7/17/2007 10:42:00 pm 0 Comments

Jangan halang pembinaan Masjid Cina


Ustaz Haji Ahmad Awang
Fri | Feb 09, 07 | 07:51:40 AM

Penolakan Dato' Ali Rustam terhadap permintaan golongan Cina Muslim untuk membina sebuah masjid Cina di Melaka menunjukkan betapa Ketua Menteri Melaka mempunyai sikap bias terhadap komuniti berkenaan.


Kenyataan beliau dengan merujuk pembinaan masjid Cina itu dengan sentimen perkauman adalah amat tidak wajar sekali. Beliau perlu menghormati dan memenuhi permintaan komuniti Cina Muslim untuk membina sebuah masjid yang mempunyai seni bina Cina yang bukan sahaja akan digunakan untuk tujuan ibadat tetapi juga untuk berdakwah kepada masyarakat non muslim.


Bukankah pembinaan masjid Cina satu perkara yang baik dan dituntut oleh ajaran Islam. Jadi, tidak ada sebab beliau menghalang apatah lagi menolak permohonan mana-mana pihak untuk membina masjid.


Kalau beliau boleh meluluskan pembangunan pembangunan perkampungan artis, kenapa beliau tidak boleh berbuat demikian terhadap usaha untuk mendirikan masjid Cina. Ali Rustam mempunyai prasangka yang buruk terhadap pembinaan masjid Cina dan hujah-hujah yang digunakan untuk menolak hasrat itu adalah amatlah dangkal sekali.


Beliau tidak sewajarnya membandingkan masjid-masjid yang sedia ada di Melaka dengan masjid Cina yang dicadangkan itu. Walaupun sudah wujud masjid yang mempunyai ciri-ciri seni bina Cina tetapi ia tidak seharusnya dijadikan sebagai alasan untuk membina masjid yang baru. Pertambahan jumlah penduduk dan pembukaan kawasan penempatan serta bandar yang baru menuntut lebih banyak rumah ibadat dibina sama ada yang berbentuk masjid atau pun surau.


Walaupun golongan Cina Muslim masih merupakan kelompok minoriti dalam masyarakat Islam tetapi kehadiran mereka perlu diberikan pengiktirafan. Malahan kesediaan mereka untuk menerima Islam harus dihargai dengan mendirikan masjid yang mempunyai seni bina Cina.


Tambahan pula, pembinaan masjid Cina tidak bertentangan dengan ajaran Islam. Kita boleh ambil contoh pembinaan masjid-masjid di China yang masih mengekalkan sebahagian besar ciri-ciri dan identiti masyarakat Cina di sana. Hal ini tidak menjadi satu masalah yang besar selagi mana ia dibenarkan oleh ajaran Islam. Sikap yang ditunjukkan oleh Ali Rustam adalah cerminan kepada mentaliti dan dasar para pemimpin UMNO/BN yang dalam banyak tindakan telah melakukan perkara yang membantutkan perkembangan Islam di negara ini.


Parti PAS lebih rasional dalam hal ini di mana kerajaan Kelantan pimpinan Tuan Guru Dato' Nik Aziz Nik Mat telah mengambil langkah ke hadapan memberikan sokongan kepada pembinaan sebuah masjid yang membina seni bina Cina di Rantau Panjang. Masjid itu yang dikenali sebagai Masjid Jubli Perak Sultan Ismail Petra telah dibina di atas tapak seluas 3.7 ekar.


Dengan pembinaan masjid itu, ia diharapkan dapat menjadi mercu tanda kepada komuniti Cina Muslim dan umat Islam untuk mengembangkan lagi syiar Islam di dalam masyarakat kita yang berbilang kaum.


Hal ini membuktikan bahawa PAS lebih peka terhadap permintaan dan kehendak masyarakat Islam termasuk komuniti Cina Muslim daripada para pemimpin UMNO yang bersikap pekak badak serta bodoh sombong terhadap hasrat orang Islam sendiri.


Ketua Penerangan PAS Pusat


0 comments: