Akaun pegawai kastam berjuta ringgit

4/11/2011 08:35:00 pm 0 Comments

Oleh WAN NOOR HAYATI WAN ALIAS

pengarang@utusan.com.my

KUALA LUMPUR 8 April - Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) berjaya mengesan beberapa juta wang dalam akaun pegawai-pegawai Jabatan Kastam Diraja Malaysia (JKDM) yang ditahan dalam Operasi 3B, termasuk lebih RM2 juta dalam akaun salah seorang bekas pengarah jabatan itu.

Sumber memberitahu, pasukan khas yang ditubuhkan bagi menyiasat kes itu secara terperinci telah mengesan pembabitan sebuah syarikat yang dipercayai berperanan memasukkan wang-wang tersebut ke dalam akaun pengarah berkenaan.

"Tindakan itu dibuat atas arahan pengarah itu ketika beliau masih berkhidmat.

"Pasukan itu turut mengenal pasti beberapa pegawai kastam yang memiliki kemewahan di luar kemampuan berbanding pendapatan mereka sebagai penjawat awam," katanya ketika dihubungi Utusan Malaysia, di sini hari ini.

Menurutnya, pasukan khas tersebut tidak berputus asa untuk meneruskan siasatan walaupun ada cubaan untuk menghalang tindakan itu berikutan kematian Penolong Pengarah JKDM Selangor, Ahmad Sarbani Mohamed kelmarin.

"Usaha sedang dijalankan untuk membekukan akaun pegawai-pegawai berkenaan.

"Siasatan SPRM tidak terjejas malah masih giat diteruskan dan mengikut maklumat, ada berbilion ringgit lagi masih berada di luar negara. Siasatan turut melibatkan pegawai-pegawai yang sudah bersara," katanya.

Seramai 62 pegawai JKDM pelbagai pangkat ditahan manakala berjuta-juta wang, akaun dan barangan berharga termasuk rumah dan kereta disita dalam operasi besar-besaran SPRM di Pelabuhan Klang, Kuantan, Johor dan Pulau Pinang sejak Isnin minggu lalu.

SPRM menganggarkan lebih RM10 bilion wang rasuah itu telah dipindahkan secara haram ke luar negara, manakala negara kerugian akibat kehilangan pendapatan sebanyak RM108 bilion akibat tindakan tangan-tangan kotor tersebut.

Dalam operasi baru-baru ini, ada di antara yang ditahan memiliki akaun simpanan berjumlah setengah juta dan kereta mewah, simpanan Amanah Saham Bumiputera (ASB) berjumlah RM200,000 dan jam tangan mewah diperbuat daripada emas.

0 comments: