3/23/2008 08:05:00 pm 0 Comments

ANWAR IBRAHIM

BPR Batalkan Penerimaan Video, VK Lingam Disahkan Bercakap Dengan Tun Fairuz

Pada 11:05 pagi pegawai Badan Pencegah Rasuah (BPR) menghubungi saya untuk membatalkan temujanji hari ini sehingga notis selanjutnya. Percubaan kerajaan untuk mengugut saya telah gagal.


Nampaknya masih wujud keraguan tentang siapa sebenarnya yang terlibat di dalam rakaman video ini. Saya ingin memberi menyatakan secara jelas bahawa VK Lingam menyebut bahawa beliau bercakap dengan Ahmad Fairuz dan menyebut “kes Anwarâ€.


Pada Isnin 22 Oktober 2007, saya telah menerima notis di bawah seksyen 22(1)(b) Akta Pencegahan Rasuah 1997 untuk menghantar kepada BPR versi penuh video selama 15 minit yang merakamkan perbualan VK Lingam dan Fairuz. Mereka berbuat demikian di sebalik penegasan saya bahawa saya tidak memiliki versi penuh video tersebut.


Jelas sekali pengeluaran notis ini bermotifkan politik di dalam usaha sia-sia untuk pendakwaan di atas kesalahan melibatkan Akta tersebut. Ini juga satu percubaan untuk mengugut saya, Sivarasa, Naib Presiden KeADILan dan Sim, pembantu khas saya agar tidak mendesak pihak berkuasa untuk menjalankan siasatan ini secara telus.


Pembacaan Bahagian 4 Akta tersebut jelas menunjukkan kuasa yang diperuntukkan di bawah Seksyen 22 bagi membolehkan pegawai penyiasat mendapatkan bukti daripada individu-individu yang TERLIBAT di dalam rasuah – agar suspek tidak menyorok bukti dan menghalang pendakwaan.


Justeru kuasa tersebut diberikan untuk mengarahkan individu menyerahkan dokumen dan memberi maklumat. Kuasa tersebut tidak patut diperalatkan oleh BPR untuk mengugut dan mengancam individu-individu yang telah mendedahkan kesalahan rasuah secara sukarela, di atas kepentingan awam.


Kesan lanjutan daripada BPR diperalatkan sebegini amat serius. BPR semakin hilang kredibiliti mereka dan pada masa hadapan tiada sesiapa akan berasa yakin untuk membuat laporan pada BPR kerana takut dihukum secara tidak adil.


Di atas sebab itu, peguam-peguam saya telah menasihatkan saya untuk membuat tindakan undang-undang bagi mengenepikan notis tersebut. Salahguna kuasa sebegini mesti didedahkan.

Pada minggu ini media telah memainkan beberapa kejayaan terbaru BPR, khususnya di dalam kes “Pemutar Skruâ€. Tetapi janganlah kita melupakan kes yang lebih besar yang belum selesai seperti kes Kapal Selam Scorpene, Jet Sukhoi dan Zon Bebas Pelabuhan Klang.


Kini siasatan salahlaku kehakiman nampaknya gagal ditangani dan nampaknya wujud usaha berterusan untuk menutup segala bukti. Apatah lagi, keseluruhan siasatan tersebut akan diperlekehkan jika Perdana Menteri menegaskan agar kontrak Ahmed Fairuz disambung.


Saya mendesak BPR untuk sekali lagi menumpukan masa dan tenaga mereka kepada isu-isu asas rasuah dan salahlaku kehakiman yang telah didedahkan video ini. Dan saya mengulangi bahawa hanya perlantikan sebuah Suruhanjaya DiRaja akan membenarkan siasatan secara telus dan berkesan terhadap skandal ini.


ANWAR IBRAHIM


0 comments: