KUALA LUMPUR:  Berbekalkan semangat ketenteraan, ketaatan kepada negara  serta  keberanian yang tidak terhingga, pasukan Tentera Laut Diraja Malaysia   (TLDM) yang bakal berusia 77 tahun esok, semakin giatmengukuhkan  struktur  angkatannya dalam menjamin kedaulatan dan keselamatanmaksimum  samudera  negara.
Melakar  nama sebagai satu daripada cabang Angkatan Tentera Malaysia (ATM),   TLDM berjaya menampilkan diri sebagai sebuah ketumbukan yang berwibawa,  utuh dan  siap siaga dalam menempuhi segala cabaran demi menabur khidmat  bakti kepada  rakyat dan negara.
Misalnya,  kejayaan penugasan kapal auxiliary Bunga Mas 5 di perairan paling   berbahaya di Teluk Aden, Somalia, berjaya membuka mata dunia sekaligus  menjadi  antara peristiwa paling bersejarah yang tercatat dalam rekod  pertahanan  negara.
Tanggal  20 Jan lalu itu merupakan detik paling membanggakan apabila pasukan   Ops Fajar 8 berjaya merampas kembali kapal dagang MT Bunga Laurel yang  ditawan  lanun manakala tujuh lanun bersenjata api berjaya ditumpaskan  dan ditangkap oleh  Pasukan Perlindungan Khas (PPK) selepas berbalas  tembakan dari laut dan  udara.
Panglima  TLDM Laksamana Tan Sri Abdul Aziz Jaafar berkata kejayaan itu   sekaligus mengangkat martabat ATM khususnya TLDM ke tahap yang lebih  tinggi di  persada maritim antarabangsa sebagai pasukan tentera laut  yang setanding  kehebatannya dengan negara lain.
Katanya,  kecemerlangan pasukan itu telah turut membuktikan keupayaan dan   kemampuan TLDM dalam mengoperasikan asetnya secara berterusan di  perairan negara  asing yang jaraknya beribu batu dari tanah air dengan  jayanya.
"Ops  Fajar telah memasuki kali kesembilan dan sepanjang operasi ini   dijalankan tiada satu pun kapal dagang milik MISC atau berkepentingan  negara  yang lain ditawan lanun bersenjata tersebut.
"Malah  kehadiran Ops Fajar juga telah menggagalkan dua cubaan serangan   lanunke atas kapal dagang milik negara asing iaitu China, MV Zhenhua 4  pada 17  Disember2008 dan kapal dagang India, MT Abdul Kalam Azad pada 1  Jan 2009,"  katanya kepada dalam temubual khas di pejabatnya di sini.
Abdul  Aziz berkata kesinambungan kejayaan yang lebih cemerlang mungkin akan   dapat direalisasikan dengan cadangan penambahan sebuah lagi kapal  pengiring yang  dijangka akan diperolehi pada September hadapan  sekiranya penugasan tersebut  diluluskan MISC Berhad.
Ketika  ini, katanya, dengan hanya satu kapal beroperasi, tugas untuk   mengiringi kapal-kapal dagang Malaysia melalui Teluk Aden agak sukar dan   mengambil masa yang lama berikutan jumlah kapal yang terlalu banyak  untuk  diiring. "Dua mesyuarat dengan pihak MISC Berhad telah dijalankan  dengan lancar  termasuk berbincang bagi menentukan konsep, bentuk dan  ciri-ciri kapal kedua  itu. Pada 5 Mei depan perkembangan dan status  terkini mengenai cadangan tersebut  akan diperbincangkan lebih mendalam  lagi. 
"Jika  direalisasi, kapal kedua akan beroperasi secara 'independent' iaitusatu   kapal melaksanakan pengiringan dari Barat ke Timur dan satu lagi Timur  keBarat.  Ini akan melancarkan pengoperasian dan pergerakan kapal-kapal  dagang Malaysia  sekaligus memberi pulangan kewangan yang tinggi kepada  syarikat MISC,"  katanya.
Katanya,  kapal auxiliary Bunga Mas 5 telah melakarkan sejarah yang tersendiri   apabila merupakan satu-satunya kapal auxiliary yang pertama di dalam  dunia yang  digunakan dalam membanteras lanun di Teluk Aden.
Ops  Fajar dilancarkan ekoran insiden rampasan dua buah kapal milik MISC  iaitu  Bunga Melati 2 dan Bunga Melati 5 di perairan itu pada Julai 2008  sebelumBunga  Mas 5 yang sebelum itu merupakan kapal dagang milik MISC  Berhad diubahsuai  menjadi kapal auxiliary TLDM.
Ia  dilaksanakan bertujuan untuk mengiringi dan melindungi keselamatan   kapal-kapal dagang berkepentingan negara dari ancaman lanun di perairan  Teluk  Aden serta perairan berdekatan.
Pasukan  Khas Laut (PASKAL) atau dikenali sebagai KD Panglima Hitam   merupakantulang belakang kejayaan Ops Fajar di mana turut dibantu oleh  cabang  perkhidmatan yang lain iaitu Grup Gerak Khas (GGK) Tentera  Darat, Pasukan Khas  Udara (PASKAU) serta krew MISC Berhad yang  diserapkan ke dalam Pasukan Simpanan  Sukarela TLDM (PSSTLDM).
Abdul  Aziz berkata TLDM juga akan memperkemaskan sistem pertahanannyamelalui   perancangan pembelian peralatan dan aset pertahanan yang terkini serta  termoden  termasuk penggantian aset-aset yang dijangka akan dilupuskan  dari perkhidmatan  selaras dengan hasrat menjadi organisasi yang lebih  cekap serta siap siaga.
Beliau  berkata antara inventori yang dirancang untuk diperolehi dalam   Rancangan Malaysia Ke-10 (RMK-10) akan datang termasuklah pembelian enam  buah  helikopter antikapal selam, kapal bantuan pelbagai guna (MSS) dan  kapal bantuan  bencana bagi meningkatkan pertahanan maritim negara
Bagi  tujuan latihan dan juga rondaan, TLDM turut bersetuju membeli dua buah   kapal dari syarikat pembinaan kapal tempatan, NGV Tech Sdn Bhd dan ia  akan  dibina di limbungan kapal NGV Tech di Kampung Sinjangkang, Teluk  Panglima Garang  yang perolehannya dijangka dalam tempoh dua tahun lagi.
"Ia  hanya kapal rondaan biasa tetapi canggih dan akan dilengkapkan dengan   beberapa alat persenjataan yang akan digunakan sebagai objek latihan dan   wargaTLDM akan dilatih terlebih dahulu untuk mengendalikan kapal  tersebut,"  katanya. Beliau menafikan bahawa khidmat kapal frigat KD  Hang Tuah yang  digunakanMalaysia sejak 1977 akan ditamatkan dengan  pembelian kapal baru  terbabit sebaliknya operasi kapal latihan tersebut  akan diteruskan untuk melatih  pegawai kadet tentera laut memandangkan  ia masih mampu digunakan.
Beliau  berkata kesiapsiagaan tentera laut amatlah penting dalam dimensi   pertahanan negara kerana dunia kini bukan sahaja berhadapan dengan  peperangan  konvensional malahan turut berdepan dengan pelbagai ancaman  jenayah yang semakin  kompleks.
Katanya,  ini adalah searus dengan ledakan teknologi maklumat masa kini,   peralatan dan persenjataan di samping perubahan dalam sistem geopolitik  dunia  yang memaksa semua pihak membuat perubahan doktrin dan strategi  untuk menghadapi  ancaman serta perubahan yang lebih mencabar.
TLDM,  meskipun ada pihak mempertikai mengenai pembelian aset pertahanan   mereka termasuk tuduhan kapal selam tidak beroperasi dengan baik dan   pembelianaset-aset pertahanan yang dikatakan pembaziran seperti  pembelian enam  KapalTempur Pesisir (LCS) yang dikatakan mahal, itu  semua langsung tidak  mematahkansemangat angkatan itu.
Abdul  Aziz berkata kedua-dua buah kapal selam milik negara itu telah   berjayamenganjak TLDM dari angkatan laut persisir pantai kepada angkatan  laut  yang lebih hebat dengan keupayaan tiga dimensi peperangan  setanding negara maju.  Katanya, hingga kini, kapal selam KD Tunku Abdul  Rahman yang tiba di perairan  Malaysia pada Sept 2009 serta KD Tun  Abdul Razak yang tiba pada Julai 2010,  berada dalam keadaan baik dan  beroperasi pada tahap optimum.
"Keupayaan  kedua-dua kapal selam itu berada pada tahap kesiagaan yang tinggi  dan  beroperasi dengan baik. Memiliki kapal selam di lautan terbuka   merupakanpengawasan hebat buat negara kita," katanya.
Mengenai  sambutan ulang tahun TLDM esok, beliau berkata sambutan yang   bertemakan "Warga Didahulukan, KesiapsiagaanDiutamakan" akan disambut  secara  sederhana tetapi meriah.
Ulang  tahun ke-77 TLDM akan disambut di Lumut dan antara acara yang dirancang   ialah Istiadat Mengarak Panji-Panji Rejimen yang akan dihadiri Sultan  Selangor,  Sultan Sharafuddin Idris Shah selaku Kolonel Yang Dipertua  TLDM. TLDM dilihat  semakin matang dalam usaha mengukuhkan struktur  angkatan dan armadanya dalam  menjamin keselamatan meskipun  tanggungjawab yang digalas cukup berat dan tidak  dinafikan ia mempunyai  sejarah perkhidmatan yang membanggakan sepanjang 77 tahun   kewujudannya.
Justeru,  amat wajar sekali TLDM dikalungkan dengan ucapan tahniah dan syabas   kerana telah melangkah gagah dengan yakin dalam menjadi sebuah angkatan  yang  berkeupayaan untuk mendominasi keseluruhan spektrum operasi  ketenteraan serta  menjadi angkatan tentera yang versatil di abad ini. -BERNAMA
0 comments: