Belon panas medium iklan

4/17/2011 10:41:00 pm 0 Comments



HIMPUNAN belon panas direka dalam pelbagai warna dan bentuk yang menyerupai watak-watak kartun popular telah menarik minat pengunjung terutamanya golongan kanak-kanak.



Ia datang dalam pelbagai warna dan bentuk. Sesetengahnya dalam karakter kartun terkenal, Doraemon dan Darth Vader. Tidak kira apa yang sedang dilakukan oleh seseorang, mereka pasti berhenti seketika tatkala melihat kelibat belon udara panas berlegar-legar di udara.
Biarpun ia satu teknologi penerbangan lama kerana diperkenalkan sejak tahun 1783, namun tarikannya kepada pandangan manusia masih utuh.
Justeru, tidak hairanlah apabila Fiesta Belon Udara Panas Antarabangsa Putrajaya yang diadakan pada bulan lalu berjaya menarik kira-kira 300,000 pengunjung dari dalam dan luar negara ke tapak Monumen Alaf Baru Presint 2, Putrajaya.
Melihat kepada fenomena tersebut, pengerusi jawatankuasa penganjur fiesta itu, Khairudin Abd. Rani mahu menjadikan sukan udara itu sebagai satu medium alternatif pengiklanan selain akhbar, majalah, televisyen dan Internet.
“Mengapa kita tidak jadikan sukan udara ini sebagai satu medium iklan kerana ia sangat berpotensi menarik minat orang ramai,” katanya ketika ditemui baru-baru ini.
Belon udara tidak asing di luar negara terutama Eropah dan Amerika kerana kebanyakan syarikat di negara itu telah mevariasikan saluran promosi produk dan perkhidmatan mereka menerusi belon udara panas.
Malah, ia merupakan salah satu daripada alternatif pengiklanan terbaik kerana berkesan menarik perhatian sesiapa sahaja sama ada di kalangan kanak-kanak mahupun dewasa.
Mengulas perkara itu, Khairudin berkata, belon udara panas belum mendapat perhatian syarikat di negara ini dalam mempromosikan produk atau perkhidmatan mereka.
“Kalau dikatakan kita agak ketinggalan dalam sukan udara ini, tidak juga kerana kita berada di kedudukan ketiga di kalangan negara Asia selepas Jepun dan Filipina. Jadi, sukan udara ini berpotensi untuk dikembangkan di Malaysia kerana ia juga boleh dijadikan sebagai satu medium iklan.
“Berbeza di Eropah dan negara Barat, belon udara panas menjadi satu daripada cara mengiklankan produk atau promosi syarikat mereka. Malah, ada juga yang mempromosikan sesebuah filem atau kartun terbaharu menerusi belon udara panas dan ini memang amat menarik,” katanya.
Keadah berkesan
Jika belon panas mampu menarik pandangan ramai berhenti seketika untuk menyaksikan kelibat belon itu adakah kaedah itu berkesan? Menjelaskan perkara itu, Khairudin menyifatkan belon udara panas sebagai papan iklan udara yang unik dan berpotensi besar mempengaruhi minda masyarakat terhadap produk atau perkhidmatan sesebuah syarikat berbanding papan iklan statik di tepi jalan.
“Kalau kita iklankan produk atau perkhidmatan syarikat di papan iklan, sekali pandang kita sudah lupa. Tetapi, belon udara panas yang berterbangan di udara setiap masa dilihat mampu mempromosikan syarikat terutama bagi syarikat baharu.
“Seperti di Eropah, pelbagai bentuk belon udara panas dapat dilihat. Ada syarikat pengeluar telefon bimbit menggunakan belon udara panas dengan rekaan produk terbaharu mereka bagi menarik perhatian ramai. Dengan bentuknya yang unik dan bersaiz gergasi, sudah pasti ia menggamit perhatian sesiapa sahaja biarpun dari jauh,” katanya.
Mengenai kosnya yang agak tinggi kerana harga belon sahaja mencecah ratusan ribu ringgit tidak termasuk peralatan lain, beliau berkata, para usahawan sepatutnya melihat luar daripada skop itu.
“Saya tidak nafikan kosnya agak tinggi, tetapi sebenarnya mereka mendapat lebih daripada apa ditawarkan media tradisional. Ada kemungkinan, belon udara panas yang digunakan oleh sesebuah syarikat dalam mempromosikan produk mereka akan menarik perhatian radio, televisyen atau akhbar untuk bercerita mengenainya dan ini dikira faedah berganda.
“Kalau dibandingkan dengan papan iklan di tepi jalan, kosnya juga melibatkan ratusan ribu ringgit. Tetapi, ia statik di satu tempat sahaja. Belon udara panas biarpun kosnya tinggi, tetapi melangkaui banyak kawasan dan ini merupakan satu kaedah promosi yang sangat berkesan,” katanya.

Khidmat juruterbang
Sekiranya sesebuah syarikat berminat untuk menggunakan belon udara panas sebagai satu kaedah mempromosi produk atau perkhidmatan, bagaimanakah pula dengan pengemudiannya? Adakah mereka perlu menggajikan seorang juru terbang profesional? Sudah tentu ini akan menambahkan kos.
Menjelaskan perkara itu, Khairudin berkata, syarikatnya AKA Ballon Sdn. Bhd. menawarkan perkhidmatan juruterbang profesional pada harga berpatutan, bergantung kepada kontrak yang ditandatangani antara kedua-dua belah pihak.
“Di Eropah, sesebuah syarikat itu akan membeli belon sendiri dan usaha menerbangkan belon tersebut diserahkan kepada syarikat yang menawarkan perkhidmatan juruterbang. Justeru, kepada mana-mana syarikat di Malaysia yang berminat dengan kaedah terbaharu ini boleh berjumpa dengan kami dan segala berkaitan harga boleh dirunding bersama.
“Kami juga menerima tempahan untuk membeli belon bagi syarikat itu dan harganya bergantung kepada saiz dan jumlah wang yang diminta. Malah, kami juga menawarkan program siri jelajah produk atau perkhidmatan sesebuah syarikat boleh dipromosikan bukan sahaja di sekitar Kuala Lumpur malahan meliputi negeri lain,” katanya. – Bernama

0 comments: