3/24/2008 07:38:00 pm 0 Comments

Pintu dibuka seluas-luasnya untuk BPR siasat AKSB - MB Kelantan



SIASAH

Thursday, August 23, 2007

Pintu dibuka seluas-luasnya untuk BPR siasat AKSB - MB Kelantan

KOTA BHARU, 23 Ogos: Menteri Besar, Tuan Guru Dato’ Nik Abdul Aziz Nik Mat berkata, kerajaan negeri sedia memberi kerjasama kepada BPR untuk menyiasat dakwaan penyelewengan dalam Air Kelantan Sdn Bhb (AKSB) tetapi anggota Parlimen Tumpat mempertikaikan bagaimana BPR boleh dedahkannya dalam media sebelum selesai disiasat.



“Selaku ketua kerajaan saya memberi jaminan akan memberi kerjasama dan ruang sepenuhnya kepada BPR untuk menjalankan siasatan terhadap dakwaan ke atas AKSB.



"Sebelum ini saya telah tegaskan bersedia membuka pintu kepada BPR untuk siasat mana-mana agensi kerajaan negeri,” kata Nik Aziz kepada pemberita selepas meraikan rombongan masyarakat Cina dari Bandar Ipoh, Perak di JKR10.



Kenapa dedah



Datuk Kamarudin Jaffar yang juga Setiausaha Agung PAS berkata, dalam Dewan Rakyat, menteri yang menjaga urusan BPR mencari pelbagai alasan ketika ditanya siasatan BPR terhadap sesuatu kes.



"Saya berasa sangat hairan bagaimana BPR boleh membuat penjelasan secara terperinci dalam media sedangkan sebelum ini di Parlimen, apabila persoalan mengenai kes-kes siasatan BPR dikemukakan maka jawapan yang akan diberikan adalah maklumat itu sulit atau ia masih berada dalam siasatan," ujarnya.



Menurutnya, menteri yang berkaitan berdolak dalih dengan pelbagai alasan seolah-olah ingin menutup aib pihak tertentu.



"Tetapi kenapa kali ini dalam membicarakan kes pengurusan air Kelantan, ia diumumkan kepada khalayak tidak seperti kes-kes sebelum ini?" Kamaruddin mempersoalkan tindakan BPR dalam kes ini apabila sebuah akhbar melaporkan siasatan BPR berkaitan dengan AKSB.



Sementara itu, Exco kerajaan negeri Kelantan yang menjaga urusan air menjelaskan kesemua projek meningkatkan prasarana bekalan air di negeri ini mendapat kelulusan daripada Kementerian Kewangan sebelum pembayaran dibuat kepada kontraktor terlibat.



Ikut prosedur



Pengerusi Jawatankuasa Kerjaraya, Infrastruktur dan Alam Sekitar, Mejar (B) Md Anizam Abdul Rahman berkata, setiap projek yang dijalankan di Kelantan di bawah pengawasan bersama kerajaan negeri dan kerajaan Pusat.



“Sebelum pembayaran dibuat kepada kontraktor terbabit, perbincangan wakil daripada perunding, kontraktor, Air Kelantan Sdn Bhd (AKSB) dan Kementerian Kewangan dibuat terlebih dahulu.



“Setelah segala masalah termasuk berkaitan aspek teknikal selesai barulah pembayaran dibuat kepada kontraktor terlibat,” katanya di sini.



Md Anizam juga berkata, siasatan sepatutnya turut dilakukan terhadap kontraktor yang gagal menyiapkan pembinaan loji skim bekalan air Kampung Puteh, Kota Bharu.



Pembinaan loji tersebut melibatkan kos RM29.8 juta pada awalnya diberi kepada UB Usahabina Sdn Bhd. Projek itu yang dimulakan pada April 2002 sepatutnya siap pada Oktober 2003.



Ekoran masalah yang berlaku kontraktor lain pula dilantik kerajaan bagi meneruskan kerja-kerja dilaksanakan syarikat pertama.



Siasat tiga jambatan



Sementara itu, orang ramai pula menggesa BPR menyiasat pembinaan tiga jambatan iaitu di Tendong dan berhampiran Bukit Panau di Pasir Mas serta Ketereh yang gagal disiapkan sehingga sekarang.



“Sepatutnya BPR menyiasat projek tersebut kerana ia ternyata menyusahkan rakyat yang terpaksa melalui jambatan sementara dalam tempoh begitu lama. Tanpa perlu laporan pun, BPR patut menyiasat kerana ia boleh dilihat dengan mata.



“Sedangkan syarikat yang mengendalikan projek bekalan air di Kelantan dilantik kerajaan Pusat. Agensi kerajaan negeri hanya menyelia kerja-kerja yang dijalankan,” kata Ahmad Abdullah, 56 dari Pulau Chondong.



Pada persidangan Dewan Undangan Negeri Kelantan sebelum ini, pemimpin pembangkang cuba menggamatkan dewan dengan isu air, namun gagal. Kali ini isu tersebut diketengahkan lagi yang dilihat lebih bermotifkan politik.


0 comments: