Perangkap dipasang ibu bawa kepada penemuan 2 pelajar hilang

4/17/2011 09:11:00 am 0 Comments

Perangkap dipasang ibu bawa kepada penemuan 2 pelajar hilang
Utusan Online - Dalam Negeri
Perangkap dipasang ibu bawa kepada penemuan 2 pelajar hilang

PUTRAJAYA 14 April - 'Perangkap' yang dipasang oleh ibu kepada Nur Atiqah Tajuddin, 16, yang dilaporkan hilang bersama Nuraizah Atiqah Nordin, 12, Jumaat lepas berjaya membuka jalan kepada penemuan kedua-dua pelajar itu di Taman Desa Cempaka, Nilai, Negeri Sembilan malam tadi.

Roslinda Karim, 46, ketika menceritakan perkara itu memberitahu, dia dengan dibantu seorang kenalan 'mengumpan' salah seorang daripada lelaki yang dipercayai melarikan anaknya menerusi khidmat pesanan ringkas (SMS) untuk 'membeli' kedua-dua gadis itu.

Menurutnya, nombor lelaki berkenaan diperoleh daripada telefon bimbit kepunyaan salah seorang mangsa.

"Kami berhubung menerusi SMS dan selepas beberapa kali berjanji akhirnya malam tadi dia bersetuju untuk menyerahkan kedua-dua gadis ini di sebuah tapak pesta dekat Nilai.

"Bagaimanapun, selepas memerhatikan dari jauh, kami dapati ada dua lelaki dalam kenderaan pacuan empat roda yang nombor pendaftarannya diberi sebelum ini," katanya ketika dihubungi hari ini.

Menurutnya, disebabkan takut untuk menemui lelaki di dalam kenderaan itu kerana dikhuatiri mereka membawa senjata, dia menghubungi pihak polis untuk meminta bantuan.

Jelasnya, mereka kemudiannya mengekori kenderaan itu sehingga sampai ke sebuah rumah pangsa sebelum beredar ke sebuah rumah teres satu tingkat di Taman Desa Cempaka.

Ketika itu jelasnya, polis yang sudah dihubungi menyerbu rumah tersebut dan menemui anaknya bersama Nuraizah Atiqah serta empat lelaki sedang nyenyak tidur.

Utusan Malaysia hari ini melaporkan Nur Atiqah dan Nuraizah Atiqah tidak pulang ke rumah selepas membantu gurunya menghias kelas pada Jumaat lepas di Sekolah Menengah Presint 9 (1) di sini.

Roslinda bersyukur kerana kedua-dua gadis itu ditemui semula selepas enam hari hilang.

"Saya berharap polis melakukan siasatan terperinci ke atas semua lelaki yang ditahan itu bagi mengelakkan perbuatan mereka melarikan gadis bawah umur berulang," katanya.

Sementara itu, Ketua Polis Daerah Seremban, Asisten Komisioner Saiful Azly Kamaruddin ketika dihubungi mengesahkan penemuan kedua-dua pelajar itu serta penahanan empat lelaki tempatan berumur antara 20 hingga 35 tahun.

"Pelajar berkenaan telah dibawa ke Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) untuk siasatan lanjut. Polis sedang menyiasat hubungan kedua-dua pelajar itu dengan lelaki-lelaki berkenaan dan bagaimana mereka boleh berada di daerah ini," katanya.

Sent with Reeder



0 comments: