7/18/2007 12:18:00 am 0 Comments

Petani desak batalkan FTA dengan AS








Mohd Sabri Said
Sun | Feb 04, 07 | 06:17:10 AM

SUNGAI PETANI, 4 Februari (Hrkh) - Kerajaan wajar membatalkan sahaja Perjanjian Perdagangan US FTA daripada terus berdolak dalih kononnya tidak berkompromi sama sekali dalam apa juga yang melibakan kepentingan rakyat.


Jurucakap Jawatankuasa Bertindak Petani, Masyarakat Desa dan Badan Bukan Kerajaan (NGO) Wilayah Utara, Che Ani Mat Zain dalam sidang media yang diadakan di Swiss Inn, Sungai Petani semalam menegaskan, terdapat dua pandangan yang berbeza antara Menteri Perdagangan Antarabangsa dan Industri, Dato' Seri Rafidah Aziz dan Menteri Pertanian, Tan Sri Muhyidin Yasin dengan laporan hasrat Amerika yang menentang pengeluaran beras daripada perjanjian tersebut.


Masyarakat petani katanya, mahukan pendedahan terperinci mengenai maklum balas US FTA terhadap permintaan Malaysia untuk mengeluarkan beras daripada perundingan itu.


"Selaku wakil petani saya mahukan kerajaan Malaysia mempertahankan janji Rafidah Aziz dan Muhyidin Yasin bahawa padi tidak akan dimasukkan dalam perjanjian itu. Atau kata lain batalkan terus perjanjian berkenaan kerana ia mendatangkan risiko pada penduduk tempatan, " ujarnya.


Walaupun Malaysia mampu mendapat pengecualian dalam isu beras petani bimbang terhadap petani-petani lain yang sebelum ini dilindungi daripada kesan subsidi produk pertanian Amerika yang boleh menjangkau nilai subsidi sehingga 154 peratus.


Beliau khuatir jika perjanjian itu meminta cukai dikurangkan kepada 0 peratus sebangaimana semua FTA dengan Amerika sebelum ini adakah kerajaan turut setuju.


"US FTA dengan negara lain telah membuktikan kesan teruk pada petani tempatan maka adakah Malaysia boleh mempersetujuinya sedangkan rakyat Malaysia yang tinggal di desa rata-rata 70.6 peratus berada dalam golongan miskin," tambahnya.


Bila berlaku begitu pastinya petani atau peladang tempatan merasai bahang saingan dengan kebanjiran produk subsidi Amerika lagipun ianya bertentangan dengan hasrat kerajaan untuk meningkatkan keluaran pekebun kecil, petani dan nelayan serta mengurangkan kemiskinan rakyat dalam Rancangan Malaysia Ke-9 (RMK-9).


Pengerusi Pertubuhan Maufakat Warga Desa Negeri Kedah, Aziz Man dalam sidang media yang sama berkata, ucapan Timbalan Perdana Menteri, Dato' Seri Najib Razak dan Perdana Menteri, Dato' Seri Abdullah Ahmad Badawi untuk mempertahankan kepentingan ekonomi dan tidak tunduk dengan gesaan Amerika hanyalah laungan kosong sahaja.


Sebelum perjanjian di menterai sepenuhnya jelas sekali Amerika sudah mengertak Malaysia agar membatalkan FTA dengan Iran yang dianggap musuhnya.


"Tengok sebelum US FTA dimeterai sepenuhnya bulan Mac ini Amerika telah menunjuk belang menyuruh Malaysia membatalkan FTA dengan Iran yang telah terjalin sekian lama," jelasnya.


Sementara itu, Koordinator Sahabat Alam Malaysia (SAM), Anuar Mahmud dalam kenyataan media turut mempertikaikan hasrat Malaysia mengadakan rundingan US FTA kali ke lima di Sabah sebelum rundingan seterusnya di Amerika.


Beliau khuatir ada perkara yang tersirat dalam perundingan itu sehingga mencetuskan hasrat US FTA tercapai.


"Rakyat perlu tahu hasil rundingan itu bukannya cuba menyembunyikannya. Jika begini sikap kerajaan Malaysia jelas sekali mereka mahukan US FTA dilaksanakan juga walaupun terdapat suara untuk mempertahankan dan tidak akan tunduk dengan sebarang gesaan Amerika kelak," katanya. - mns


0 comments: