8/06/2007 08:31:00 pm 0 Comments

Ibu rayu kerajaan bantu bebas anak

SITIAWAN 2 Ogos - Seorang ibu hari ini merayu Menteri Luar, Datuk Seri Syed Hamid Albar supaya membantu menyelesaikan kes anaknya yang kini ditahan pihak berkuasa sebuah negara di kepulauan Caribbean pada 14 Julai lalu atas dakwaan menyeludup kokain.

Sharifah Marina Syed Hamzah, 38, berkata, beliau telah berjumpa dengan kaunselor di Wisma Putra selepas mendapat berita tentang penahanan anak perempuannya, Wan Lidiawati Abdul Majid, 20, namun dimaklumkan tiada apa-apa yang mampu dilakukan.

Menurutnya, kaunselor yang ditemuinya kelmarin memberitahu mereka hanya boleh memantau kes berkenaan dan menasihatkannya supaya 'tunggu dan lihat'.

''Ibu mana yang tidak sedih mengenangkan anak kesayangan ditahan di penjara lebih-lebih lagi di luar negara.

''Semakin lama anak saya berada di sana, semakin remuk hati saya dan membuatkan saya terus tidak tidur lena," katanya ketika dihubungi di sini semalam.

Utusan Malaysia semalam melaporkan kerunsingan Sharifah Marina memikirkan nasib anak perempuannya itu yang kini ditahan pihak berkuasa negara Trinidad and Tobago atas dakwaan menyeludup kokain seberat 2.197 kilogram di republik itu.

Beliau yang bekerja sebagai tukang masak kini terpaksa mengambil cuti tanpa gaji bagi membuat urusan dengan pejabat peguam dan Wisma Putra di ibu negara.

Sharifah Marina berkata, beliau memerlukan antara RM50,000 dan RM100,000 sebagai perbelanjaan untuk pergi ke sana bagi mengikuti perbicaraan kes anaknya itu.


0 comments: