7/18/2007 12:52:00 am 0 Comments

Skim Takaful Khairat Warga Emas dilancar








Salmah Mat Husain
Thu | Feb 08, 07 | 10:56:28 AM

KOTA BHARU, 8 Feb (Hrkh) – Selepas berjaya melancarkan program Takaful Armalah, semalam kerajaan negeri melancar pula Pelan Takaful Khairat Warga Emas bagi mereka yang berusia 60 tahun ke atas.

Lebih menggembirakan lagi apabila semua rakyat Kelantan tanpa mengira fahaman politik, bangsa dan agama layak menerima skim berkenaan yang dikenali sebagai kifaalah.


Pengerusi Jawatankuasa Pentadbiran Awam, Perancangan Ekonomi, Kewangan dan Pembangunan Masyarakat, Dato’ Husam Musa berkata, melalui skim itu mereka akan mendapat RM500 untuk urusan jenazah dan RM2,500 lagi diberi kepada keluarga pencarum.


Semua rakyat Kelantan sama ada PAS, Umno, Parti Keadilan Rakyat, MCA, MIC atau bangsa lain yang tidak memihak pada mana-mana parti layak mengisi borang ini walaupun mereka golongan berada."


Oleh itu kerajaan negeri bercadang melantik sukarelawan khas untuk membantu penghulu mengisi borang warga emas yang kini dianggarkan berjumlah 139,000 orang,” katanya pada majlis taklimat program Kifaalah di sini, petang semalam.


Hadir di majlis itu wakil-wakil rakyat, Penyelia Dun dan parlimen, penghulu serta sukarelawan Tabung Amanah Tok Kenali.


Katanya juga, sekiranya penyokong Umno malu untuk mengambil borang berkenaan dengan wakil rakyat PAS atau penghulu, mereka boleh mendapatnya di pejabat penggawa, Pejabat Tanah dan Jajahan, Tabung Amanah Tok Kenali atau Perbadanan Menteri Besar Kelantan Berhad (PMBK).


Husam juga berkata, pada peringkat awal skim Takaful Warga Emas diurus Tabung Amanah Tok Kenali sebelum diambil alih sepenuhnya PMBK.


Menteri Besar, Tuan Guru Dato’ Nik Abdul Aziz Nik Mat berharap jumlah warga emas di negeri ini sama dengan bilangan yang terdapat dalam buku daftar pemilih.


Katanya, kerajaan negeri memperuntukkan sebanyak RM3 juta bagi menjayakan program berkenaan.


Insya-Allah skim mesra rakyat terutamanya kepada yang kurang bernasib baik seperti armalah, anak yatim, golongan kurang upaya akan mendapat pelbagai bantuan disediakan kerajaan negeri termasuk bantuan pesakit kronik dan projek rumah dhua’afa,” katanya.


Menurutnya, kerajaan negeri benar-benar berhasrat untuk melahirkan Kelantan sebagai sebuah negeri kebajikan.


0 comments: