Menyeberangi Alam Barzakh
WALLAHUALAM...
Menyeberangi Alam Barzakh..
Saya pegang nisan dikubur arwah abang Hamid yang baru saja kami
kebumikan sebentar tadi. Fikiran saya berputar ligat. "Aii.. menung
nampak? Apasal?" tanya Bakar, kawan baik saya yang turut sama menjadi
penggali kubur di Bakri, Muar, Johor.
"Tak ada apa-apa. Saja tengok kain ni, dah kotor sikit kena tanah," saya
berdalih, cuba menyembunyikan perkara yang berasak-asak datang ke
kepala.
Mari gi kat pondok... mandur nak jumpa. Dia nak cakap fasal kerja, gaji,
overtime. Pak Dolah, kawan-kawan lain dah pergi dah," tambah Bakar
sambil memikul cangkul dan botol airnya.
"Pergilah dulu, nanti aku datang," balas saya lantas duduk termenung.
Sepeninggalan Bakar, saya duduk di pinggir kubur Abang Hamid. Saya
termenung. Ada satu perkara yang sedang menyucuk-nyucuk fikiran saya.
Sebenarnya sudah lama ia bermain-main di benak tapi sekarang ini makin
mendesak.
Orang ramai sudah balik, Munkar dan Nakir sudah datangkah menyoal Abang
Hamid, hati saya bertanya. Kata orang, selepas tujuh langkah kita
tinggalkan pusara, maka akan datanglah dua malaikat itu untuk menyoal
simati. Kalau bagus amalannya semasa hidup, berbahagialah. Tapi kalau
bergelumang dengan kemungkaran, bersiap sedialah...
Saya teringat cerita kononnya ada orang yang menekap telinga ke kubur
dan dengar bunyi dentuman tapak kaki di dalam. Konon cerita, lepas itu
terdengar pula bunyi hentaman dan si mati menjerit-jerit.
Eee... seramnya. Macam mana agak-nya rupa Munkar dan Nakir. Besarkah
badannya, garangkah rupanya atau berjubah dan maniskah wajahnya? Kalau
dibelasahnya kita, tentu sakitnya tak terperi. Kalau lipan, jengking
datang habislah kita disepit. Nak lari tak boleh, nak mengadu tak boleh,
kita seoranglah menanggung sakit pedih. Astaghfirullahal azim...
Saya masih lagi duduk melangu di pinggir kubur Abang Hamid. Jiwa muda
saya makin menggaru-garu. Kian lama saya termenung kian ia mengganas dan
mengacau fikiran.
Pergi... pergi sekarang! Johar, masa nilah kalau nak cuba. Kawan-kawan
dah tak ada, cepat, ia berbisik di telinga saya.
Jari-jemari saya bergerak-gerak. Lutut dah mula menggeletar manakala
kepala rasa berpusing. Saya beristighfar beberapa kali mententeramkan
jiwa yang bergelora, namun bisikan itu makin kuat berkumandang di
telinga.
Cepat, cepat, cepat! Inilah masanya. Johar, apa engkau tunggu lagi?' Kan
engkau nak tau sangat, jangan tercegat lagi. Kau takut? Alah, bukannya
kena tangkap, bukannya boleh mati...
Jadi bisu? Sakit, lepas tu mereng sampai mati Jangan pedulilah, tu
cerita orang aja. Entah ya entah tidak. Engkau orang muda, kuat
semangat, apa nak takut. Cepat Johar, cepat, cepaaaaat!
Dimulai lafaz bismillah dan selawat kepada Nabi, saya terus bangun dan
terjun ke dalam kubur di sebelah pusara Abang Hamid. Ia baru saja digali
sebab di sini, kami biasanya sudah gali lebih kurang 10 kubur sebagai
persediaan. Maklumlah, Bakri ni kawasan besar, kalau ada banyak kematian
sekali gus, taklah timbul masalah.
Di dalam lahad saya berbaring dan meratib, lailahaillallah,
lailahaillallah, lailahaillallah...
Saya pejamkan mata, menggigil tengok dinding lahad di depan mata. Bau
tanah dan sempitnya ruang di dalam lahad itu menyebabkan saya
betul-betul gemuruh.
Munkar, Nakir, ular, jengking, api tinggi menggulung, nanah, darah dan
segala seksaan yang pcrnah didengar daripada guru-guru agama terbayang
di depan mata.
Saya juga teringat pada alunan suara seorang wanita membaca al-Quran
dari salah sebuah kubur di sini yang saya dengar beberapa bulan lalu.
Jeritan, tangisan dan raungan dari kubur-kubur lain yang didengar pada
malam-malam selepas itu juga pantas menyerbu fikiran.
Suara-suara aneh dari kubur itulah yang sebenarnya menggaru-garu jiwa
saya untuk menyaksikan sendiri keadaan di alam barzakh. Bunyinya memang
gila, mana boleh manusia hidup menycberangi ke alam barzakh, tapi saya
ingin juga merasainya.
Lailahaillallah
Lailahaillallah
Lailahaillallah
Saya terus meratib dan meratib hinggalah tiba-tiba dunia menjadi kelam
dan sedetik kemudian bergema satu bunyi yang amat menakutkan.
GGRUUMMM... PPPRRAAAPPP!!
Tanah di kubur Abang Hamid tiba-tiba bergerak. Setelah itu satu lagi
sisi tanah kuburnya berganjak diiringi bunyi yang amat menggerunkan.
"Ya Allaaaaahhh... apa yang berlaku ini?" saya menggeletar kerana bunyi
itu datang dari dua arah dan saling rapat merapati. Air mata seperti
hendak mengalir.
GGGRRRRUUUMMM...
Tanah di kubur Abang Hamid bergerak lagi saling himpit menghimpit. Saya
menggigil mendengar bunyi itu yang dentumannya lebih dahsyat daripada
tanah runtuh. Saya cuba menekup telinga kerana tidak tertahan dengan
bunyi yang bingit itu, tapi tangan saya tiba-tiba kaku.
Ingin saja saya melompat dari kubur, pun demikian kaki bagai dipaku ke
tanah, tak dapat bergerak akibat terlalu terkejut.
ARGGHKKK... ERRRKKKKKKK
Terdengar pula suara seorang lelaki mengerang. Suaranya laksana dia
sedang menahan kesakitan yang amat sangat tapi seperti tersekat di
kerongkong. Nafas saya sudah tidak tentu arah, takut yang amat sangat.
AARRKKK... UUURRRKKGGH!!!
Saya menggigil apabila dia mengerang-ngerang lagi. Perasaan simpati tak
dapat dibendung. Ingin rasanya saya menarik lelaki itu keluar daripada
terus dihimpit, tapi di sebelah saya cuma lapisan tanah yang tidak mampu
ditembusi.
Saya masih lagi terbaring dengan nafas turun naik apabila tiba-tiba...
PPPR-RRAAPPPPP!!!... bunyi papan patah berderai.
PRRAAKK... TTAAPP... PRRAAPP!
Kepingan demi kepingan papan tersebut patah hingga hancur berkecai lalu
disudahi dengan suara lelaki tersebut mengeruh. Serentak itu, kedengaran
pula tulang-temulang patah!
Air mata saya meleleh. Di ketika ini hati saya berkata, mungkin inilah
yang Nabi maksudkan bahawa tanah dan dinding kubur akan menghimpit tubuh
orang-orang yang mengkufuri Allah hingga berselisih tulang selangkanya.
Aduh, tidak terbayang peri sakitnya lelaki yang sedang mengerang itu.
Jantung saya bagai hendak tercabut dan darah terasa kering apabila
mendengar dia mengerang-ngerang dan tulang-temulangnya patah
berderap-derap.
Di saat saya terbungkam dengan apa yang berlaku, tiba-tiba satu deruan
angin yang maha dahsyat datang menerpa. Desingannya menyakitkan telinga.
Seiring dengan ribut taufan itu juga, hadir sesuatu berwarna hitam
seperti asap, makin lama makin membesar lalu membentuk lembaga hitam
yang teramat besar. Di tangannya tergenggam sebatang besi yang sedang
membara, merah menyala.
Tiba-tiba lembaga itu menghayun besi tersebut. Pantas saya menepis,
namun sebaik besi itu menyentuh lengan, saya menjerit kesakitan. Aduh,
panasnya menyebabkan kulit tangan saya ini bagai tersiat dan dagingnya
masak.
"ARGGGHHHH" Jangan pukul aku lagiiiii!!!" saya meraung apabila lembaga
itu memukul kaki saya.
Saya cuba mengelak, tapi pukulan itu tetap singgah ke sasaran. Bagai
hendak tercabut anak tekak saya menjerit kerana kehangatan besi itu
membakar daging paha saya.
"Arrgghhh... sakit, sakiiittt!!" saya meraung-raung, tapi lembaga hitam
besar hingga sayup mata memandang itu terus menghayunkan besi panasnya
ke kepala, kaki, tangan, badan dan perut saya.
Dalam pada itu, tanah di kubur sebelah terus-terusan bergerak himpit
menghimpit. Bumi tempat saya berpijak bergegar hebat laksana dilanda
gempa.
Suara lelaki mengerang dan tulang-temulangnya patah berderap bagai dahan
sekah, tetap kedengaran. Dalam hati saya meraung, matilah aku kejap
lagi, patahlah tulang aku, renyuklah badan aku dibelasah dengan besi
panas.
Saya menjerit, menepis, mengelak hinggalah tiba-tiba saya terasa sesuatu
yang amat sejuk menyimbah ke tubuh saya. Serentak itu lembaga hitam
hilang entah ke mana dan bunyi bumi bergegar serta lelaki mengerang
lenyap serta-merta. Suasana terasa hening.
"Johar... Johar!!" sayup-sayup nama saya dipanggil.
Dengan susah payah, saya membuka mata. Tapi saya tidak larat, badan
terlalu letih. Wajah seseorang berbalam-balam di mata.
"Johar... bangun, bangun!" nama saya dipanggil lagi, badan
digoncang-goncang.
Saya buka mata sedikit. Ooo... rupa-rupanya Bakar. Bersama-sama Pak
Dollah, mereka mengangkat saya keluar dari kubur.
Selepas diberi air, badan dikipas, barulah saya segar semula. Bakar
beritahu, selepas menunggu lama di pondok, dia dan Pak Dollah serta
mandur mencari saya untuk membayar wang kerja lebih masa. Lama mencari,
akhirnya dia jumpa saya di dalam kubur sedang bersilat seorang diri.
"Engkau menepis sana, mengelak sini. Habis tanah kubur tu engkau tumbuk.
Aku ambil air, aku simbahlah," kata Bakar sambil menunjukkan baldi yang
digunakannya lalu disambut gelak tawa kawan-kawan.
Saya hanya tersenyum tawar. Tak terdaya saya hendak ceritakan apa yang
telah berlaku sebentar tadi, bimbang mereka tidak percaya.
Selepas kejadian itu saya terlantar selama beberapa bulan akibat badan
penuh dengan lebam-lebam. Mungkin lebam akibat menumbuk dan menendang
tanah, mungkin juga akibat pukulan besi panas itu. Saya juga dibawa
berjumpa bomoh untuk memulihkan semangat.
Keluarga dan kawan-kawan menggeleng kepala dengar cerita saya. Mereka
berebut-rebut menyuruh saya menceritakan pengalaman menakutkan itu. Ada
yang insaf, ada juga yang mengatakan semua itu karut, mainan syaitan,
mimpi dan igauan semata-mata.
Lantaklah apa kata mereka, tapi saya puas hati. Akhirnya saya telah
saksikan sendiri seksaan di dalam kubur. Sama ada apa yang dilihat itu
adalah keadaan yang sebenarnya berlaku di alam barzakh atau hanya mimpi
semata-mata akibat terlelap semasa meratib, itu saya tidak kisah.
Yang penting keinginan untuk menjengah alam itu telah tertunai.
Peristiwa pada pertengahan 1970-an itu telah memberi keinsafan yang
benar-benar mendalam di hati saya.
Sesungguhnya janji ALLAH itu benar...MATI itu benar...SYURGA - NERAKA
Itu benar....dan..azab kubur ...itu juga benarrrr.....
Semoga ALLAH terima segala amalan kita dan mengampuni dosa-dosa kita....
AMIN YA RABBAL A'LAMIN
Looking for a deal? Find great prices on flights and hotels with Yahoo! FareChase.
0 comments: