7/17/2007 11:12:00 pm 0 Comments

Masjid Cina, PAS kesal prasangka buruk Ali Rustam








Roy Rasul
Fri | Feb 09, 07 | 08:41:24 AM

KUALA LUMPUR, 9 Feb (Hrkh) -Penolakan Ketua Menteri Melaka, Dato’ Ali Rustam terhadap permintaan golongan Cina Muslim untuk membina sebuah masjid Cina di Melaka menggambarkan betapa beliau bersikap bias terhadap komuniti berkenaan.


Menurut, Ketua Penerangan PAS Pusat, Ustaz Ahmad Awang, kenyataan Ketua Menteri yang merujuk pembinaan masjid Cina itu dengan sentimen perkauman adalah amat tidak wajar.


Beliau perlu menghormati dan memenuhi permintaan komuniti Cina Muslim untuk membina sebuah masjid yang mempunyai seni bina Cina yang bukan sahaja akan digunakan untuk tujuan ibadat tetapi juga untuk berdakwah kepada masyarakat bukan Islam."


"Bukankah pembinaan masjid Cina satu perkara yang baik dan dituntut oleh ajaran Islam,” katanya.


Oleh sebab itu katanya, tidak ada sebab beliau menghalang apatah lagi menolak permohonan mana-mana pihak untuk membina masjid.


Malah bidasnya, jika beliau boleh meluluskan pembangunan perkampungan artis, kenapa beliau tidak boleh berbuat demikian terhadap usaha untuk mendirikan masjid Cina.


Beliau melihat Ali mempunyai prasangka buruk terhadap pembinaan masjid Cina dan hujah-hujah yang digunakan untuk menolak hasrat itu adalah dangkal sekali.


Ali Rustam tidak sewajarnya membanding masjid-masjid yang sedia ada di Melaka dengan masjid Cina yang dicadangkan itu."


Walaupun sudah wujud masjid yang mempunyai ciri-ciri seni bina Cina tetapi ia tidak seharusnya dijadikan sebagai alasan untuk membina masjid yang baru,” katanya.


Pertambahan jumlah penduduk dan pembukaan kawasan penempatan serta bandar yang baru katanya, menuntut lebih banyak rumah ibadat dibina sama ada yang berbentuk masjid atau pun surau.


Katanya lagi, walaupun golongan Cina Muslim masih merupakan kelompok minoriti dalam masyarakat Islam tetapi kehadiran mereka perlu diberikan pengiktirafan.


Malahan kesediaan mereka untuk menerima Islam tegasnya harus dihargai dengan mendirikan masjid yang mempunyai seni bina Cina.


Tambahan pula katanya, pembinaan masjid Cina tidak bertentangan dengan ajaran Islam.


Kita boleh ambil contoh pembinaan masjid-masjid di China yang masih mengekalkan sebahagian besar ciri-ciri dan identiti masyarakat Cina di sana,” katanya.


Hal ini ini juga katanya, tidak menjadi masalah besar selagi mana ia dibenarkan oleh ajaran Islam.


Sikap yang ditunjukkan oleh Ali Rustam adalah cerminan kepada mentaliti dan dasar para pemimpin Barisan Nasional (BN),” dakwanya.


Menurutnya, PAS lebih rasional dalam hal ini di mana kerajaan Kelantan pimpinan Tuan Guru Dato’ Nik Aziz Nik Mat mengambil langkah ke hadapan memberikan sokongan kepada pembinaan sebuah masjid yang membina seni bina Cina di Rantau Panjang.


Beliau mendakwa, PAS lebih peka kehendak masyarakat Islam termasuk komuniti Cina Muslim daripada Umno.


Sementara itu Ali Rustam dalam kenyataannya sebelum ini mengatakan bahawa permintaan daripada komuniti Cina muslim untuk membina masjid sendiri adalah tidak perlu di samping menyeru mereka memakmurkan masjid yang sedia ada.


Sebelum ini, masyarakat Cina Muslim baru-baru ini mengeluarkan kenyataan yang melahirkan kekecewaan mereka kerana terdapat beberapa kerajaan negeri yang tidak melayan permohonan mereka untuk membina sebuah masjid yang khusus.


Menurut mereka, masjid 'cina muslim' itu bertujuan bagi memudahkan penyampaian dakwah kepada masyarakat Cina dan seterusnya memudahkan mereka memahami Islam yang tidak terbatas hanya pada satu kaum sahaja. - mks.


Nota: Bagi mempertingkatkan laman ini, kami amat mengalu-alukan sumbangan yang boleh disalur terus kepada akaun Maybank atas nama HARAKAHDAILY DOT COM (564070000336)


0 comments: