Karathu pertahan aksi pemain

4/17/2011 09:44:00 pm 0 Comments




KOTA BHARU – Keputusan seri tanpa jaringan pertemuan Kelantan menentang Sabah bukan sahaja mencetuskan kemarahan penyokong setia The Red Warriors malah mencetus tanda tanya di sebalik prestasi kian merudum anak didik Datuk M Karathu ketika saingan Liga Super kini memasuki babak pertengahan liga.

Dalam perlawanan itu, Kelantan yang turun tanpa khidmat penjaring terbanyak, Norshahrul Idlan Talaha selain Mohd Shakir dan Mohd Daudsu gagal untuk mengutip tiga mata penting di tempat sendiri setelah sekadar seri tanpa jaringan dengan Sabah.

Begitu pun, di sebalik persembahan hambar pemainnya, Ketua Jurulatih Kelantan, Datuk M Karathu tetap mempertahankan aksi anak buahnya walaupun gagal memecahkan kebuntuan jaringan dalam perlawanan itu.

“Ketiadaan Norshahrul Idlan (Talaha) begitu dirasakan. Kita terpaksa menggunakan seorang penyerang, Mohd Nizab (Ayub) pada separuh masa pertama. Separuh masa dua saya membuat perubahan taktikal meletakkan dua penyerang iaitu Mohd Nizab dan Muhammad Khalid Jamlus bagi menguatkan jentera serangan Kelantan.

“Memang kita nampak pergerakan pemain sedikit bagus terutamanya pada separuh masa kedua. Walaupun kita tidak dapat memanfaatkan satu dua peluang yang diperoleh dengan menjaringkan gol tetapi saya tetap berpuas hati dengan komitmen pemain saya dalam perlawanan ini.

“Aksi pemain saya tidak terganggu walaupun pengadil terpaksa menghentikan perlawanan beberapa ketika. Memang pada ketika itu kita rancak menyerang tetapi anda dapat lihat bagaimana pemain Sabah lebih gemar bermain secara bertahan dan hanya menunggu peluang untuk melakukan serangan balas ke pintu gol kita. Kesudahannya kita menghadapi kesukaran untuk menembusi benteng pertahanan mereka,” katanya kepada pemberita sejurus perlawanan berakhir, malam semalam.

Ditanya adakah barisan pemain Kelantan beraksi dalam keadaan tertekan dalam pertemuan itu setelah dibelasah 4-0 oleh Perak dalam perlawanan terdahulu, Karathu mengakui mungkin anak didiknya masih lagi terbayang-bayang untuk melupakan ‘keputusan luar dugaan’ ekoran kekalahan itu tempohari.

“Saya akui, memang ada tekanan kepada para pemain untuk kembali memuncak dalam perlawanan ini. Bila kita tewas dengan jaringan besar, sudah pasti sedikit sebanyak memberi kesan kepada persembahan pemain kita. Tekanan merupakan satu perkara biasa dalam dunia bola sepak profesional," katanya.

Menurutnya, Kelantan akan berkunjung ke Kangar menentang Perlis pada perlawanan seterusnya dengan sedikit kelebihan setelah tiga tonggak utama kembali berada dalam kesebelasan utama pemain.

“Jadual perlawanan agak ketat, kita akan bertolak ke Perlis esok (hari ini). Kembalinya ketiga-tiga pemain tonggak itu memberi kelegaan kepada saya. Saya berharap kita dapat mencuri tiga mata penuh biarpun beraksi di tempat lawan,” katanya.

0 comments: