8/06/2007 08:36:00 pm 0 Comments

Jangan percaya orang baru dikenali - Ruzana

KUALA LUMPUR 3 Ogos - Ruzana Zubir, 38, yang hampir dipenjarakan seumur hidup di Australia setelah diperdaya membawa candu dua tahun lalu, menasihati rakyat negara ini supaya tidak mengulangi sejarah hitam dirinya ekoran terlalu mempercayai orang yang baru dikenali.

Katanya, beliau amat percaya kegiatan memperdayakan golongan wanita muda oleh pihak tertentu dengan bertopengkan hubungan keakraban dan cinta begitu berleluasa terutama oleh sindiket pengedaran dadah antarabangsa.

Ruzana menarik perhatian bagaimana tragedi yang menimpa dirinya menyebabkan beliau hampir dipenjara seumur hidup atau denda sehingga RM2.08 juta (AUS$750, 000) gara-gara terlalu mempercayai seseorang yang dianggap sebagai keluarga angkat.

''Kita perlu berhati-hati dan jangan mudah percaya dengan orang yang baru dikenali, sentiasa berfikiran negatif dahulu walaupun orang itu berniat baik kerana kita tidak mengetahui isi hati masing-masing.

''Pesanan itu terdetik di hati ketika membaca nasib Wan Lidiawati yang kini ditahan di penjara Trinidad dan Tobago kerana disyaki menyeludup kokain.

''Bayangkan usianya baru 20 tahun, terlalu muda untuk merasai kehidupan penuh ranjau di penjara.

''Cuma nasihat saya kepada dia ialah banyakkan bersabar, bersolat, beri kerjasama dan jangan sesekali menyembunyikan perkara yang boleh membantu kita, Insya-Allah, kebenaran berpihak kepada kita,'' katanya kepada Utusan Malaysia di sini hari ini.

Beliau berkata demikian ketika mengulas penahanan Wan Lidiawati Abdul Majid, 20 sejak 14 Jun lalu di penjara Republik Trinidad dan Tobago atas dakwaan menyeludup kokain seberat 2.197 kilogram.

Ruzana yang berasal dari Beseri, Perlis berkata, pengalamannya di penjara selama setahun sebulan sebelum dibebaskan pada 12 Mei tahun lalu merupakan satu tragedi paling buruk dalam dirinya.

Katanya, semasa di dalam penjara, dia hanya berdoa kepada Allah supaya dibebaskan.

''Pada waktu itu, Tuhan sahaja tahu seksa saya, macam tidak ada peluang dan saya kecewa dengan apa yang berlaku serta sering bertanya kenapa ada orang sanggup menganiaya insan ini.

''Namun dengan sokongan peguam-peguam, keluarga dan pelbagai pihak yang menyumbang untuk yuran guaman saya, barulah peluang untuk menang itu cerah,'' ujarnya.

Kepada ibu Wan Lidiawati, Sharifah Marina Syed Hamzah, 38, beliau menasihatkannya supaya banyak bersabar, bersembahyang dan minta doa kepada Allah supaya anaknya berada di pihak yang benar.

''Bagi Wan Lidiawati pula, jika boleh saya akan menghantar surat untuknya bagi memberi sokongan dan menceritakan pengalaman yang saya hadapi semasa di Australia dahulu,'' jelasnya.

Pada 27 Mac 2005, Ruzana dituduh menyeludup lebih lima kilogram candu ke Australia.

Pada keputusan di Mahkamah Daerah New South Wales pada 12 Mei tahun lalu, Ruzana telah didapati tidak bersalah.


0 comments: