7/17/2007 11:25:00 pm 0 Comments

OSA: Apakah yang kerajaan BN cuba selindungkan?








Ustaz Haji Ahmad Awang
Wed | Feb 07, 07 | 12:15:01 AM

Empat orang pemimpin pembangkang telah dipanggil untuk disoal-siasat oleh pihak polis kerana mendedahkan butiran perjanjian tol yang dianggap menjadi rahsia pihak kerajaan. Mereka ialah Bendahari PAS merangkap Setiausaha Protes Kenaikan Harga Tol (Protes), Dr.Hatta Ramli; Ketua Penerangan Parti Keadilan Rakyat Malaysia (PKR); Bendahari PKR, Tan Sri Khalid Ibrahim dan Setiausaha Publisiti DAP, Ronnie Liu.


Siasatan dibuat atas Seksyen 8, Akta Rahsia Rasmi (OSA) kerana mendedahkan perjanjian di antara kerajaan dengan syarikat Lingkaran Transkota Sdn. Bhd. yang mengendalikan Lebuhraya Damansara-Puchong (LDP). Sebelum mereka dipanggil untuk disoal-siasat, Menteri Kerja Raya, Dato' Seri Samy Vellu telah membuat kenyataan di dalam media massa bahawa kerajaan akan bertindak terhadap keempat-empat pemimpin pembangkang itu kerana mendedahkan dokumen yang dianggap sulit dan rahsia kepada pihak umum.


Jadi, siasatan itu jelas dilakukan berdasarkan kepada kenyataan dan laporan yang dibuat oleh menteri berkenaan. Sebagai menteri yang bertanggungjawab mengendalikan urusan yang berkaitan dengan konsesi tol ini, Samy Vellu seharusnya menjawab persoalan yang dibangkitkan oleh pihak pembangkang dan pihak NGO yang tidak berpuas hati serta membantah kenaikan harga tol baru-baru ini.


Beliau tidak sewajarnya melenting kerana rakyat berhak tahu isi kandungan perjanjian yang dibuat oleh pihak kerajaan dengan syarikat-syarikat konsesi tol. Rakyat perlu dimaklumkan dengan butiran perjanjian kerana ia melibatkan kepentingan orang ramai dan para pengguna jalan raya. Sekiranya perjanjian itu dibuat berdasarkan syarat-syarat yang adil maka tidak ada apa yang perlu dirahsiakan daripada pengetahuan orang ramai.


Tetapi pendedahan yang dibuat oleh pihak pembangkang menunjukkan betapa perjanjian konsesi yang dimeterai itu adalah berat sebelah serta menguntungkan syarikat konsesi. Perjanjian seumpama itu tidak sahaja merugikan rakyat tetapi mengorbankan kepentingan para pengguna jalan raya untuk keuntungan dan manfaat syarikat konsesi.


Oleh yang demikian, kerajaan BN harus bertindak mebuat penilaian semula terhadap perjanjian yang telah ditandatangani bersama dengan syarikat-syarikat konsesi. Ini penting kalau kerajaan BN masih meletakkan kepentingan rakyat pada kedudukan yang utama. Namun apa yang berlaku membuktikan tradisi membela rakyat hanyalah satu retorik politik BN semata-mata. Rakyat telah dikorbankan untuk kepentingan para kroni dan syarikat yang mempunyai hubungan dengan para pemimpin BN.


Pihak Badan Pencegah Rasuah (BPR) sepatutnya melakukan siasatan berasaskan kepada pendedahan yang dibuat oleh keempat-empat aktivis pembangkang itu termasuk juga mengambil keterangan daripada Samy Vellu selaku menteri yang dipertanggungjawabk an untuk mengendalikan urusan yang berkaitan dengan konsesi tol ini.


Siasatan yang dilakukan terhadap keempat-empat aktivis pembangkang itu menunjukkan bahawa kerajaan BN tidak telus dan berusaha menyembunyikan 'sesuatu' berhubungan dengan perjanjian konsesi lebuh raya. Kalau perjanjian itu tidak mengandungi perkara yang memusykilkan, kenapa akta OSA digunakan terhadap empat pemimpin pembangkang.


Nyata sekali ada perkara yang cuba diselindungkan oleh kerajaan BN dan mereka tidak mahu rakyat mengetahui apa perkara yang sebenarnya berlaku. Kalau tidak, kenapa dicipta sebegitu banyak akta yang bercanggah dengan amalan demokrasi dan prinsip keadilan. Akta-akta seperti ISA, OSA, AUKU, Akta Polis, Ordinan Darurat serta Akta Penerbitan dan Mesin Cetak telah digunakan untuk menghalang kebebasan bersuara dan penyebaran maklumat di kalangan rakyat.


Kerajaan BN telah menyalahgunakan akta-akta itu untuk kepentingan politik, menekan pembangkang dan menghalang rakyat daripada mendapat informasi yang tepat. Sampai bila kita harus membiarkan akta-akta ini mencengkam kehidupan rakyat. Rakyat yang mempunyai kuasa untuk menentukannya.


Sudah sampainya mereka menggunakan kuasa tersebut bagi mengelakkan lebih banyak tindakan dan perjanjian yang merugikan rakyat teramai.


Ketua Penerangan PAS Pusat


0 comments: