7/20/2007 07:30:00 pm 0 Comments


Malaysia sebuah negara sekular, kata MCA
Posted on Thursday, July 19 @ 10:57:11 MYT by
greenboc
Oleh
pemerhati_pbb


"MCA menegaskan bahawa semua dokumen sejarah berhubung pembentukan perlembagaan persekutuan dan penubuhan sebuah negara yang merdeka menunjukkan bahawa Malaysia adalah sebuah negara sekular.


“Ini adalah permuafakatan dan kontrak sosial yang dipersetujui oleh nenek moyang kita,” kata Setiausaha Agung MCA, Datuk Ong Ka Chuan, dalam satu kenyataan hari ini.



Oleh itu, katanya, kenyataan Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak semalam bahawa Malaysia adalah sebuah negara Islam adalah tidak bertepatan dengan Perlembagaan Persekutuan.


Bercakap kepada pemberita selepas mewakili Perdana Menteri merasmikan persidangan antarabangsa mengenai Negara Islam Dalam Dunia Global di ibunegara semalam, Najib berkata, Malaysia bukan negara sekular tetapi sebuah negara Islam dengan takrifnya yang tersendiri.


Najib yang juga Timbalan Presiden Umno – parti komponen terbesar Barisan Nasional (BN) – berkata Malaysia tidak pernah berpegang kepada sekularisme tetapi didorong oleh asas Islam kerana perlembagaan jelas menyebut bahawa Islam adalah agama rasmi.


"Islam adalah agama rasmi dan kita adalah negara Islam tetapi sebagai sebuah negara Islam tidak bererti kita tidak menghormati mereka yang bukan beragama Islam. Umat Islam dan orang bukan Islam masing-masing mempunyai hak," kata Najib lagi.



Sokongan politik

Menurut Ong lagi, dokumen yang disediakan pihak British sebelum memberi kemerdekaan kepada Malaya pada 1957 dengan jelas menunjukkan ‘para anggota delegasi Perikatan, tidak mempunyai niat untuk mewujudkan sebuah negara Islam dan Malaya akan menjadi negara sekular’.


MCA adalah parti kaum Cina yang merupakan anggota komponen BN yang kedua terbesar selepas Umno.


Seorang lagi pemimpin MCA, Wong Nai Chee, yang juga Ahli Parlimen Kota Melaka berkata, interpretasi Najib itu tidak bertepatan dengan semangat dan maksud Perlembagaan Persekutuan.


Hakikat bahawa orang Islam merupakan kaum majoriti tidak menjadikan Malaysia sebuah negara Islam.


Sebaliknya, Malaysia adalah negara sekular dengan majoriti rakyatnya beragama Islam,” katanya dalam satu kenyataan.


Ketua Pembangkang, Kit Siang pula berkata kenyataan Najib itu telah ‘mengeruhkan’ suasana sambutan kemerdekaan negara yang ke-50 bulan depan.


Ia nampak seolah-olah kontrak sosial Merdeka telah dijadikan alat politik apabila ada parti-parti politik atau pemimpin politik yang menggunakannya untuk memanipulasikan sokongan politik terhadap mereka,” katanya.


MALAYSIAKINI. COM"



0 comments: