8/01/2007 06:05:00 pm 0 Comments

Siapa bakal MB Kelantan? (Bhg 1)

Category: General

Posted by: Raja Petra

ANTARA KITA

Mohd Sayuti Omar


"Secara tidak langsung juga hari ini kedua mereka ini menjadi pesaing sama sendiri dengan salah seorang daripada mereka tidak pernah pun berfikir untuk menjadi MB. Dalam erti kata lain tokoh yang satu ini tidak berdoa atau menjalankan kerja politik bagi meletakkan diri mereka di tempat itu seperti mana yang seorang lagi."


SELEPAS pilihan raya umum ke-12 nanti Kelantan diramal akan mendapat Menteri Besar baru. Datuk Nik Abdul Aziz Nik Mat yang kini berusia, 76, dijangka tidak lagi akan terus memegang jawatan itu kalaupun Pas berjaya menawan Kelantan.


Kesihatan menjadi faktor utama kenapa beliau berhasrat untuk berundur. Lagi pun sudah memadai baginya menerajui pentadbiran negeri Kelantan selama 17 tahun, di mana tempoh itu merupakan rekod peribadi untuknya.


Sebenarnya hasrat untuk berundur sudah lama terbuku di hati Nik Aziz. Bahkan semacam sudah menjadi janjinya akan berundur sebaik saja selesai pilihan raya ke-11 lalu. Tetapi disebabkan pilihan raya itu meninggalkan fobia teruk kepada Pas menyebabkan beliau menarik balik hasratnya.


Katanya perkara untuk berundur sudah dibincang di satu mesyuarat Pas beberapa ketika selepas pilihan raya. Bagaimana pun ia tidak jadi memandangkan keadaan Pas yang dalam keadaan cemas. Situasi ini ditambahkan lagi dengan kehilangan kerusi Pengkalan Pasir, Pasir Mas dalam satu pilihan raya selepas kematian Wan Aziz Wan Omar.


Kedudukan Pas 23 – BN 22, menyebabkan Nik Aziz tidak tergamak untuk meninggalkan Pas. Pemerhati dan penasihat beliau juga menghalang agar beliau tidak mengundurkan diri. Dikhuatiri kalau beliau berundur ia boleh menjadikan Pas hilang semangat sedang tokoh pelapis dilihat masih belum berkeupayaan untuk mengendalikan Pas.


Justeru itu walaupun beliau sering kali uzur, keletihan dan diminta oleh doktor agar banyak berihat namun digagahi juga semata-mata untuk mempertahankan Pas terus memerintah Kelantan dan kerajaan Pas tidak diganggu gugat oleh pihak BN.


Walaupun Nik Aziz sudah benar-benar ingin bersara dari politik – melepaskan jawatan MB, namun beliau diramalkan terus mengambil bahagian dalam pilihan raya akan datang. Beliau dijangka akan terus bertanding sekali lagi di kerusinya di DUN Chempaka, Pengkalan Chepa.



Pengaruh Nik Aziz

Sekiranya beliau bertanding lagi pada pilihan raya ini, ianya bukan atas kehendaknya tetapi atas permintaan dan rayuan Pas. Pas sangat memerlukan pengaruh Nik Aziz untuk menghadapi BN pada pilihan raya akan datang. Pas tidak mampu untuk berhadapan dengan BN menerusi beberapa tokoh pelapis yang ada pada masa ini.


Hakikat bahawa tokoh pelapis Pas Kelantan hari ini masih belum mampu untuk menandingi Nik Aziz jelas apabila setelah 17 tahun Nik Aziz menerajui Kelantan, namun tidak ada seorang pun yang ditunjukkan oleh beliau yang layak menggantinya. Meskipun Nik Aziz pernah menyebut bahawa penggantinya sudah ada namun beliau tidak menyebut siapakah orang itu. Apa yang disebut Nik Aziz penggantinya ialah bukan ulama sepertinya!


Sikap berteka-teki MB Kelantan ini menunjukkan beliau tidak yakin ataupun belum sampai masanya untuk beliau mengumumkan siapa yang perlu mewarisi peneraju Pas dan sekaligus peneraju Kerajaan Negeri. Sudah pasti sekiranya Pas Kelantan sudah ada tokoh yang setanding atau pun kiri-kirinya, beliau sudah dilepaskan untuk mengendarai Pas Kelantan kalaupun tidak untuk menduduki kerusi MB.


Hari ini tidak boleh dinafikan Pas begitu takut untuk kehilangan Nik Aziz. Hari ini pun tokoh-tokoh pelapis Pas masih menempelkan diri dengan Nik Aziz kerana tidak berani untuk muncul sendiri. Lihatlah kepada kain rentang atau banting kempen/promosi yang dipasang sekitar Kota Bharu, semuanya bergandingan dengan Nik Aziz. Ini menunjukkan tokoh pelapis tidak mempunyai kekuatan dan pengaruh peribadi yang kuat.


Kesimpulannya, penyertaan Nik Aziz dalam pilihan raya kali ini bukan kesinambungan untuk beliau terus menjadi MB tetapi sekadar untuk memastikan Pas mampu mempertahankan Kelantan, atau membantu tokoh-tokoh pelapis.



Antara nama yang disebut

Sehubungan itu, teka-teki terus mengganggui kepala orang ramai, merebak dan mencari siapakah bakal mengganti Nik Aziz sebagai MB sekiranya Pas berjaya dalam pilihan raya kelak.


Disebabkan tidak ada nama khusus yang ditunjuk, menyebabkan ahli Pas dan penyokongnya kini sedang membuat pemerhatian dan penilaian awal mengenali calon-calonnya. Orang ramai kini sedang menyelami siapakah bakal MB yang terdampar di hati Nik Aziz.


Sebelum pilihan raya umum ke-10 orang melihat Timbalan Menteri Besar ketika itu, Datuk Paduka Abdul Halim Abhdul Rahman sebagai bakal menggantikan Nik Aziz.


Memang pun kedudukan itu melayakkan Abdul Halim mengambilalih kerusi itu. Tetapi selepas pilihan raya umum ke-11 calon itu tidak ada lagi apabila Abdul Halim ditolak bertanding di kerusi Parlimen Pengkalan Chepa. Peralihan Abdul Halim itu sebagai upacara menyembelihkan bekas TMB Kelantan tersebut.


Selepas ketiadaan Abdul Halim yang dilihat berpotensi serta layak memandangkan senioriti di dalam parti, maka jawatan untuk mengganti Nik Aziz dilihat kosong. Walaupun pada masa ini, Datuk Ahmad Yaacob adalah timbalannya, namun Ahmad tidak dilihat sebagai material untuk menjadi MB.


Walaupun dari segi kedudukan dan senioriti Ahmad ke hadapan namun tidak ada usaha untuk meletakkan beliau di tempat itu. Masing-masing seperti membiarkan Ahmad mengayuh masa depan politiknya selaku TMB bersendirian. Semacam ada usaha halus untuk memperlekeh dan memperlihatkan Ahmad Yaaciob sebagai tidak layak untuk mengambilalih tempat Nik Aziz.


Jarang majlis-majlis besar, baik atas nama Kerajaan Negeri atau parti melibatkan Ahmad. Anak Tuan Guru Haji Yaacob Berangan itu seperti dilupa dan tidak dihormati langusng dengan kedudukannya itu.


Disebabkan Ahmad semacam dinafikan sebagai TMB oleh orang tertentu, maka muncullah beberapa nama lain yang dikira layak untuk menakhtai tempat Ahmad itu atau terus mengambilalih jawatan sebagai MB apabila Nik Aziz berundur. Mereka ini juga antaranya yang sedang berdoa dan bekerja kuat untuk menduduki tempat itu dan seterusnya, sebagai MB Kelantan.


Hari ini sekurang-kurangnya ada dua nama yang disebut ataupun telah meletakkan atau diletakkan namanya (mereka) sebagai calon MB Kelantan. Kedua mereka ini berkebetulan adalah orang yang berada di barisan ketiga dalam hirarki kepimpinan Pas Kelantan dan menjadi Exco Kerajaan Negeri.



Kerja politik

Secara tidak langsung juga hari ini kedua mereka ini menjadi pesaing sama sendiri dengan salah seorang daripada mereka tidak pernah pun berfikir untuk menjadi MB. Dalam erti kata lain tokoh yang satu ini tidak berdoa atau menjalankan kerja politik bagi meletakkan diri mereka di tempat itu seperti mana yang seorang lagi.


Tokoh yang dimaksudkan itu ialah Nik Mohd Amar Nik Abdullah, yang juga merupakan Exco Kerajaan Negeri Kelantan. Berbanding dengan Nik Amar, seorang lagi Exco itu begitu menonjol dan bekerja keras menjual nama kepada publik untuk dilihat kononnya beliaulah paling kanan dan layak menjadi MB Kelantan. Kadangkala orang ini seperti masuk lif tekan sendiri!


Sehubungan itu berbagai idea, pendekatan dan juga strategi dilakukan memajukan parti serentak itu bagi menunjukkan beliau berkemampuan untuk memimpin Pas Kelantan. Bagaimana pun sayang seribu kali sayang, pendekatan, sikap profesional dan berfikiran jauh yang diambil itu nampaknya tidak begitu termakan oleh rakyat Kelantan dan juga ahli Pas bawahan yang rata-rata masih bersikap konservetif terhadap Pas.


Di peringkat nasional memang tokoh ini terkenal dan dilihat sudah lebih daripada layak. Bahkan ada usaha-usaha secara halus bagi mempercepatkan proses peralihan jawatan MB kepada orang ini. Sedangkan di peringkat nasional nama Nik Mohd Amar langsung tidak disebut malah tidak pun dilihat sebagai material MB Kelantan walaupun dari segi ratingnya beliau adalah salah seorang calonnya.


Berbeza sekali dengan Nik Mohd Amar yang bersikap pasif dan terlalu merendahkan diri. Sebaliknya nama Mohd Amar dijual oleh kalangan veteran dan golongan yang taksub dengan Islam yang melihat perjuangan anak bekas Timbalan Pesuruhjaya Pas Kelantan ini lebih ikhlas dan serasi dengan pendekatan Pas Kelantan selama ini.


Kesimpulan ringkas jika Nik Mohad Amar dibandingkan dengan seorang lagi, orang itu diterima di Kuala Lumpur manakala Nik Mohd Amar diterima di Kelantan!


Perwatakan, tutur kata dan pergaulan Nik Mohd Amar sesuai dan menjadi pilihan dan ia dilihat lebih tepat dengan semangat dan wajah Pas Kelantan yang tidak suka kepada glamour berlebihan ataupun begerak terlalu kencang dan ego. Perkara paling penting yang dilihat oleh Pas Kelantan ialah, mereka mahukan Pas kekal sebagai Pas Kelantan yang berbeza dengan Pas di negeri-negeri lain. Mereka mahu keunikan Pas Kelantan dikekalkan.



Mengubah prinsip

Dan perkara paling penting dan menjadi penilaian orang Pas Kelantan ialah mereka mahukan seorang pengganti Niik Aziz yang dapat mempertahankan prinsip dan idealisme perjuangan Pas, dan bukannya orang yang hendak mengubah prinsip Pas sehingga memungkinkan Pas jadi seperti Umno. Mereka bimbang kalau Pas dineutralize dan diklonkan dengan Umno menyebabkan rakyat akan keliru mana satu yang mereka harus pilih!


Kesimpulannya hari ini, dua tokoh ini, Mohd Amar dan seorang lagi itu adalah yang popular disebut bakal dan boleh mengganti Nik Aziz. Perbezaannya Nik Amar disokong oleh Pas marhaen sementara yang seorang lagi oleh segelintir Pas 'belacak'. Masalah yang seorang lagi itu juga beliau tidak begitu disenangi oleh sebilangan besar pemimpin parti baik peringkat negeri maupun kawasan di Kelantan!


Apapun tidaklah mustahil kalau Nik Aziz merasa kekok untuk membuat pilihan ke atas kedua orang ini, Ahmad Yaaob akan diangkat menjadi MB dengan salah seorang sebagai timbalannya.



Catatan:
Bahagian kedua: Siapa bakal MB dari kalangan Umno.


0 comments: