7/20/2007 07:40:00 pm 0 Comments

Hari ini, suara mufti muda Perlis, Dr. Asri Zainal Abidin melalui Utusan Malaysia, begitu lantang sekali mengkritik terutama dalam bab-bab amalan ibadah yang bercampur baur dengan adat, serta kepercayaan dan takliq yang langsung tidak bersandarkan pada Al Quran atau hadis-hadis shahih.

Penulis bertemu beberapa orang rakan yang juga terdiri dari wartawan dan penulis, bersetuju dengan tindakan Utusan Melayu memberi peluang kepada mufti muda itu. Sekurang-kurangnya kata mereka, ada perbahasan mengenai adat kaum Melayu yang dianggap sebagai ibadah.

Namun, mereka kurang bersetuju dengan cara mufti muda itu menegur. Kata mereka, agak keras, apatah lagi dalam satu rencana, beliau mengatakan bahawa kebanyakkan guru pondok itu jumud dan tidak maju ke depan.

Penulis turut bersetuju dengan pandangan rakan-rakan. Tidak semua guru pondok itu jumud. Kebanyakan ulama besar di Tanah Melayu lahir daripada pengajian pondok. Apakah mereka itu jumud dan menolak kemajuan? Tentu sekali tidak!

Lihat contoh Syeikh Abdullah Fahim, atau lebih dikenali sebagai Pak Him. Ulama tersohor itu menguasai pelbagai ilmu termasuk ilmu falak, di mana hari ini ia digelar sebagai astronomi atau kaji bintang. Apakah Tok Guru Abdullah Fahim yang lahir daripada institusi pondok ini jumud dan tidak terbuka?

Begitu juga dengan seorang tokoh ulama terkenal di negara ini, Tok Kenali. Pada zamannya, Tok Kenali biarpun seringkali dilihat berpakaian sederhana, berjubah putih lusuh, berserban dan selalu berkaki ayam, tetapi ulama itu mempunyai pandangan yang jauh dalam dunia persuratan atau hari ini digelar sebagai dunia media massa.

Beliau telah menyedari bahawa betapa pentingnya media massa sebagai penghubung dan pemberitahuan antara masyarakat pada masa yang akan datang, telah menyeru umat Islam di setiap negeri agar mempunyai makalah atau surat khabar mereka sendiri.

Bahkan, beliau turut terjun dalam dunia kewartawan dan penulisan, apabila Tok Kenali sendiri menjadi pengarang kepada sebuah majalah Islamik, Pengasuh yang diterbitkan di sekitar negeri Kelantan. Jadi, sudah tentu anggapan mufti muda terhadap perguruan pondok itu jumud dan ketinggalan zaman tidak begitu tepat. Cuma mungkin di masa ini, kualitinya guru pondok agak kurang berbanding dulu.

Dalam satu hal lain, kehadiran mufti muda ini menulis dalam Utusan Malysia, ada juga baiknya. Sebenarnya perbahasan dan perbincangan dalam bab-bab seperti ini perlu digalakkan. Tetapi ia hendaklah dilakukan dengan penuh adab dan tolak ansur berdasarkan dalil. Dr. Sheikh Yusuf Al Qardhawi telah menggariskan beberapa adab-adab ketika berbahas tentang perbezaan pendapat dalam kitabnya yang diberi judul Fikh Ikhtilaf.

Mahu tidak mahu, perbincangan mengenai agama perlu diwar-warkan. Ia perlu diperbesar-besarkan . Bukan untuk bertelagah, tetapi untuk mencari kebenaran tentang sesuatu fakta. Jika ada amalan umat Islam hari ini yang bercanggah dengan amalan Nabi, maka ia perlu ditolak. Namun jika ada amalan yang tidak pernah dilakukan Nabi, namun dilakukan umat Islam hari ini dengan manfaat kebaikan yang banyak, maka ia boleh diperbincangkan.

Ini perlu kerana memandangkan zaman ini, tidak dapat dinafikan, ilmu mengenai sejarah Islam, Fekah dan pelbagai lagi telah mula hilang sedikit demi sedikit terutama bagi generasi muda.


Betapa kroniknya pengetahuan generasi muda Islam hari ini apabila penulis bertemu beberapa anak muda yang tidak lagi kenal siapa itu Umar, Abu Bakar, Usman dan Ali, apatah lagi para sahabat yang lain. Malah, mungkin mereka menganggap Islam itu hanya sekadar salah satu agama, dan tidak ada bezanya dengan agama yang lain-lain. Ini menyebabkan ada diantara umat Islam yang murtad akibat jahil.

Apakah punca perkara ini berlaku?

Inilah akibatnya, apabila ada ulama-ulama yang tidak menggalakkan umat Islam berfikir dan menggalakkan mereka hanya untuk terus percaya dan bertakliq buta terutama dalam bab-bab ibadah.

Seperti mana hal-hal remeh seperti tahlil, doa selepas sembahyang, terus menjadi perkara yang dipertikaikan atau dipersalahkan, sedang perkara itu tidaklah termasuk perkara yang diwajib atau difardhukan. Begitu juga dalam hal-hal bermazhab, di mana umat Islam hari ini digalakkan oleh ulama mereka hanya bertajkliq kepada Syafie semata-mata, tanpa perlu mempelajari pendapat-pendapat imam-imam lain.

Malah, Nabi sendiri tidak pernah menyuruh mana-mana umatnya untuk berpegang atau bertakliq pada mana-mana mazhab dan hanya memerintahkan umat Islam agar kembali kepada al Quran dan hadis bagi mencari penyelesaian sekiranya timbul sebarang perbalahan.Bahkan para imam yang empat itu juga tidak pernah meminta mana-mana umat Islam bertakliq dengan mazhab mereka.

Perbuatan menurut-menurut tanpa mahu berfikir di dalam bab-bab ibadah dan tauhid, adalah sesuatu yang bertentangan dengan perintah al Quran. Di dalam al Quran, banyak ayat-ayat yang meminta manusia berfikir tentang kejadian langit dan bumi, serta tanda-tanda kebesaran Allah yang lain. Dan paling jelas, ayat itu Allah tujukan kepada golongan mempunyai akal serta mahu menggunakannya untuk berfikir.

Islam bukan sebuah agama yang hanya menekankan soal ibadah semata-mata, tetapi Islam itu adalah sebuah agama yang menyuruh umatnya untuk berfikir menggunakan akal mereka berpandukan al Quran dan hadis.

Islam juga bukan sebuah agama yang mematikan fungsi akal manusia serta meminta umatnya hanya untuk bertakliq buta. Malah Islam telah membuktikan, bahawa ia adalah sebuah agama yang lengkap dan syumul, termasuklah hal-hal politik dan perundangan.

Dalam hal ini jelas, ulama merupakan pemain penting dalam anjakan minda umat Islam di negara ini. Ulama perlu lebih banyak membaca dan mengkaji. Seseorang yang bergelar ulama atau mufti hari ini tidak boleh terpesona dengan kerusi empuk, bilik luas yang berhawa dingin serta rumah banglo yang besar dan sibuk dengan urusan kerja sampai langsung tidak pedulikan tentang ilmu dan masalah orang awam.

Ulama juga tidak boleh muncul seminggu sekali dikaca tv dan kemudiannya bercakap mengenai kebangkitan Islam! Bolehkah Islam bangkit dengan hanya mendengar ceramah di tv? Seminggu sekali pula tu! Tambah lagi, topik-topik yang dibawa terlalu memualkan dan berulang-ulang sejak tahun 70-an sehinggalah ke hari ini.

Di sini, penulis ingin membuat perbandingan antara ulama Melayu hari ini, berbanding dengan ulama luar, contohnya Syeikh Abul Hassan Ali An Nadwi. Beliau adalah seorang ulama dan pendakwah yang tersohor, tetapi beliau tidak pernah menjarakkan dirinya dari masyarakat.

Beliau sentiasa dekat di mata dan hati masyarakat setempat. Beliau begitu zuhud, dan sentiasa sedar bahawa dunia ini hanyalah tempat persinggahan.

Dan bagaimana pula sikap golongan yang bergelar ulama atau mufti kita hari ini? Berani penulis katakan, jauh beza bagai langit dengan bumi jika mahu dibandingkan dengan tokoh pendakwah itu. Imej ulama Melayu khususnya, dan umat Islam amnya hari ini ialah garang, dan keras. Baik bagi pandangan umat Islam, apatah lagi bagi yang bukan Islam.

Tidak boleh ! Haram! Sesat! Itulah antara kata-kata 'dakwah' bagi menegakkan Islam hari ini yang seringkali keluar dari mulut mereka yang bergelar ulama.

Tidakkah ia terlalu rigid dan seolah-olah terlalu keras, dalam usaha untuk mengembalikan maruah umat Islam, terutama dalam bab tauhid dan iman untuk kembali perpegang pada tali Allah? Apakah cara yang keras dan straitght foward itu sesuai dalam usaha dakwah dalam keadaan masyarakat Islam yang diselubungi kejahilan?

Di manakah kelembutan dan akhlak dalam dakwah bagi seseorang yang dianggap sebagai pewaris Nabi? Bukankah Nabi itu amat lembut sikap dan pendekatannya dalam dakwah?


Apakah mereka layak dianggap sebagai pewaris Nabi, jika sikitpun perangai, sikap dan pemikiran golongan ini tidak seperti Nabi? Layakkan mereka digelar ulama, atau lebih layak digelar sebagai 'guru disiplin' yang suka marah-marah bagi umat Islam?

Sumber : http://www.umatmuha mmad.blogspot. com


0 comments: