8/01/2007 01:26:00 am 0 Comments

Wanita cuba dedah rahsia dibunuh kekasih



KUALA LUMPUR: Seorang wanita dibunuh kekasih sendiri selepas cuba 'membuka mulut' dan menyerah diri kepada pihak berkuasa berhubung kes bunuh membabitkan ibu angkatnya di Lubuk Cina, Alor Gajah, Melaka, bulan lalu.

Mangsa, Rohani Baba, 31, ditemui mati di atas papan dan cuba 'disembunyikan' menggunakan batang pokok serta daun dalam belukar di tempat letak kereta berhampiran Menara Maybank di sini, petang semalam.



Mayat yang sudah reput itu dijumpai susulan penahanan teman lelaki mangsa, yang mengaku membunuh wanita malang berkenaan, Ahad lalu.

Selepas disoal siasat, lelaki berusia 31 tahun yang tiada pekerjaan itu bersetuju menunjukkan lokasi mayat wanita itu yang dibunuhnya Selasa minggu lalu.

Ketua Polis Daerah Dang Wangi, Asisten Komisioner Mohd Zulkarnain Abdul Rahman, berkata polis melancarkan gerakan memburu dua suspek yang dipercayai membunuh Ramah Md Shah, 69, dengan menjerut leher warga emas itu menggunakan hos gas memasak ketika mangsa mandi di rumahnya, 27 Jun lalu.

"Sejurus kejadian itu, kedua-dua suspek melarikan diri ke ibu kota sebelum seorang daripada suspek iaitu teman lelaki wanita terbabit ditahan di Sungai Buloh, dekat sini.

"Selepas diperiksa, beberapa barangan milik mangsa termasuk kad pengenalan dan telefon bimbit dalam simpanan suspek. Kami yang mencurigai dengan keadaan itu memaksa suspek memberitahu perkara sebenar," katanya.

Mohd Zukarnain berkata, lelaki terbabit mengaku membunuh dan menyembunyikan mayat wanita itu di satu lokasi di ibu kota.

Menurutnya, polis masih menyiasat motif pembunuhan itu selain punca kematian mangsa dan kes berkenaan disiasat mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan kerana kesalahan membunuh.

"Mayat wanita itu dibawa ke Hospital Kuala Lumpur (HKL) untuk bedah siasat," katanya.

Difahamkan, pembunuhan Ramah bermotifkan samun apabila kedua-dua suspek melarikan wang dan barang kemas mangsa sebelum membuang mayat wanita itu dalam belukar di kawasan rumahnya.

Kuarters maksiat

Oleh Mohd Fazil Ahmad
am@hmetro.com.my

ALOR STAR: Lebih 500 penduduk yang tinggal berhampiran kuarters Lembaga Kemajuan Pertanian Muda (Mada) terbiar di Batu 7 1/2, Simpang Empat, dekat sini, bimbang ia menjadi sarang penagih dadah.

Penduduk mendakwa, sejak ditinggalkan dua tahun lalu, kuarters yang dibina sejak beberapa tahun lalu itu terbiar dan terdedah kepada kegiatan tidak berfaedah.



Selain itu, ia bukan saja mengundang pelbagai masalah sosial malah merugikan aset kerajaan yang tidak dimanfaatkan.

Mereka juga mendakwa, selain masalah penagih dadah, kuarters terbabit turut menjadi tempat golongan remaja melepaskan nafsu dengan pasangan masing-masing terutama pada waktu malam selain kegiatan menghidu gam.

Seorang penduduk, Ismail Mahmud, 48, berkata penduduk bimbang keselamatan terancam berikutan jumlah penagih kampung mereka kian bertambah.

Katanya, mereka juga bimbang dengan peningkatan penagih di kawasan itu menyebabkan kes kecurian, ragut dan kehilangan harta benda termasuk ternakan dan tanaman semakin menjadi-jadi.

"Sejak kuarters itu dibiarkan dua tahun lalu, pelbagai kes kecurian berlaku di kawasan ini berikutan ia menjadi sarang mereka melepaskan gian selain tempat memperoleh bekalan dadah.

"Saya berharap pihak Mada segera menempatkan semula kakitangan mereka di kuarters itu supaya ia tidak terus terbiar menjadi sarang penagih dadah dan tempat melakukan maksiat," katanya ketika ditemui, di sini, semalam.

Penduduk lain, Azhar Md Zahir, 27, berkata sejak kuarters itu dibiarkan, lebih 10 hingga 15 penagih dilihat berlegar di kawasan itu setiap hari menunggu bekalan yang sampai dan beredar menuju ke kuarters terbabit.

Katanya, keadaan itu membimbangkan penduduk yang kebanyakan petani berikutan pelbagai kes kecurian sudah berlaku terutama membabitkan peralatan menuai dan membajak selain komponen jentera membajak dan menuai.

"Mereka sanggup mencuri baja, ternakan seperti ayam dan itik selain mesin mengepam air, mesin penyembur racun dan baja serta tanaman termasuk pisang untuk dijual dan membeli dadah sebelum melepaskan gian di kuarters berkenaan," katanya.

Katanya, walaupun pihak berkuasa menyedari kegiatan itu, namun tiada tindakan dilakukan bagi mengekang kegiatan itu dari terus berleluasa.

"Kami berharap pihak berkenaan memberi perhatian terhadap masalah ini kerana ia mengundang pelbagai masalah dan mengancam keselamatan penduduk," katanya.


0 comments: