8/01/2007 07:17:00 pm 0 Comments

Gejala sosial: Hanya syariah Islam mampu menanganinya








Zainulfaqar Yaacob
Thu | Feb 08, 07 | 12:31:57 AM

Cadangan Ketua Polis Negara (KPN), Tan Sri Musa Hassan untuk turut menjatuhkan hukuman penjara maksimum 20 tahun kepada ‘Bapa’ atas jenayah pembuangan bayi tidak sah taraf; selain ‘ibu’ menarik perhatian saya.


Pertama, saya percaya inisiatif KPN ini demi menimbulkan rasa takut kepada komuniti ‘Bapa’ yang tidak bertanggungjawab; selain ‘Ibu’ yang terlibat dalam acara membuang bayi.


Berdasarkan cermatan saya, bukan hanya jenayah membuang bayi sahaja pendekatan ini diaplikasikan, malah dalam jenayah bunuh, pengedaran dadah, rahsuah, pecah amanah dan sebagainya. Namun, inisiatif ini masih gagal menemukan jalan keluar pada gejala sosial, malah masih terdapat segelintir rakyat Malaysia masih aktif dalam acara jenayah seumpama ini tanpa sebarang rasa taku dan bimbang.


Sebenarnya, masalah pembuangan bayi ini bukanlah suatu gejala baru dalam sejarah kemanusiaan manusia. Pada zaman jahiliah, gejala ini menjadi sebahagian daripada nilai-nilai setempat bagi masyarakat jahiliah.


Segelintir masyarakat jahiliah ini bukan sehaja membuang bayi perempuan, malah mereka sanggup menanam anak perempuan mereka hidup-hidup demi memelihara maruah peribadi dan keluarga pada kemudian hari.


Tidak timbul persoalan takut atau tidak kerana inilah pegangan budaya masyarakat jahilah pada ketika itu.


Kedatangan Islam telah memberi rupa baru kepada identiti bangsa Arab berdasarkan neraca Islam, bukan lagi berteraskan pemikiran manusiawi yang bersifat nisbi dan relatif.


Di sisi Islam, demi memelihara maruah peribadi dan keluarga bukan dengan cara menanam atau membuang anak hidup-hidup, sebaliknya melalui pendekatan pendidikan (Islam) secara holistik.


Melalui pendidikan, kegiatan hidup manusia akan terpelihara. Akhirnya, masyarakat Arab menjadi bangsa yang sangat menghargai generasi muda (anak-anak mereka).


Pendekatan Islam tidak cukup untuk memelihara kemanusian manusia melainkan perlu pada suluhan Syariah Islam yang sahih. Oleh itu, hukuman ke atas satu-satu jenayah termasuk bersekududukan tanpa izin (berzina) dihukum berlandaskan hukum Islam di depan khalayak ramai.


Antara hikmah perlaksanaan hukuman Islam di depan khalayak ramai demi menerapkan pendidikan sosial Islam; di samping menimbulkan rasa gerun-takut kepada masyarakat yang berkeinginan atau sudah berjinak-jinak dalam gejala perhubungan seksual “songsang” ini. Natijahnya, masyarakat terpelihara daripada pelbagai jenayah termasuk jenayah pembuangan anak.


Menurut Syed Qutb, seorang ilmuan dan journalis Islam Mesir, sebenarnya walaupun Islam sudah membentuk rupa identiti ummah Islam lampau, ini tidak bermakna kegiatan jahiliah tidak lagi wujud dalam dunia Islam kini.


Gejala pembuangan anak ini merupakan warisan paradigma jahiliah lampau atas hasrat memelihara maruah diri dan keluarga pihak-pihak yang terlibat. Gejala-gejala “songsang” seumpama ini menurut beliau ialah “Jahiliah Moden”; dan seharusnya ditangani berasaskan suluhan agama Islam sebagaimana yang pernah dilakukan oleh Rasulullah s.a.w.


Berbalik pada isu jumpaan mayat bayi di Flat Lobak, Seremban sebagaimana yang diwar-warkan oleh Utusan Malaysia (7 Februari 2007), secara peribadi saya melihat bahawa isu ini merupakan salah satu “natijah” oleh kekontangan suluhan agama dalam kehidupan masyarakat.


Bagi saya, hukuman jenayah yang sedia ada sendiri masih gagal menginsafkan segelintir masyarakat yang terlibat dalam acara tersebut. Mungkin disebabkan hukuman ini lahir daripada neraca pemikiran manusia yang nisbi dan relatif, jadi tidak menepati fitrah kemanusiaan manusia yang tidak dicipta oleh manusia; tetapi oleh “Tuhan” kepada manusia iaitu Allah SWT.


Saya melihat, jika benar pihak kerajaan dan msyarakat Malaysia termasuk pihak KPN sendiri ingin menangani gejala ini, kita seharusnya mengenal pasti “akar masalah” pada permasalahan ini. Pengenalpastian dan penanganan masalah ini secara tepat dan berhikmah pasti menelurkan natijah yang terbaik lagi sahih.


Bagi saya, “akar masalah” bagi gejala buang anak ialah kurangnya didikan agama oleh semua pihak berwajib dan kita secara rendah diri termasuk JAKIM, Kementerian Pendidikan Malaysia (KPM), Kementerian Pengajian Tinggi (KPT), badan-badan dakwah (NGO), dan parti-parti politik (merujuk kepada UMNO dan PAS yang majoriti terdiri oleh masyarakat Islam) seharusnya menggembeleng tenaga dalam mendekati masyarakat awam melalui pendekatan beragama (Islam).


Selain itu, saya melihat sudah sampai masanya untuk Malaysia memperkenalkan Undang-Undang Islam sebagai undang-undang alternatif selain masih menggunakan Hukum Kanun Jenayah yang sedia ada. Dengan erti kata lain, Malaysia seharusnya berani mencuba dalam melaksanakan dwi-undang-undang Jenayah (Sivil dan Syariah Islamiyyah yang syumul) demi kepentingan setiap rakyat Malaysia dewasa ini.


Mungkin melalui pendekatan ini, masyarakat Malaysia yang diketahui umum terdiri daripada pelbagai rumpun kepercayaan, etnik dan budaya ini tidak terkejut (culture shock) dengan penerapan Islam sahih oleh pihak kerajaan.


Sebenarnya alternatif atau pelaksanaan dwi-Peraturan ini telah dilaksanakan oleh Kerajaan Turki sejak 1996; yang diketahui umum bahawa kondisi negara tersebut dihimpit oleh pelbagai batasan dogma sekular. Sesuatu yang menarik, bukan sahaja majoriti umat Islam memilih undang-undang alternatif ini (Syariah Islamiyyah), malah masyarakat bukan Islam turut cenderung pada Undang-Undang Islam.


Realiti ini melambangkan bahawa rata-rata rakyat Turki yang plural ini sudah melihat sendiri kebolehupayaan undang-undang alternatif ini (Syariah Islamiyyah) dalam membentuk jatidiri masyarakat Turki dan memelihara setiap nyawa rakyat Turki.


Semoga, KPN menilai perkara ini. Penyelesaian terbaik ialah melihat kepada “akar masalah” dalam satu-satu gejala, bukan menangani “natijah” masalah yang hanya meninggalkan impak sementara atau tidak kekal lama.


0 comments: