3/23/2008 07:50:00 pm 0 Comments

Ketika berucap merasmikan seminar mengenai pemikiran ilmiah dan
sumbangan Allahyarham Profesor Emeritus Tan Sri Ahmad Ibrahim anjuran
Institut Kefahaman Islam Malaysia (IKIM) di Petaling Jaya pada 21 Ogos
lepas, Ketua Hakim Negara, Tun Ahmad Fairuz Sheikh Abdul Halim telah
mencadangkan rujukan kepada Common Law Inggeris dimansuhkan daripada
undang-undang sivil negara ini kerana ia menggambarkan minda pengamal
undang-undang tempatan yang masih terjajah. Beliau juga menegur
sesetengah pengamal undang-undang yang terus mengguna pakai Common Law
Inggeris dalam kes-kes perbicaraan tertentu. Sambil menyifatkan mereka
sebagai 'katak di bawah tempurung penjajah', Ahmad Fairuz menegaskan,
gejala tersebut tidak seharusnya berlaku selepas 50 tahun Malaysia
mencapai kemerdekaan.

Menurut beliau, setelah negara merdeka selama lima dekad, pakar-pakar
perundangan tempatan seharusnya sudah mampu mewujudkan undang-undang
yang lebih bermutu dan sesuai dengan keadaan semasa. "Sudah 50 tahun
kita merdeka, sudah 50 tahun kita terlepas daripada cengkaman penjajah,
tetapi Seksyen 3 dan 5 Undang-Undang Sivil 1956 masih kekal dalam
perundangan kita. Apakah ini petanda bahawa Common Law Inggeris itu
adalah undang-undang yang paling baik di dunia? Apakah ini petanda
bahawa pakar undang-undang kita masih di bawah tempurung penjajah?" ,
soalnya. Katanya lagi, di Malaysia, Common Law Inggeris masih dirujuk
dalam kes-kes mahkamah jika tiada akta undang-undang tempatan yang boleh
dipakai sebagaimana terkandung dalam Seksyen 3 dan 5 Akta Undang-Undang
Sivil 1956. Ahmad Fairuz memberitahu, sudah tiba masanya kedua-dua
seksyen tersebut dipinda dengan memansuhkan semua rujukan kepada Common
Law Inggeris dan undang-undang serta kaedah-kaedah ekuiti yang
ditadbirkan di England [UM 22/08/07].

Sebagai seorang yang telah lama bergelumang dengan undang-undang
sekular, pandangan Ketua Hakim Negara di atas mesti diberi perhatian
serius dan tidak patut dibiarkan begitu sahaja. Sedikit sebanyak ia
mencerminkan perubahan paradigma yang ketara dalam pemikiran seorang
profesional dan intelektual, walaupun dalam koridor yang masih sempit.
Setidak-tidaknya pandangan tersebut jauh lebih baik dari pandangan
golongan ulama dan profesional yang menyeru agar dikekalkan
undang-undang British (common law) yang dah lapuk ini. Kita sedia maklum
bahawa pandangan sebegini bukanlah suatu yang baru, cuma yang baru di
sini ialah 'orang' yang bercakap.

Walaupun selama ini terdapat begitu banyak suara yang menyeru agar
diganti hukum British yang kufur ini kepada hukum Allah, namun, seruan
tersebut tidak pernah tersiar di muka hadapan, mahupun muka tengah
suratkhabar. Kita berdoa agar seruan (baca: usaha) yang lebih baik dari
ini, nanti dilakukan pula oleh golongan yang memegang pemerintahan dan
kekuasaan, kerana di tangan merekalah terletaknya kuasa untuk menerapkan
undang-undang. Insya Allah perubahan akan lebih cepat berlaku jika yang
berusaha adalah mereka yang berkuasa itu sendiri. Jika mereka
mengabaikan kewajiban ini (mengubah hukum manusia kepada hukum Allah),
mereka perlu ingat bahawa Allah Maha Berkuasa untuk mencabut kekuasaan
mereka dalam sekelip mata dan menyerahkannya kepada siapa jua yang Dia
kehendaki!

Sejarah Penerapan Undang-Undang British

Sebelum Tanah Melayu jatuh ke tangan British, kita sedia maklum bahawa
Tanah Melayu telah dijajah lebih awal oleh Portugis (1511-1641) dan
Belanda (1641-1795). Tanah Melayu juga pernah berada di bawah
pemerintahan Jepun untuk sementara waktu. Bagaimanapun, kesemua penjajah
ini tidak menerapkan undang-undang mereka secara nyata di Tanah Melayu
sehinggalah kedatangan British pada tahun 1796. Sebelum penjajahan
British, penduduk Tanah Melayu masih berpegang kepada pemerintahan
Islam, walaupun tidak secara keseluruhan. Ternyata, semenjak penjajahan
Britishlah Tanah Melayu mula menerapkan undang-undang kufur penjajah.
Perundangan kufur Brtitish bermula dengan pengenalan 'the Royal Charter
of Justice' pada tahun 1807.

Charter (Piagam) ini melakar sejarah penting di dalam sistem perundangan
Malaysia kerana ia menandakan bermulanya undang-undang berkanun Inggeris
di negara ini dan dari sinilah ditubuhkan 'the Court of Judicature of
the Prince of Wales' Island'' (nama lama Pulau Pinang). Kemudian,
setelah Singapura dan Melaka jatuh ke tangan British, maka dibentuklah
Negeri-negeri Selat (the Straits Settlement) pada tahun 1826, lalu
diperkenalkan pula the Charter of Justice yang baru dan diwujudkan
sebuah mahkamah baru yang dinamakan 'the Court of Judicature of Prince
of Wales' Island, Singapore and Malacca'. Dengan ini, penerapan
undang-undang kufur British menjadi semakin luas dan rasmi. Walaupun
Charter baru telah dilaksanakan, namun pentadbiran undang-undang British
masih amat tidak memuaskan. Maka, pada tahun 1855 the Charter of Justice
yang ketiga pula diperkenalkan yang membolehkan penstrukturan semula
sistem mahkamah.

Pada tahun 1867, mahkamah disusun sekali lagi apabila pentadbiran
Negeri-negeri Selat telah dipindahkan dari India ke tanah jajahan.
Mahkamah baru yang diberi nama 'the Supreme Court of the Straits
Settlements' ditubuhkan pada tahun 1873 dengan empat orang hakim,
kemudian diikuti dengan penubuhan Court of Appeal. Sejak itu, sistem
perundangan semakin berubah ke arah bentuk yang lebih moden.
Undang-undang Perdagangan British (English commercial law) diperkenalkan
secara rasminya melalui Seksyen 6 Civil Law Ordinance 1878 dan masih
terpakai hingga sekarang di Pulau Pinang dan Melaka, sebagaimana
termaktub di dalam pindaan Civil Law Act, 1956 (Revised 1972).

Pada tahun 1937, British mengukuhkan cengkaman undang-undang mereka di
Tanah Melayu dengan menggubal Civil Law Enactment 1937 yang berkuatkuasa
ke atas Negeri-negeri Melayu Bersekutu (Perak, Selangor, Pahang dan
Negeri Sembilan). Setelah Negeri-negeri Melayu Tak Bersekutu (Kedah,
Perlis, Kelantan dan Terengganu) bergabung membentuk Federation of
Malaya pada tahun 1948, British terus membuat pindaan, menjadi Civil Law
(Extension) Ordinance, 1951, bagi memastikan undang-undang sivil mereka
ini diterapkan di kesemua negeri yang telah bergabung tadi. Ia kemudian
diganti dengan Civil Law Ordinance, 1956 dan apabila Malaysia ditubuhkan
pada tahun 1963 (setelah penggabungan Sabah dan Sarawak), Ordinan
tersebut ditukar sekali lagi menjadi Civil Law Act, 1956 (revised 1972)
berkuatkuasa pada 1 April, 1972 hinggalah sekarang.

Adapun common law, secara mudah untuk difahami, ia bermaksud
undang-undang yang berasal dari keputusan-keputusan hakim di mahkamah.
Dengan kata lain common law adalah undang-undang yang dibuat oleh hakim
di dalam kes-kes tertentu yang menjadi 'precedent' (duluan) yang
mengikat untuk kes-kes selepasnya (prinsip ini juga dikenali sebagai
'stare decisis'). Common law adalah sebahagian dari undang-undang,
walaupun ia bukannya undang-undang berkanun atau bertulis yang digubal
oleh Parlimen atau Dewan Undangan Negeri. Yang jelas dan pasti, common
law ini berasal dari praktis mahkamah di England berdasarkan amalan dan
adat kebiasaan mereka. Ringkasnya, common law merupakan sebahagian dari
undang-undang Malaysia (walaupun kes-kes yang dirujuk adalah dari
England) dan ia menjadi undang-undang kerana dibenarkan oleh Civil Law
Act, 1956 (revised 1972).

Wahai kaum Muslimin!

Demikianlah sepintas lalu sejarah bagaimana undang-undang kufur British
boleh masuk ke bumi Malaysia dan kekal hingga sekarang. Britain sebagai
sebuah negara yang berideologi Kapitalis menjajah bukan sahaja Tanah
Melayu, tetapi banyak lagi negeri-negeri umat Islam lainnya. Mereka
masuk ke tanah umat Islam dan menancapkan sistem kufur mereka ke atas
kita. Pada masa yang sama, British juga memasuki Palestin, India,
Pakistan serta Bangladesh dan menerapkan undang-undang sekular mereka.
Mereka membunuh umat Islam dan mengaut kekayaan di setiap bumi yang
mereka jajah.

Setelah puas berseronok dan setelah yakin bahawa umat Islam akan tetap
mewarisi sistem mereka, mereka lalu menghadiahkan kemerdekaan kepada
negara yang berkenaan dengan terlebih dahulu memastikan yang pemimpin
(umat Islam) yang mengganti mereka adalah agen mereka atau orang yang
sepemikiran dengan mereka. Justeru, kita menyaksikan kini bahawa
walaupun penjajahan fizikal telah lama berakhir, pemerintahan yang ada
tetap mengekalkan sistem dan undang-undang penjajah. Pemikiran Islam
ditanam dan ditimbus sedalam-dalamnya oleh sang kafir penjajah dan terus
terkubur hingga kini dari benak pemimpin kaum Muslimin, seolah-olah
pemerintahan Islam tidak pernah wujud. Inilah hakikat yang telah dan
sedang terjadi. Hanya orang yang bodoh sombong sahaja yang akan
menafikan hakikat dan kebenaran ini.

Mencampuradukkan Hak Dan Batil?

Di dalam cadangannya untuk memansuhkan common law, Ketua Hakim Negara
seterusnya menyatakan, sebagai ganti, pengamal undang-undang mungkin
boleh merujuk kepada keputusan-keputusan mahkamah di negara ini yang
mengikut undang-undang tempatan dan memberi keutamaan kepada keadaan di
negeri-negeri di Malaysia. Beliau menambah, mungkin juga sudah tiba
masanya untuk memartabatkan undang-undang Islam bukan sahaja dalam
perundangan negara tetapi juga perundangan antarabangsa. Sekiranya idea
itu diterima, jelas beliau, sudah pasti keharmonian undang-undang sivil
dan undang-undang syariah dapat dicetuskan sehingga memberi impak
maksimum kepada masyarakat [UM 22/08/07].

Akibat nila setitik rosaklah susu sebelanga. Begitulah keadaannya
apabila yang jernih dicampurkan dengan yang keruh dan yang baik
dicampurkan dengan yang buruk. Tepatnya, rosaklah kebenaran apabila yang
hak dicampur dengan yang batil. Dalam pada kita ingin mengganti common
law yang jelas-jelas merupakan undang-undang kufur yang diambil dari
England ini, penyelesaiannya di sini bukanlah untuk kita menggantikannya
dengan undang-undang tempatan. Jika kita ingin membuang Carslberg,
penyelesaiannya bukanlah dengan mengambil Guiness Stout, tetapi ia wajib
diganti dengan air bersih yang halal, yang suci lagi menyucikan.
Undang-undang yang dibuat oleh British adalah haram bagi kita kerana ia
merupakan undang-undang kufur ciptaan manusia. Begitulah juga haramnya
bagi kita untuk mengambil undang-undang Malaysia, Mesir, Jordan, Arab
Saudi dan sebagainya selama mana ia adalah undang-undang ciptaan
manusia.

Tidak ada bezanya proses pembuatan undang-undang oleh kerajaan British
dengan kerajaan Malaysia, kedua-duanya adalah undang-undang buatan
manusia yang digubal atau dibuat dan seterusnya diluluskan dengan
mendapat undi majoriti. Begitulah juga kedudukan common law atau
undang-undang kes (stare decisis) yang terang-terang terhasil dari
produk akal-akal manusia tanpa berpandukan al-Quran dan as-Sunnah
sedikitpun. Ya benar, undang-undang Islam perlu dimartabatkan bukan
sahaja di dalam negara malah di peringkat antarabangsa, sebagaimana
dinyatakan oleh Ketua Hakim Negara.

Bahkan ia bukan sekadar perlu, malah wajib! Dan ia wajib diterapkan
secara kaffah (sempurna dan menyeluruh) tanpa ada campur aduk dengan
undang-undang sivil buatan manusia sedikitpun. Manusia pada hakikatnya
langsung tidak ada hak untuk membuat undang-undang. Allah telah
menyempurnakan agama ini yang sekaligus bermaksud bahawa Allah telah
menyempurnakan segala undang-undangnya. Maha Suci Allah! Allah tidak
perlu bersyarikat (bersekutu) dengan manusia untuk membuat undang-undang
dan Allah Azza wa Jalla tidak perlu campurtangan dari manusia untuk
membuat undang-undang. Undang-undang ciptaan Allah adalah satu-satunya
yang hak (benar) dan segala undang-undang ciptaan manusia adalah batil
adanya. Firman Allah Subhanahu wa Ta'ala,

"...menetapkan hukum itu hanyalah hak Allah..." [TMQ al-An'am (6):53].

Justeru, di dalam Islam tidak ada konsep 'mengharmonikan' undang-undang
sivil dan syariah. Hak untuk membuat undang-undang hanyalah di tangan
Allah sahaja. Jika kita benar-benar ingin kembali kepada Allah, maka
undang-undang Allahlah satu-satunya yang wajib kita ambil dengan
meninggalkan segala undang-undang batil ciptaan manusia. Yang hak dan
yang batil sekali-kali tidak boleh dimadukan. Apakah seseorang
dibolehkan meminum arak, berjudi atau menyembelih babi jika dia membaca
'Bismillah' sebelumnya? Apakah seseorang dikatakan mengikut hak apabila
selalu menepati waktu di dalam membayar riba? Apakah membahagi harta
curi secara adil (sama banyak) kepada 2 orang pencuri dikatakan hak?
Apakah sesuatu itu dikatakan hak (kebenaran) apabila membelakangkan
ketetapan dari Allah dan RasulNya? Apakah menghukum penzina dengan
sebatan 6 kali, denda RM5,000 atau penjara 3 tahun dikatakan hak
(benar)? Apakah menghukum 7 tahun penjara bagi sipencuri dikatakan hak
(benar)? Apakah mendenda RM2,000 kepada simurtad dikatakan hak? Apakah
mencampuraduk atau mengharmonikan undang-undang sivil dan undang-undang
syariah di dalam negara bertepatan dengan hak? Apakah bertepatan dengan
hak bila dicampur susu dengan arak, kemudian diminum? Apakah ini yang
diperintahkan oleh Allah dan RasulNya? Sedarlah wahai kaum Muslimin,
yang hak dan yang batil itu tidak akan bersatu selama-lamanya! Firman
Allah,

"Dan janganlah kamu campur adukkan yang hak dengan yang batil dan
janganlah kamu sembunyikan yang hak itu sedang kamu mengetahui" [TMQ
al-Baqarah (2):42].

Kecelaruan dan ketidakjelasan dalam berfikir dan menyelesaikan masalah
menyebabkan umat Islam tersadung di tengah jalan. Sesungguhnya Allah
Subhanahu wa Ta'ala telahpun menurunkan al-Furqan (Pembeza) kepada
manusia dan Dia telah menunjuki manusia dua jalan, iaitu jalan baik dan
jalan buruk [TMQ al-Balad (90):10] dan tidak ada jalan tengah di antara
keduanya. Allah Subhanahu wa Ta'ala telah memisahkan di antara jalan
fajir dan jalan takwa dan mengilhamkannya kepada manusia [TMQ as-Syams
(91):8] dan Allah Subhanahu wa Ta'ala juga telah memperjelaskan jalan
petunjuk dari jalan yang sesat [TMQ al-Baqarah (2):256].

Oleh yang demikian, satu-satunya jalan petunjuk hanyalah dengan kembali
berhukum dengan hukum Allah, bukannya kekal berhukum dengan
undang-undang buatan manusia, samada dibuat oleh manusia kafir atau
Muslim. Amat aneh apabila seseorang itu ingin menghapuskan undang-undang
dan pemikiran penjajah, tetapi dalam masa yang sama menyeru kepada
penyelesaian yang diberikan oleh penjajah juga. Hasratnya ingin
menghapuskan common law, namun dikekalkan pula undang-undang sivil untuk
diharmonikan dengan undang-undang syariah!

Hapus Common Law Ganti Islamic Law

Wahai kaum Muslimin! Sekiranya kita diajukan persoalan, 'undang-undang
manakah yang lebih baik ataupun terbaik untuk manusia, adakah
undang-undang dari Allah Subhanahu wa Ta'ala atau undang-undang ciptaan
manusia'? Sudah tentulah kita akan menjawab undang-undang Allah. Demi
Allah! Walaupun seluruh manusia dan jin berkumpul untuk membuat
undang-undang atau merubah apa yang Allah telah tetapkan, nescaya
undang-undang Allah dan apa sahaja yang Allah telah tetapkan untuk
manusia, itu adalah yang terbaik bagi manusia untuk selama-lamanya. Oleh
itu, jika kita ingin mengganti undang-undang ciptaan manusia yang
melingkari hidup kita sekarang, apakah kita akan beralih kepada
undang-undang ciptaan manusia juga? Sudah tentu tidak! Oleh itu,
satu-satunya jalan keluar dari segala fitnah dan kegelapan ini adalah
dengan kembali kepada Kitabullah dan Sunnah RasulNya, bukannya kembali
kepada kitab undang-undang dan sistem ciptaan manusia. Inilah perintah
dari Tuhan sekelian alam ke atas manusia, firmanNya,

"...kemudian jika kamu berbantah-bantah tentang sesuatu, kembalilah
kepada Allah (al-Quran) dan Rasul (as-Sunnah) jika kamu benar-benar
beriman kepada Allah dan hari kemudian..." [TMQ an-Nisa'(4):59].

Wahai kaum Muslimin!

Kami ingin bertanya, mahukah kalian jika kehidupan kalian ditentukan
sepenuhnya oleh jiran kalian? Sukakah kalian jika yang menetapkan apa
yang kalian boleh dan tidak boleh lakukan adalah jiran kalian? Mahukah
kalian jika jiran kalian adalah orang yang menentukan halal dan haram
untuk kalian? Sudah tentu pelik dan tak masuk akal bunyinya! Tetapi
tahukah kalian bahawa inilah yang kalian sedang hadapi sekarang.
Kehidupan kalian sebenarnya ditentukan oleh orang-orang yang berdekatan
dengan kalian. Mereka adalah orang yang membuat undang-undang untuk
mengatur hidup kalian, menetapkan apa yang boleh dan apa yang tidak
boleh kalian lakukan dan mereka menetapkan hukuman bagi orang-orang yang
bersalah di kalangan kalian.

Mereka adalah orang yang terpilih untuk membuat undang-undang, lalu
mereka ke Parlimen atau Dewan Undangan Negeri untuk 'menentukan'
perjalanan hidup kalian, melalui proses pengundian demi pengundian. Maha
Suci Allah! Apakah ini yang kalian inginkan? Bukankah hidup kalian
sepatutnya ditentukan oleh Allah Subhanahu wa Ta'ala? Bukankah Allah
yang sepatutnya mengatur hidup kalian, dengan hukum dan undang-undang
yang datang dariNya? Bukankah Allah yang sepatutnya menentukan halal dan
haram, yang boleh dan yang tidak boleh dilakukan, yang menetapkan
hukuman bagi pesalah dan yang wajib ditaati? Jadi siapakah yang kalian
pilih untuk menentukan hidup kalian, manusia selain kalian atau Allah
Subhanahu wa Ta'ala, Pencipta kalian? Allah bertanya,

"Apakah hukum Jahiliyyah yang mereka kehendaki, dan (hukum) siapakah
yang lebih baik daripada (hukum) Allah bagi orang-orang yang yakin?"
[TMQ al-Ma'idah (5):50].

Wahai kaum Muslimin!

Satu-satunya jalan untuk menggantikan segala kebatilan hukum ciptaan
manusia adalah dengan kembali mengamalkan hukum ciptaan Allah Subhanahu
wa Ta'ala. Kita tidak mahu berhukum dengan common law dan kita juga
tidak mahu berhukum dengan mana-mana man-made law, tetapi kita mahu
berhukum dengan hukum Allah. Man-made law adalah produk kufur yang lahir
dari sistem sekular dan tidak layak untuk umat Islam. Umat Islam adalah
umat yang mulia dan terbaik dan status ini hanya dapat dicapai apabila
umat Islam itu berhukum dengan hukum Allah. Jika tidak, kehinaanlah yang
akan meliputi. Lebih dari itu, Allah mengingatkan kepada sesiapa sahaja
yang memegang tampuk pemerintahan tetapi tidak menerapkan hukum Allah,
"...dan barangsiapa yang tidak berhukum dengan apa yang diturunkan
Allah, maka mereka itu adalah orang-orang yang kafir" [TMQ al-Ma'idah
(5):44]. "...dan barangsiapa yang tidak berhukum dengan apa yang
diturunkan Allah, maka mereka itu adalah orang-orang yang zalim" [TMQ
al-Ma'idah (5):45]. "...dan barangsiapa yang tidak berhukum dengan apa
yang diturunkan Allah, maka mereka itu adalah orang-orang yang fasik"
[TMQ al-Ma'idah (5):47].

Khatimah

Wahai kaum Muslimin! Sesungguhnya suara untuk kembali kepada Islam
semakin hari semakin kuat kedengaran dan benteng kekufuran semakin hari
semakin meretak. Walaupun ada yang menyeru di jalan yang keliru, namun
suara mereka tetap mewujudkan satu gelombang perubahan. Insya Allah,
semoga gelombang ini akan mengikuti, berpadu dan menyatu dengan
gelombang kebenaran dan akan menghasilkan ombak yang cukup besar untuk
menerjah dan seterusnya meruntuhkan segala benteng kekufuran.
Sesungguhnya benteng kekufuran itu amat lemah, ia nampak berdiri kukuh
kerana selama ini tidak ada ombak yang mendatang. Justeru, ayuhlah wahai
saudaraku, kita sama-sama bergabung membentuk satu gelombang kebangkitan
yang besar, yang satu sama lain akan saling memperkuatkan. Bergerak dan
teruslah bergerak dengan mengumandangkan suara kebenaran, Insya Allah ia
akan menenggelam dan melenyapkan semua suara yang batil. Inilah janji
Allah Subhanahu wa Ta'ala,

"Dan katakanlah: 'Yang benar telah datang dan yang batil pasti lenyap'.
Sesungguhnya yang batil itu adalah sesuatu yang pasti lenyap" [TMQ
al-Isra' (17):81].

Sumber : www.mykhilafah.com

0 comments: