8/03/2007 07:12:00 pm 0 Comments

Dua beradik ikut 'jantan'

MELAKA: Dua beradik perempuan sanggup datang dari Selayang, Selangor, semata-mata untuk bersama teman lelaki masing-masing di sebuah rumah di Pangsapuri Saujana Puri, Bukit Katil, dekat sini sebelum dicekup Bahagian Penguatkuasaan Jabatan Agama Islam Melaka (Jaim), awal pagi kelmarin.

Wanita berusia 21 dan 23 tahun itu dikatakan sudah berada di rumah teman lelakinya sejak empat hari lalu. Ketika ditahan kira-kira jam 4.15 pagi, masing-masing sedang tidur.



Pasangan lelaki yang masing-masing berusia 22 tahun turut berada dalam rumah berkenaan.

Ketua Pegawai Penguat Kuasa Agama Jaim, Rahimin Bani, berkata seorang wanita terbabit yang berusia 23 tahun mendakwa datang ke negeri ini untuk membincangkan masalah kerjanya bersama teman lelakinya.

"Kebetulan adiknya turut mengikutinya dan mereka berpakat menumpang di rumah lelaki terbabit. Adik wanita itu turut mempunyai teman lelaki yang tinggal di rumah sama.

"Mereka datang dari Selayang dan terus ke rumah berkenaan selepas dibawa teman lelaki masing-masing.

"Rumah sewa berkenaan turut didiami seorang lagi rakan lelaki terbabit. Bagaimanapun, dia tiada di rumah ketika kejadian.

"Berdasarkan siasatan, semua mereka mendakwa tidur secara berasingan dan tidak melakukan perbuatan sumbang di dalam rumah itu," katanya kepada Harian Metro, di sini, semalam.

Rahimin berkata, seramai lima pegawai dan anggota penguat kuasa Jaim serta diiringi dua anggota polis ke rumah terbabit selepas menerima aduan.

Katanya, selepas beberapa kali pintu diketuk, seorang lelaki yang hanya berseluar pendek membuka pintu dan selepas pihak Jaim memperkenalkan diri mereka terus masuk untuk membuat pemeriksaan.

"Ketika itu dilihat seorang lelaki lengkap berpakaian berdiri di hadapan sebuah pintu bilik.

"Apabila pihak Jaim masuk ke bilik berkenaan mereka menemui dua wanita yang lengkap berpakaian berada di situ," katanya

Beliau berkata, semua mereka ditahan mengikut Seksyen 53, Enakmen Kesalahan Syariah Negeri Melaka, 1991, kerana bersekediaman dengan bukan muhrim.

"Sabit kesalahan boleh didenda sebanyak RM3,000 atau penjara selama 24 bulan atau kedua-duanya sekali," katanya.



0 comments: