8/13/2007 12:51:00 am 0 Comments

Selangor gantung, tarik gelaran Datuk terlibat jenayah

Oleh SUHANA ABDUL MUTALIB

SHAH ALAM 7 Ogos - Bekas Exco Kerajaan Negeri Selangor, Mohd. Sharif Jajang merupakan antara penerima Darjah Kebesaran Selangor yang dikenakan tindakan penggantungan atau penarikan balik gelaran selepas melakukan kesalahan jenayah.

Setiausaha Kerajaan Negeri Selangor, Datuk Ramli Mahmud berkata, keputusan tersebut dibuat setelah mendapat perkenan daripada Sultan Selangor, Sultan Sharafuddin Idris Shah selepas perbincangan melalui Dewan Diraja Selangor yang bersidang 2 Ogos lalu.

Menurut beliau, berdasarkan senarai yang dikeluarkan, seorang penyandang darjah kebesaran ditarik balik gelarannya manakala lima penyandang darjah kebesaran lagi digantung keahlian masing-masing.

"Mohd. Sharif dikenakan penggantungan gelaran Datuk Paduka Mahkota Selangor (DPMS) sehingga kes yang melibatkan beliau selesai dibicarakan di mahkamah.

"Sementara itu, Chow C.K. Kenneth A. Wira Tjakrawinata yang juga merupakan penyandang Darjah Kebesaran DPMS pada tahun 1999 telah dilucutkan gelaran darjah kebesarannya selepas disabitkan dengan kesalahan jenayah," katanya dalam satu kenyataan di sini, hari ini.

Sementara itu, Ramli berkata, Chee Kok Wing, bekas Pengarah Sebuah Syarikat yang menerima Darjah Kebesaran Datuk Sultan Salahuddin Abdul Aziz (DSSA) pada tahun 2000 akan digantung keahlian sehingga kesnya selesai.

Difahamkan, beliau kini dibicarakan di Mahkamah Sesyen Kuala Lumpur selepas melakukan kesalahan mengikut Akta Perindustrian Sekuriti 1983.

Ramli berkata, selain Kok weng, Saidin Thamby penyandang Darjah Kebesaran DPMS dan Mohd. Saberi Salleh (penyandang Darjah Kebesaran DSSA) juga digantung keahlian sehingga kes masing-masing selesai.

Menurut beliau lagi, turut menerima nasib penggantungan keahlian ialah bekas Pengurus Besar Kanan (Pelaburan) Lembaga Urusan Tabung Haji, Mohd. Safie yang merupakan penerima Darjah Kebesaran DSSA akan digantung gelarannya terlebih dahulu.

"Meskipun beliau telah disabitkan dengan kesalahan jenayah, tetapi beliau kini dalam proses rayuan dan kita akan menunggu sehingga proses rayuan selesai sebelum memutuskan tindakan lanjut," kata Ramli.


0 comments: