7/17/2007 10:54:00 pm 0 Comments

Keganasan di Palestin - PAS gesa AS, Israel henti bekal senjata








Mohd Rashidi Hassan
Tue | Feb 06, 07 | 03:08:54 AM

KUALA LUMPUR, 6 Feb (Hrkh) - Presiden PAS, Dato' Seri Tuan Guru Abdul Hadi Awang menyelar Amerika Syarikat dan Israel kerana membekalkan senjata kepada Pergerakan Fatah untuk menentang Kerajaan Hamas di Palestin.


Beliau menegaskan, PAS mengutuk sekeras-kerasnya penglibatan AS dan Israel di Palestin yang menjadikan rakyat Palestin sebagai mangsa kezaliman mereka sejak beberapa dekad.


Ustaz Hadi berkata, perkembangan yang berlaku sekarang dengan meletusnya keganasan setiap hari di Palestin boleh menjejaskan rundingan antara Hamas dan Fatah untuk membentuk kerajaan campuran.


Walaupun Presiden Mahmoud Abbas yang mengetuai Fatah telah membuat rundingan dengan pemimpin tertinggi Hamas, Khaleed Mashaal di Damsyik baru-baru ini, namun keganasan tetap berlarutan.


Pemimpin kedua-dua parti terus mengadakan rundingan, bagaimanapun persetujuan yang dicapai tidak dipatuhi kerana Fatah mengikut telunjuk AS dan Israel.


"Kita mengalu-alukan dialog itu. Dalam masa yang sama kita mengharapkan Fatah tidak menerima nasihat daripada AS dan Israel sehingga melanggar keputusan yang dibuat."


"Selama ini telah berlaku beberapa siri dialog dan difahamkan terdapat beberapa keputusan yang akhirnya Presiden Abbas dan pembantunya Dahlan menerima nasihat daripada AS dan Israel. Ada kalangan Fatah mematuhi dan mengikuti nasihat AS dan Israel," tegas Presiden PAS itu.


Tegas beliau, usaha jahat AS dan Israel ini mencetuskan pertembungan di kalangan rakyat Palestin sehingga mengorbankan mangsa yang besar jumlahnya.


Katanya apa yang berlaku jelas menunjukkan bukan sahaja AS dan Israel tidak mengiktiraf kemenangan Hamas yang menang dalam pilihan raya secara demokratik dan bersih pada Januari 2006, bahkan melakukan sabotaj secara berterusan.


Dalam pilihan raya yang dikendalikan secara bebas tersebut Hamas memenangi 76 kerusi daripada keseluruhan 132 kerusi yang dipertandingkan. Sejurus sebelum pilihan raya diadakan, Marwan Barghouti, pemimpin Fatah yang dipenjarakan telah dibenarkan oleh Israel untuk diwawancara stesen satelit al-Jazeera dan al-Arabiya, yang popular di kalangan rakyat Palestin, menunjukkan Israel membenarkan kempen Fatah untuk menewaskan Hamas.


Beliau menegaskan rakyat Palestin seharusnya sedar bahawa AS dan Israel melakukan pemulauan ekonomi dan politik dengan usaha untuk menjatuhkan kerajaan yang dipilih rakyat. Turut dilaporkan Washington, melalui United States Agency for International Development (USAID) membelanjakan AS$2 juta untuk projek meningkatkan imej positif Fatah sebelum pilihan raya berlangsung. Wang itu ialah sebahagian bantuan tahunan sebanyak AS$400 juta yang ingin disekat berikutan kemenangan Hamas.


Ustaz Hadi turut memberikan komitmen PAS bersama dengan gerakan Islam sedunia untuk terus membantu rakyat Palestin sama ada dari segi politik dan ekonomi secara berterusan.


Sejarah mencatatkan bahawa regim zionis Israel sering memulakan serangan bersenjata terhadap Palestin, terutama terhadap pemimpin politik di penempatan yang didakwa mereka sebagai kawasan teroris.


Dua pemimpin utama Hamas, Syeikh Ahmad Yassin dan Abdul Aziz al-Rantissi telah gugur syahid, dibunuh Israel.


(Ulasan lanjut Presiden PAS disiarkan dalam Harakah edisi cetak bertarikh 16 - 28 Feb 2007)


0 comments: