8/06/2007 09:04:00 pm 0 Comments

Jangan taksub pahala
Oleh ZUARIDA MOHYIN
http://www.utusan.com.my/utusan/content.asp?y=2007&dt=0806&pub=Utusan_Malaysia&sec=Bicara_Agama&pg=ba_02.htm

PEJAM celik, pejam celik, hari ini sudah 22 hari kita
berada di dalam bulan Rejab. Lazimnya, umat Islam
berlumba-lumba melaksanakan ibadat seperti berpuasa
sunat, bersedekah dan berzikir.

Lebih-lebih lagi disogokkan dengan pelbagai fadilat
yang bakal diperoleh kepada mereka yang beramal pada
bulan ini.

Antara ganjarannya iaitu; Setiap umat Islam yang
berpuasa pada Rejab seperti mengerjakan ibadat seumur
hidupnya. Tambahan bersedekah seperti beribadat 1,000
kali haji dan umrah. Dibina untuknya 1,000 mahligai
dengan 1,000 bilik dan 1,000 bidadari, lebih cantik
daripada matahari 1,000 kali.

Siapa berpuasa tiga hari dalam bulan Rejab dan
beribadat pada malamnya seperti dia berpuasa 3,000
tahun, diampunkan baginya 70 dosa besar setiap hari,
ditunaikan 70 hajat ketika keluar nyawa daripada
jasad, 70 hajat ketika di dalam kubur, 70 hajat ketika
terbang suhuf (ketika al-Quran dinaikkan di langit),
70 hajat ketika ditimbangkan amalannya di Mizan dan 70
hajat ketika melalui titian Siratul Mustaqim.

Selain itu, berpuasa pada 27 Rejab seperti berpuasa 60
bulan pahalanya, jika disertai dengan sedekah seumpama
puasa 1,000 tahun. Malah mereka ini juga dapat minum
air sungai yang dinamakan Rejab dengan airnya lebih
putih daripada susu, lebih manis daripada manisan dan
lebih dingin daripada salju.

Ini baru disenaraikan beberapa hadis yang menyentuh
tentang kelebihan beramal pada bulan Rejab.
Sebenarnya, kalau hendak disusunkan satu persatu,
sudah pasti tidak terkira dengan jari. Malah, andainya
kita layari internet, paparan bahan-bahan bertulis
berkaitan tajuk di atas, memang terlalu banyak.

Hakikatnya, bukan seorang dua yang dikaburi dan
terpengaruh dengan ganjaran-ganjaran ini. Sebenarnya
hadis-hadis tersebut adalah tergolong dalam hadis
mauduk iaitu ia adalah palsu serta tidak bersandar
atau bersumberkan daripada Rasulullah s.a.w..

Larangannya, bukan sahaja kita tidak boleh beriman
malah ia sekali gus bermaksud kita tidak boleh percaya
dan beramal dengan hadis sebegini.

Kebimbangan inilah yang telah disuarakan Pembantu
Profesor, Kulliyyah Ilmu Wahyu dan Sains Kemanusiaan,
Universiti Islam Malaysia (UIAM), Gombak, Dr. Adibah
Abdul Rahim sewaktu mengulas pengaruh faktor ganjaran
ini sehingga telah menjadi satu fenomena di mana umat
Islam terlalu percaya kepada ganjarannya sehingga lupa
kepada persoalan status hadis.

Ketaksuban

Memang banyak kelebihan yang berkaitan bulan Rejab,
cuma dibimbangkan sikap ketaksuban masyarakat dengan
ganjaran fadilat dalam bulan Rejab sehingga menjadikan
umat Islam berlumba-lumba mengejar ganjarannya
sampaikan amalan yang dikakukan berlandaskan ganjaran
atau kelebihan, bukan dilakukan amalan tersebut atas
landasan keikhlasan. Sedangkan hakikatnya, bagaimana
rupa ganjarannya harus diserah kepada Allah s.w.t..

“Umum perlu diberitahu, bahawa kita tidak boleh
berpuasa semata-mata untuk ganjaran. Apatah lagi,
ganjaran-ganjaran yang telah dijelaskan di dalam
hadis-hadis tersebut adalah hadis mauduk. Meskipun,
jika ia sekadar dianggap sebagai satu motivasi
sekalipun.

“Di samping itu, sekiranya kita terlalu mengejar
ganjaran, seolah-olah kita mengharapkan sesuatu
daripada Allah. Sedangkan sebagai hamba-Nya,
seharusnya setiap amalan kita kepada Allah itu adalah
balasan kita atas nikmat yang telah Allah kurniakan
kepada kita selama ini,” jelas Adibah.

Jelasnya lagi, salah satu tanda hadis mauduk iaitu, ia
menyebut akan ganjaran yang melampau-lampau atau tidak
setaraf dengan amalan yang dibuat.

Katanya, Ibnu Hajjar al-‘Asqalani pernah mencuba
membuat satu kitab di mana dia merancang mengumpulkan
fadilat-fadilat Rejab, tetapi satu hadis sahih pun
tidak ditemui.

“Amalan ibadat pada bulan Rejab ini bukan sahaja
tentang berpuasa sunat tetapi turut melibatkan
perlaksanaan puasa dan solat khusus pada 27 Rejab.
Solat sunat Raghaib sebanyak 12 rakaat ini dilakukan
antara waktu Maghrib hingga Isyak dengan diikuti
dengan bacaan surah tertentu sebanyak 70 kali.

“Semua ulama sepakat bahawa solat Raghaib dan puasa
khusus ini juga adalah satu amalan bidaah kerana
Rasulullah dan para sahabat tidak pernah
mengamalkannya. Saya hendak tekankan bahawa amalan
yang tidak mengikut sunah dan syariat Rasulullah
adalah bidaah.

“Amalan ini juga ditolak oleh Imam Ibnu Taimiyah dan
Imam Nawawi. Ini kerana pada zaman mereka di mana
terlalu banyak bidaah dan khurafat berlaku sehingga
boleh menimbulkan mudarat,” terangnya.

Menurut Adibah, tarikh 27 Rejab yang dikatakan berlaku
Israk Mikraj sebenarnya tidak ada ulama yang
mengatakan itu tarikh khusus untuk peristiwa tersebut.
Kita tidak tahu tentang tarikh sebenarnya kerana ia
adalah rahsia Allah.

Pun begitu, sekiranya seseorang itu ingin melaksanakan
amalan puasa sunat, tidak ada larangan untuk kita
melakukannya. Yang pasti, puasa sunat tersebut dikira
sama seperti puasa sunat pada bulan-bulan lain.

Terang Adibah, apa yang istimewa dan jelas berkaitan
bulan Rejab ialah ia adalah bulan persediaan menyambut
Ramadan. Di samping itu, ia bulan yang diharamkan
berperang selain dari Muharam, Zulhijjah dan
Zulkaedah.

Lantaran itu, pesanannya, agar umat Islam jangan
percaya adanya amalan, ibadat atau pahala khusus untuk
Rejab. Ini kerana kecetekan ilmu serta melakukan
secara membabi-buta, bukan kebaikan yang diperoleh
malah mendatangkan satu dosa kerana mempercayai serta
mengejar ganjaran semata-mata berdasarkan hadis
mauduk.

Katanya lagi, kekeliruan konsep ini amat merbahaya
kerana sikap terlalu percaya ini, seolah-olah kita
mengajak manusia percaya benda yang tidak sunah tetapi
dikatakan sunah. Sekali gus mengajak orang membuat
satu amalan bidaah.

“Oleh itu, dalam kita melakukan amalan, harus
dipastikan amalan itu berlandaskan syariat Allah dan
sunah Rasulullah,” tegasnya.

__________________________________________________________

0 comments: