Menang-Menang' makan ikan bakar

4/17/2011 10:39:00 pm 0 Comments



PARA pelanggan boleh memilih sendiri jenis dan kuantiti ikan dan makanan laut lain untuk dibakar.


SATU persatu cawangan RSIB kini dibuka di sekitar Lembah Klang. Baru sahaja membuka cawangan ketujuh di Kajang Mac lalu, RSIB terus memperkenalkan cawangan seterusnya di Balakong pada 1 April lalu.
Walaupun lapan lokasi sudah ditakluk RSIB, namun masih ada 22 cawangan yang bakal dibuka bagi menggenapkan sasaran 30 cawangan keseluruhan di seluruh negara. Selain Lembah Klang, RSIB turut mengintai peluang dengan mengembangkan sayap perniagaan mereka ke negeri-negeri lain seperti Melaka dan Johor.
Dalam pada sibuk membayangkan keuntungan yang dikaut pemilik restoran, kita sering terlepas pandang aspek keuntungan bersama yang diperoleh individu-individu lain. Mereka yang terlibat secara tidak langsung itu ialah golongan petani dan pengusaha ikan.
Memahami akan kesusahan hidup petani dan pengusaha ikan mendapatkan mata pencarian bulanan, Pengasas dan Pengarah Urusan RSIB, Datuk Jamil Md. Yunos memberitahu, projek penubuhan cawangan-cawangan RSIB itu juga merupakan satu bentuk sokongan kepada golongan tersebut.
“Setakat ini, kesemua lapan cawangan yang kita ada memerlukan sekurang-kurangnya dua tan serai dan ikan sehari. Secara tidak langsung, kita memberikan peluang kepada petani-petani untuk menanam serai dan juga tanaman lain.

CAWANGAN RSIB di Balakong adalah yang ketujuh dalam rangkaiannya.


“Pengusaha ikan pula kita fokus kepada mereka di Sekinchan memandangkan bekalan ikan RSIB didatangkan terus dari sana,” kata beliau.
Peluang miliki cawangan
Selain mendatangkan keuntungan kepada golongan tersebut, usahawan-usahawan yang mempunyai modal tetapi kurang arif dalam bidang perniagaan turut berpeluang memiliki cawangan RSIB sendiri dengan bermodalkan RM500,000.
Usahawan-usahawan yang melabur akan diberikan lokasi yang dipilih sendiri oleh pihak RSIB dan jika cawangan yang dibuka itu tidak memberikan pulangan memuaskan kepada pemilik, pihak RSIB akan mengambil alih operasi tersebut serta memberi lokasi baru kepada pemilik tanpa sebarang modal.
Jamil memberitahu, pembukaan cawangan-cawangan tersebut memberikan faedah kepada banyak pihak dan tidak hanya kepada pihak urusannya sahaja.
Tambahan lagi, orang ramai mendapat kesenangan apabila tidak perlu lagi menuju ke satu-satu lokasi bagi merasa resipi ikan bakar Sekinchan kerana kewujudan cawangan yang kini berada di serata Lembah Klang.
“Bagi memudahkan orang ramai, kita akan membuka cawangan RSIB di Danga Bay, Johor Bahru khusus buat mereka di selatan tanah air serta Singapura menjelang Mei ini.
“Cawangan di Melaka juga dalam proses pengubahsuaian dan akan menyusul tidak lama lagi.

IKAN bakar yang telah siap dihidang di atas pinggan beralas daun pisang.


“Menerusi pembukaan cawangan di luar Lembah Klang ini, orang ramai tidak perlu datang ke Kuala Lumpur dan Selangor bagi merasai ikan bakar kita,” ujar Jamil.
Jaminan
Apabila semakin banyak cawangan dibuka, kebimbangan orang ramai terhadap mutu dan keaslian rasa ikan bakar RSIB mungkin menjadi persoalan, namun Jamil memberi jaminan bahawa pelanggan tidak perlu khuatir akan hal tersebut.
Menggunakan pendekatan dapur pusat, RSIB menjanjikan kualiti dan rasa yang sama di kesemua cawangan dengan pengekalan resipi asal. Rata-rata bahan masakan yang digunakan didatangkan khas dari Sekinchan.
Cawangan di Taman Dutamas, Balakong yang dibuka baru-baru ini juga mempertaruhkan menu serupa berkonsepkan makanan laut segar yang dibakar. Sajian itu ditambah dengan menu sampingan yang menyelerakan seperti nasi lemak, ulam, rendang kerang, paru goreng bercili dan pelbagai lagi makanan tradisi Melayu.
Sehingga hari ini, setiap cawangan RSIB terus menjadi tarikan dalam kalangan penggemar ikan bakar apabila menerima lebih 200 hingga 400 pengunjung sehari.
Cawangan RSIB kini berada di Centrum Setiawangsa, Kota Damansara, Prima Sri Gombak, Puchong, Cheras, Taipan, Kajang dan Balakong. Cawangan di Segambut dan Kepong pula akan dirasmikan dalam bulan ini. – MOHD. ALIF ABU BAKAR

0 comments: