmetro.com.my

KUALA LUMPUR: Realiti yang mengejutkan apabila masih ada warga emas mencecah usia 65 tahun terus bergelumang dosa dengan menjadi pelacur di Jalan Chow Kit di sini, sehingga menimbulkan persoalan mengapa perkara ini harus terjadi.

Wanita yang layak digelar nenek itu mendakwa masih perlu 'menjual' tubuh untuk meneruskan hidup selain memastikan anaknya berpeluang melanjutkan pelajaran ke universiti.

Perkara ini didedahkan Presiden Persatuan Wawasan Warisan Wanita (Warista), Dr Mai Sargeant selepas melakukan lawatan ke kawasan hitam sekitar Chow Kit serta beberapa rumah perlindungan kepada penagih dadah, pekerja seks dan golongan mak nyah, semalam.

Menurutnya, lawatan yang disertai lapan ahli Warista itu cuba mendekati golongan berkenaan, sekali gus cuba mendapatkan gambaran sebenar masalah dihadapi mereka.




"Ketika melawat rumah perlindungan Yayasan PT yang menyediakan program pemulihan kepada wanita dan mak nyah, saya dimaklumkan nenek terbabit menggunakan wang lacur untuk membesarkan anaknya.




"Namun, selepas anaknya berjaya mendapat ijazah serta pekerjaan bergaji lumayan, dia enggan mengaku wanita tua itu ibunya kerana malu," katanya.

Menurutnya, perbuatan itu amat dikesalkan, namun ia dianggap antara cerita `duka' golongan berkenaan yang perlu dijadikan iktibar.

"Hakikatnya golongan ini bukan mahu menjadi pekerja seks. Mereka mempunyai cerita pahit dan sejarah duka hingga terjebak ke lembah hina.

"Malah, kurang pendidikan dan latar belakang keluarga bermasalah turut menjadi punca mereka menjadi pekerja seksi. Namun, maklumat juga mendapati ada antara pekerja seks di kalangan mak nyah adalah siswazah," katanya.

Menurutnya, sikap orang ramai yang memandang hina dan menyisihkan golongan 'lembut' menyebabkan mereka seolah-olah tiada tempat dalam masyarakat sehingga akhirnya terperangkap dalam kancah pelacuran.

"Lebih membimbangkan apabila golongan ini tidak mendapat pembelaan sewajarnya berikutan sikap masyarakat yang lebih memandang hina berbanding keinginan membantu mereka mengubah cara hidup.

"Akibatnya ada antara mereka terpaksa membawa anak kecil ketika menjual tubuh, malah bekerja 24 jam sehari bagi membesarkan anak-anak," katanya.

Menurutnya, walaupun menyedari pekerjaan itu jijik, golongan ini tetap manusia biasa yang menyayangi anak-anak dan sanggup berkorban untuk membesarkan keluarga.

Pada masa sama, mereka terpaksa bersaing dengan kebanjiran mak nyah dan pelacur asing dari Thailand, Filipina dan Indonesia.

"Kami cuba turun padang mendekati golongan ini termasuk memberikan penerangan mengenai kaedah menghindari bahaya dijangkiti virus HIV. Setakat ini banyak lagi pertubuhan bukan kerajaan (NGO) yang melakukan tugas ini dan kami akan turut sama bekerjasama menyumbang tenaga," katanya.

Dr Mai berkata, golongan itu tidak wajar disisihkan kerana tiada wanita mahu menjadi pelacur jika tidak kerana tekanan hidup.

"Berikutan itu, Warista berusaha melakukan segala yang terbaik termasuk bantuan kaunseling dan moral serta menyediakan peluang pekerjaan kepada golongan ini bagi memulakan hidup baru.

"Tugas ini bukan mudah, namun kami mendapat maklum balas positif. Malah ada antara pekerja seks ini berminat menceburi bidang jahitan atau membuka butik," katanya.

Pada Julai lalu, persatuan itu mengumumkan hasratnya membina Rumah Warista untuk memberi perlindungan kepada wanita, kanak-kanak serta remaja bermasalah, selain membantu bekas penagih dadah terutama wanita yang terjebak dalam pelacuran.

Pembinaan rumah perlindungan itu bertujuan mewujudkan suasana selamat dan selesa kepada golongan terbabit sekali gus memastikan mereka berpeluang menjalani kehidupan lebih sempurna.

Melalui rumah perlindungan ini, golongan terbabit mampu hidup seperti orang lain yang sempurna menerusi pengisian penting dari aspek kaunseling.


0 comments: