7/31/2007 01:39:00 am 0 Comments

Bank Negara kena pastikan CCRIS papar maklumat muflis


KETIKA orang ramai mempersoalkan khidmat syarikat CTOS Sdn Bhd (CTOS) yang digunakan oleh bank dan syarikat kewangan bagi menentukan status kewangan peminjam sehingga ada yang memfailkan saman selain laporan polis, Persatuan Bank-Bank Dalam Malaysia (ABN) bagaikan memberi pengiktirafan kepada CTOS. Isu membabitkan CTOS belum selesai kerana Kementerian Kewangan masih dalam cadangan merangka rang undang-undang baru mengawal selia penggunaan maklumat kredit individu dalam sistem kewangan negara. Justeru, tindakan ABN memberi keizinan kepada CTOS agar terus memberikan khidmat seperti biasa dengan memasukkan syarat baru, menimbulkan tanda tanya banyak pihak. Pengerusi ABN, Datuk Seri Abdul Hamidy Abdul Hafiz, dalam kenyataannya kelmarin berkata, semua bank komersial disyarat mendapatkan kebenaran bakal peminjam sebelum menyemak latar belakang mereka dengan agensi rujukan kredit, berkuat kuasa serta-merta. Semua 22 ahli ABN iaitu sembilan bank tempatan dan 13 bank asing yang beroperasi di negara ini bersetuju secara suka rela dengan syarat baru yang berkuat kuasa serta-merta bagi semua permohonan pinjaman baru itu. Bank akan menyediakan borang khas yang dikepilkan bersama borang permohonan pinjaman untuk ditandatangani pelanggan sebagai tanda memberi kebenaran kepada bank memeriksa latar belakang kewangan mereka. Bank hanya membuat semakan kredit jika pelanggan memberikan kebenaran.


Ketika ini bank bergantung kepada tiga sumber rujukan kredit utama, iaitu yang disediakan CTOS, Financial Information Services (FIS) khusus bagi pinjaman kereta dan Central Credit Information System (CCRIS). CTOS baru-baru ini mencetuskan kontroversi kerana rekod kewangan individu yang disediakan didakwa tidak dikemas kini hingga menyebabkan bank mendapat maklumat tidak tepat mengenai latar belakang kredit peminjam. Berikutan isu itu, pelbagai pihak termasuk bank dilaporkan tidak lagi menggunakan khidmat CTOS. Kita berpendapat, khidmat seperti itu seharusnya dikendalikan sendiri Bank Negara seperti CCRIS yang dikendalikan bank pusat itu, bukan diuruskan pihak ketiga yang boleh menimbulkan keraguan. ABN pula perlu mengemukakan cadangan kepada bank pusat supaya maklumat tambahan termasuk perisytiharan muflis seperti disediakan CTOS, turut dimuatkan dalam CCRIS.

CCRIS yang dikendalikan Bank Negara Malaysia bagaimanapun hanya memberi maklumat berkaitan tanggungan pinjaman individu dengan bank. Apa salahnya jika semua urusan seperti itu dikendalikan sepenuhnya oleh CCRIS. Memang maklumat mengenai latar belakang peminjam diperlukan bank bagi membuat pe
nilaian keupayaan pembayaran semula pinjaman. Bank menggunakan dana deposit termasuk daripada orang ramai sebagai sumber memberi pinjaman. Persoalannya, adakah bank tidak akan meluluskan pinjaman jika pelanggan tidak memberi kebenaran memeriksa latar belakang mereka. ABN tidak memberi jawapan kepada soalan ini, sebaliknya menyatakan pelanggan yang enggan memberi kebenaran kepada bank memeriksa latar belakang mereka akan berdepan masalah kelewatan kelulusan pinjaman kerana bank terpaksa bergantung kepada sumber lain untuk mendapatkan maklumat kredit itu. Apakah Bank Negara tiada kuasa mendapatkan semua maklumat berkaitan muflis seperti disediakan CTOS. Kita berharap Bank Negara memberi nasihat kepada ABN supaya mengkaji semula kebenaran menggunakan khidmat CTOS kerana tentu ada cara lain untuk memastikan orang ramai tidak menghadapi masalah membuat pinjaman, manakala bank pula tidak menanggung risiko berikutan kegagalan peminjam membayar balik pinjaman.


0 comments: