7/17/2007 10:58:00 pm 0 Comments

Kelantan lahirkan tukang paip profesional








Maslan Yusoh
Wed | Feb 07, 07 | 10:21:59 AM

KOTA BHARU, 7 Feb (Hrkh) – Kerajaan Kelantan berusaha melahirkan lebih ramai tukang paip profesional bagi mengurangkan peratusan kadar air tak berhasil (NRW).

Pengerusi Jawatankuasa Kerjaraya, Infrastruktur dan Alam Sekitar, Mejar (B) Md Anizam Abdul Rahman berkata, melalui kecekapan pemasangan paip masalah NRW yang berlaku sebelum ini dapat dikurangkan.


Kadar NRW di Kelantan sekitar 40 peratus dan jumlah itu dapat dikurangkan lagi apabila kerja-kerja pemasangan paip dilakukan dengan lebih cekap.


Kerajaan negeri bercadang mengadakan kursus khas kepada tukang-tukang paip bagi mengurangkan lagi kadar NRW yang berlaku. Mungkin kita boleh mulakan di Pasir Mas."


Apabila NRW dapat dikurangkan masalah pengguna terpaksa membayar lebih berbanding penggunaan air tidak akan berlaku lagi,” katanya pada majlis penyampaian sijil dan lesen kelas 2 kepada tukang-tukang paip di Kota Darulnaim hari ini.


Sebelum ini seramai 44 tukang paip mengikut kursus jangka pendek yang dianjurkan Mega Padu Sdn Bhd dengan kerjasama Akademi Binaan Malaysia bertempat di Kuala Berang.


Dengan memiliki sijil kelas 2 membolehkan tukang-tukang paip terbabit melaksanakan kerja-kerja pemasangan sesalur dalam dan paip awam.


Di Kelantan sekarang terdapat seramai 308 tukang paip yang mempunyai lesen kelas 1, di mana 121 daripadanya memiliki lesen kelas 2.


Pengarah Jabatan Bekalan Air Kelantan, Haji Abdul Aziz Abdul Rahman berkata, kursus seumpama itu diadakan bagi melahirkan tukang-tukang paip yang lebih cekap dan mematuhi garis panduan keselamatan ditetapkan kerajaan.


Pada program itu beliau melahirkan rasa kecewa kerana ada segelintir kontraktor yang membelah jalan bagi pemasangan paip tidak menurapnya semula mengikut klasifikasi ditetapkan Jabatan Kerja Raya (JKR).


Keadaan itu berlaku kerana pihak terbabit mahu mendapatkan keuntungan lebih, di mana jalan yang dikorek tidak ditimbus dengan mampap sehingga membahayakan pengguna jalan raya."


Oleh itu pada masa akan datang kita akan mengetatkan syarat bagi mengorek jalan termasuk kemungkinan mengenakan deposit lebih tinggi,” katanya.


Beliau juga mencadangkan tukang-tukang paip perlu menghadiri kursus khas sebelum pembaharuan lesen diluluskan kepada mereka masa akan datang.


0 comments: