8/13/2007 12:19:00 am 0 Comments

Piket MTUC: Ribuan berpiket tuntut hak pekerja

Salmiyah Harun & Saadon Aksah. Foto Wan Zahari
Wed | Aug 08, 07 | 09:11:57 PM

SHAH ALAM, 8 Ogos (Hrkh) - Selepas piket kedua pada hari ini, Kongres Kesatuan Sekerja Malaysia (MTUC) pula akan mengadakan himpunan raksasa dua minggu dari sekarang untuk terus menuntut gaji minimum RM900 dan cola RM300 bagi pekerja di sektor swasta.

Sila layari www.englishsection.com untuk Laman Utama English Section atau www.harakahdaily.net/wap/ untuk melayari HarakahDaily.Net menggunakan telefon bimbit GPRS (General Packet Radio Service) anda.



Presidennya Syed Shahir Syed Mohamud berkata, piket pada hari ini bukanlah akan berakhir di sini kerana selepas ini mereka akan mengumpulkan 15,000 anggota MTUC dalam satu perhimpunan.


Katanya, pihak Majlis Tertinggi MTUC telah memberi mandat penuh kepadanya untuk mengadakan perhimpunan raksasa di Kuala Lumpur.


"Kita sedang mencari tempat yang sesuai yang boleh menampung sejumlah yang besar ahli kita," katanya ketika ditemui di lokasi berpiket di bulatan kilang Goodyear, Seksyen 15 Shah Alam.


Katanya, tujuan perhimpunan itu untuk menjelaskan kepada seluruh anggota MTUC untuk mendengar apa masalah dan juga isu yang ditanggung oleh pekerja swasta pada hari ini.


Tegasnya, tuntutan ini sepatutnya ditangani lebih awal memandangkan jumlah anggota yang terlibat adalah sangat besar.


"Di malaysia kita lihat statistik mereka yang bergaji 600 ke bawah memang besar jumlahnya iaitu 1.4 juta lebih," katanya.


Apa yang amat dikesali, Shahir berkata, sikap pemimpin negara yang dilihat amat dingin dengan apa yang dilaungkan oleh mereka selama ini.


"Piket pada hari ini adalah respons kepada sikap dingin kerajaan terhadap hak kita," katanya.


Di samping itu katanya, pindaan undang-undang yang dibuat tergesa- gesa seolah-olah membelakangi pihak MTUC yang boleh memberi kesan kepada pekerja apabila ia dilaksanakan nanti.


Hari ini, MTUC terus memberi tindak balas kepada sikap dingin kerajaan dengan mengadakan piket di 12 lokasi di seluruh negara yang disertai setengah juta ahli.


Di sekitar Lembah Klang dan Selangor, piket telah diadakan di Jalan Raja Laut, Kuala Lumpur; Petaling Jaya di sekitar lebuh raya, dan Bandar Baru Bangi.


Manakala di Shah Alam dua lokasi utama ditentukan iaitu di bulatan kilang Goodyear Seksyen 15 dan di depan kilang Proton iaitu di Kawasan Perindustrian Hicom.


Di depan kilang proton, hampir seribu pekerja-pekerja proton yang beruniform biru membanjiri di sepanjang jalan di hadapan kilang mereka sambil terus melaungkan hak mereka.


Mereka mula memenuhi sepanjang jalan itu sebaik sahaja selepas waktu kerja, kira-kira jam lima petang.


Sebaik sahaja waktu kerja berakhir, para pekerja kilang Proton yang kebanyakannya menunggang motosikal berpusu-pusu menuju ke lokasi bersama-sama untuk berjuang menuntut ihsan daripada kerajaan.


Sambil mengangkat poster, 'Gaji minima RM900 dan Cola RM300' masing- masing terus bersorak apabila kenderaan yang melintasi mereka membunyikan hon.


Tidak kira motosikal, kereta dan treler yang membawa kontena melahirkan sokongannya kepada mereka yang berpiket dengan membunyikan hon membuatkan suasana lebih gamat ditambah pula sorakan daripada para pekerja.


Para pemandu yang melalui jalan itu masing-masing menunjukkan isyarat tangan 'bagus' yang turut sama-sama memberi sokongan kepada para pekerja.


Begitu juga di lokasi bulatan kilang Goodyear, suasana yang sama berlaku, masing-masing para pekerja menyorak sebaik sahaja mendengar bunyi hon daripada kenderaan yang melintasi mereka.


Sementara itu, di Jalan Raja Laut, Kuala Lumpur, dilaporkan lebih 2,000 pekerja sekitar bandaraya telah mula berkumpul dan bersama-sama melaungkan hak dan tuntutan mereka.


Turut kelihatan dalam piket tersebut adalah, Bendahari Agung PAS, Dr Hatta Ramli; Ketua Pemuda PAS Pusat, Salahuddin Ayub dan Naib Presiden KeADILan, Sivarasa Rasiah.


Piket yang berlangsung dalam suasan aman di sekitar lokasi Shah Alam dan Kuala Lumpur itu, diawasi oleh anggota keselamatan yang terus setia mengawal keadaan daripada awal perhimpunan sehingga berakhir kira-kira tujuh malam. - mks.


0 comments: