8/03/2007 01:04:00 am 0 Comments

Apa nak buat dengan keuntungan yang telah diperolehi drpd. Skim Pelaburan HARAM?

(Artikel dipetik drpd laman web Ustaz Zaharuddin Abd Rahman bertajuk Skim Pelaburan & MLM Haram: Cara Lupus & Jawapan Pelbagai Dakwaan)

Para ulama dari empat mazhab telah bersepakat berkenaan kewajiban melupuskan harta haram dengan mendermakannya.

Syeikh Atiyyah Saqar (bekas Ketua Lajnah Fatwa Al-Azhar) berkata, : "Wajib melupuskan harta yang haram ketika bertaubat, ia boleh dilakukan dengan memulangkan kembali harta itu kepada tuannya (jika diketahui) atau kepada warisnya, dan jika tidak mampu diketahui, hendaklah diserahkan kepada faqir miskin bagi memisahkan diri darinya dan bukannya bagi meraih pahala (dari serahan itu). ( Min Ahsanil Kalam Fil Fatawa, hlm 2/65)

Hujah utama para ulama dalam hal mendermakan wang haram seperti ini adalah pelbagai hadith Rasulullah SAW yang diriwayat Abu Daud dengan sanad yang baik, hadith tentang kekalahan Rom tadi, athar dari Ibn Mas'ud yang diriwayatkan oleh Al-Bayhaqi 6/188 dan banyak lagi.

3) Jika Nak Derma ke mana Yang Boleh?

Rinngkasannya mudah sahaja :-

a- Faqir miskin samada dari kalangan ahli keluarga atau tidak. Majoriti mazhab Islam termasuk ulama silam memberikan fatwa harus untuk individu yang benar-benar dalam keadaan ini menggunakannya untuk dirinya atas sebab miskin dan faqir. Ketika itu, harta yang kotor itu, tidak lagi menjadi kotor. Tetapi mestilah dengan syarat ianya disertai dengan perasaan insaf dan bertaubat dari perbuatan haramnya. (Al-Ikhtiyar li Ta'lil al-Mukhtar, 3/61 ; Al-Qawaid, Ibn Rejab, hlm 129 ; Ihya Ulumiddin, 2/145 ; Al-Majmu' , 9/428)

SIAPA ITU FAKIR DAN MISKIN?

Menurut majoriti mazhab dan ulama, Fakir itu adalah mereka yang tiada memilki harta (duit ataupun harta seperti kereta, rumah ) dan tiada pula kemampuannya dan kelayakan bagi mencari harta halal yang mampu mencukupi had keperlaun asasnya dari sudut makan, pakaian dan tempat tinggal bagi dirinya dan yang di bawah tanggungannya. Seperti ia perlukan minima RM 10 untuk keperluan asas, tetapi hanya perolehi RM 1, 2 atau 4 sahaja.

MIskin pula , ia memerlukan RM 10, tetapi hanya memiliki RM 7 atau 8 sahaja. Selain itu, termasuk juga mereka yang mempunyai harta tetapi tidak dapat digunakan kerana sebab-sebab tertentu seperti jauh dan sebagainya. Termasuk juga dalam takrif ini seperti para pelajar univeristi yang wangnya hanya mencukupi untuk makan dan tidak mencukupi untuk membeli peralatan asasinya seperti buku, kitab, tatkala itu ia juga dikira miskin ( Nihayatul Muhtaj, Ar-Ramli, 6/151, hlm 153)

Tetapi awas, jangan ada yang menggunakan pelbagai helah untuk menganggap diri miskin semata-mata untuk menggunakan harat haram ini untuk dirinya. Allah SWT maha mengetahui akan segala helah makhluknya.

b- Badan Kebajikan Awam & pembinaan Kemudahan Awam Yang Halal

Saya kira ini tidak lagi memerlukan huraian kerana kejelasannya.

c- Masjid & Surau

Pada asalnya ia tidak berapa digalakkan, tetapi bolehlah mengambil pandangan yang lebih ringan dalam hal ini iaitu ia merupakan pandangan Ulama Hanafi, Mazhab Syafie yang berfatwa harus menggunakan duit haram yang tidak diketahui pemilik ini untuk membina masjid dan surau. (Al-Majmu' , 9/428 ; Hasiyah Radd Al-Muhtar, 2/92)

4) Tak mampu nak derma seluruh keuntungan Riba itu sekali gus, adakah jalan lain?

Bagi yang benar-benar insaf, dan wang keuntungan masih ada, tetapi jika didermakan maka habis seluruh wang simpanan atau membawa kesukaran belanja keluarga yang teruk. Ketika itu bolehlah di dermakan wang keuntungan tersebut secara berperingkat khas bagi mereka yang berada dalam situasi ini. Ia samalah dengan dalil berkenaan tindakan khalifah Umar Ab Aziz tadi.

5) Dah guna habis duit beli itu ini, memang tak mampu nak ganti balik.

Untuk kumpulan sebegini, yang terpenting adalah bertaubat dan memutuskan semua keterlibatan dengan wang haram ini lagi. Dalam masa yang sama memperbanyakkan sedeqah sedikit demi sedikit sepanjang hidupnya. Ianya perlu bagi menghapuskan dosa-dosa silam yang melekat di hati, kehidupan dan dagingnya. Ia berdasarkan sabda Nabi SAW :-

اتق الله حيثما كنت وأتبع السيئة الحسنة تمحها وخالق الناس بخلق حسن

Ertinya : Bertaqwalah kamu kepada Allah di mana sahaja kamu berada dan ikutilah perbuatan dosamu dengan pahala, nescaya ia akan dapat memadamnya dan menjadikan kamu dengan ahklah yang mulia" ( Riwayat At-Tirmidzi , no 1910 , At-Tirmidiz : Hadith Hasan)

Disebut di syarahnya akan erti penghapusan itu :-

والمراد يمحو الله بها آثارها من القلب أو من ديوان الحفظة , وذلك لأن المرض يعالج بضده فالحسنات يذهبن السيئات

Ertinya : apa yang dimaksudkan adalah Allah akan menghilangkan kesan dosa itu dari hati, kerana kesan dosa penyakit itu dirawati dengan apa yang bertentangan dengannya, maka kebaikan menghialngkan segala kejahatan. ( Tuhfatul Ahwazi, hadith no 1910 )

6) Bolehkah guna duit untung itu untuk buat modal perniagaan halal?

Ini juga satu persoalan yang kerap ditanya, bagi saya ia hanya akan menjadi harus sekiranya anda benar-benar dalam keadaan bermasalah sekiranya melupuskan terus wang-wang haram itu. Hanya Allah yang dapat mengetahui samada seseorang itu benar-benar sudah sampai tahap untuk mengambil pandangan yang lebih ringan iaitu, harus menggunakannya sebagai modal untuk yang halal dengan azam dan niat ikhlas untuk mendermakan modal dari yang haram itu.

Ulama silam juga pernah membincangkan berkenaan hukum menggunakan keuntungan yang didapati dari perniagaan halal, bagaimanapun modalnya adalah wang curi atau haram. Dalam hal ini, Imam Malik, Imam As-Shafie, Imam Abu Yusof dan Sheikh Zufar Huzayl bersetuju bahawa pencuri tersebut berhak mendapat bahagian keuntungan daripada pelaburannya walaupun modal asalnya adalah haram, tetapi ia wajib memulangkan kembali wang yang dicuri (wang yang digunakan sebagai modal perniagaannya atau pelaburannya) kepada yang berhak. (Bidayatul Mujtahid, Ibn Rusyd, 2/241; Rawdah at-Tolibin, An-Nawawi, 4/211; Al-Hawi, al-Mawardi, 7/337).

Berdasarkan ijtihad ini, kita berpandangan bahawa pelabur yang terdesak dan sukar untuk mendermakan sekaligus wang untungnya adalah melaburkannya ke tempat halal dan harus mengambil keuntungan daripada perniagaan/pelabura n yang dijalankan walaupun pada modal yang digunakan untuk tujuan tersebut terdapat bahagian yang haram. TETAPI PERLU DIINGAT ia hanya harus dilakukan di ketika: -

a- Telah bertaubat dari kesilapan serta menghadapi masalah untuk mendermakan secara keseluruhannya pada satu masa.

b- Di ketika insaf dan berniat ingin 'convert' atau mengubah semuanya kepada yang halal serta tiada modal lain.

c- Tidak lagi meneruskan aktiviti haram itu sama sekali.

Kesimpulan cara yang perlu dilakukan; ringkasnya cara umumnya adalah seperti berikut:-

Pertama : Cara terbaik adalah bertaubat. Kerana terjebak tanpa ilmu dalam saham-saham yang berunsur Riba secara sepakat ulama yang berkelayakan ini.

Kedua : Perlu diingat beberapa dalil seperti sabda Nabi SAW : ertinya " Sesungguhnya Allah itu baik dan tidak menerima kecuali sesuatu yang baik.." ( Riwayat Muslim, 3/85 ).

Ketiga : Harta haram tidak sesekali boleh digunakan untuk manfaat diri pemiliknya, samada untuk kegunaan pembayaran cukainya, saman keretanya, makanan keluarganya, tambang basnya dan lain-lain untuk kepentingan dirinya. Apatah lagi digunakan untuk menunaikan Haji dan Umrah. Kemungkinan Haji itu dilihat sah berdasarkan rukun dan syaratnya tetapi tidak diterima Allah SWT kerana ia adalah dari hasil yang tidak baik sama sekali.

Sebuah hadith lain pula menyebut ; Ertinya : "Barangsiapa yang mengumpulkan harta yang haram kemudian mendermakannya, tiadalah baginya sebarang pahala (kerana harta itu bukan hartanya) dan penanggungan dosanya kekal (sehingga bertaubat)" (Riwayat al-Hakim, sohih menurut al-hakim dan disepakati oleh az-Zahabi ; Albani : Ianya lemah )

Berdasarkan sebuah hadith pula

كل لحم نبت من سحت فالنار أولى به

Ertinya : "Setiap daging yang tumbuh dari harta kotor ( haram) maka Neraka lebih kayak untuknya" ( Riwayat At-Tabrani, 19/136 ; Al-Mughni lil ‘Iraqi, 2/9207 ; Ithaf As-Sadat al-Muttaqin, Az-Zubaydi, 5/226)

Berdasarkan hadith ini, terdapat beberapa pihak yang keliru lalu menyangka ianya boleh digunakan untuk manfaat diri selain makan dan minum. Ini kesilapan dalam memahami konsep harta haram. Jika demikianlah, maka ramai pula yang mencuri sert6a menggunakan wang curi untuk membeli kereta sahaja. Tidak, hukum asal dalam bab harta haram ini, ianya tidak boleh digunakan untuk apa jua manfaat pemegangnya samada untuk makan atau lainnya.

Kesimpulan

Apapun, saya tetap akan menyatakan kebenaran tetapi secara beransur, disertai hujjah dan tidak terburu-buru tanpa perancangan. Sebahagian yang gopoh kerap memprovokasi itu dan ini, tetapi saya akan tetap bertindak secara berperancangan.

Perlu juga saya sebut di sini bahawa saya TIDAK TERLIBAT DALAM SATU JENIS pun pelaburan internet dan tidak ada satu pun skim MLM yang saya sertai. Semau dakwaan saya menyertai mana-mana antaranya adalah TIDAK BENAR sama sekali. Wallahu 'alam.

Akhirnya sekali, sabda Nabi SAW :

ائتمروا بالمعروف , وانتهوا عن المنكر ... فإن من ورائكم أياماً , الصبر فيهن مثل القبض على الجمر , للعامل فيهن مثل أجر خمسين رجلاً يعملون مثل عمله : قيل يارسول الله أجر خمسين رجلاً منا أو منهم ؟ قال : بل أجر خمسين منكم !!

Ertinya : "Serulah kepada kebaikan dan laranglah dari kemungkaran ...dan sesungguhnya akan datang satu masa kelak, mereka yang bersabar (dalam menghadapi fitnah) seperti pemegang bara-bara api, manakala mereka yang bekerja (untuk Islam) di ketika saat itu mendapat ganjaran 50 kali ganda pahala amal seseorang . Sahabat bertanya : Adakah ganjarannya lebih dari 50 ganda seperti amalan sesama mereka atau berbanding kami? , berkata Nabi : Bahkan , lebih 50 kali dari amalan kamu" (Riwayat Abu Daud , 4/123 ; At-Tirmidzi , 5/257 ; Ibn Hibban , 2/108 ; Ibn Hibban mensohihkannya, Trimidzi menyatakan ianya Hasan Gharib , Albani mendhoifkan setengah nas dan menshohihkan setengah nas bermula dari ‘hari sabar‘)

Regards,

Arman Alim B. Mohd. Ismail


0 comments: